Saturday, September 25, 2010

Detik-detik kekasih isteri Raja Mswati III ditangkap


NDUMISO MAMBA



GAMBAR yang tersebar di Internet menunjukkan Ndumiso Mamba bersembunyi di dalam satu ruang di bawah lapisan tilam di Hotel Royal Villas, Mbabane.


LONDON - Menteri Kehakiman Swaziland, Ndumiso Mamba dipecat selepas dia menjalin hubungan dengan isteri ke-12 pemerintah Swaziland, Raja Mswati III, Nothando Dube, lapor sebuah akhbar semalam.

Raja Mswati membuat keputusan pemecatan itu pada minggu lalu selepas gambar-gambar yang menunjukkan detik-detik Mamba ditangkap oleh ejen-ejen keselamatan di dalam sebuah bilik Hotel Royal Villas, Mbabane dekat sebuah istana tersebar di Internet.Gambar-gambar tersebut menunjukkan ejen-ejen keselamatan berdiri di sekeliling Mamba selepas dia bersembunyi dalam satu ruang di bawah satu lapisan tilam yang menjadi tempat tidur isteri Raja Mswati itu.

Sebelum ini terdapat khabar angin yang tersebar bahawa isteri Raja Mswati itu menyamar sebagai seorang askar semasa dia mahu keluar dari istana untuk menemui kekasihnya itu di dalam bilik hotel tersebut.

Hotel itu milik Raja Mswati dan semasa serbuan dilakukan baginda berada di Taiwan.

Isteri Raja Mswati yang berumur 22 tahun itu merupakan bekas ratu cantik remaja di negara tersebut.

Dia mempunyai dua orang anak selepas berkahwin dengan Raja Mswati yang kini mempunyai 14 orang isteri dan 23 anak.

Dube kini dikenakan hukuman pengawasan 24 jam semasa tinggal bersama dengan ibu Raja Mswati.

Pakar-pakar politik menyatakan, Raja Mswati dan Mamba merupakan rakan karib semasa masih kecil selain bekerjasama dalam pelbagai urusan perniagaan.

"Mamba banyak mengetahui rahsia (mengenai Raja Mswati). Justeru, Raja Mswati perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu. Jika Mamba melarikan diri dengan rahsia raja, ia akan menjadi masalah buat Raja Mswati," kata seorang pakar.

Mamba dijangka dihukum penjara ekoran skandal itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: