Friday, September 17, 2010

Dekorasi raya RapidPenang


DERETAN bas RapidPenang yang menyertai pertandingan hiasan dalaman bercirikan sambutan Aidilfitri di George Town, Pulau Pinang.


DI SATU sudut, deretan batang-batang lemang sedang dibakar, manakala di satu sudut yang lain pula, dua anak gadis bersama kanak-kanak duduk bersimpuh sambil menganyam ketupat.

Di atas meja yang dialas cantik pula terhidang balang-balang kecil berisi kuih-muih dengan kerlipan lampu mengikut alunan muzik lagu hari raya yang berkumandang di corong radio.

Kelihatan kad-kad ucapan hari raya bergantungan dan ada yang dilekatkan di dinding berserta sampul wang raya. Tidak cukup dengan itu, kain lembut berwarna hijau tua, hijau muda dan kuning dilekap kemas seolah-olah menjadi pemidai sekali gus menceriakan lagi suasana menyambut Aidilfitri.

Sebenarnya, pemandangan indah itu bukanlah di rumah atau di kompleks beli-belah. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada dekorasi di dalam bas RapidPenang bagi menyuntik mood hari raya kepada para penumpang.

Hasil gabungan idea-idea kreatif hampir 100 kakitangan syarikat pengangkutan awam Rapid Penang Sdn. Bhd. itu membuahkan ciri-ciri eksklusif bagi sebuah bas.

Idea itu dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhar Ahmad, yang mahu menyajikan suasana Syawal kepada para penumpang bas yang berkonsepkan rumah terbuka.

“Hasil perbincangan, timbullah idea untuk menganjurkan pertandingan Hias Bas Gaya Raya iaitu pertandingan dekorasi antara lima jabatan dalam syarikat RapidPenang,” ujar Azhar.


KUMPULAN Jabatan Komunikasi Kreatif dan Sumber Manusia dinobatkan sebagai juara.


Antara jabatan yang terlibat termasuklah Jabatan Komunikasi Kreatif dan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran Korporat, Jabatan Operasi, Pengurusan Aset dan Perkhidmatan Korporat.

Hiasan paling kreatif

Sehubungan itu katanya, lima buah bas daripada laluan yang berbeza termasuk dari Seberang Perai terpilih untuk dihias mengikut idea dan konsep kumpulan masing-masing.

Dengan modal RM200, setiap kumpulan diberi tempoh 30 minit untuk berbincang sebelum menghias bas mereka dengan cara paling kreatif.

Pemarkahan pula mengambil kira faktor kreativiti iaitu sebanyak 40 peratus, penonjolan secara visual 30 peratus, kesesuaian teman 20 peratus dan kerjasama berkumpulan sepuluh peratus.

Menariknya, tiga juri khas dipilih daripada rakan-rakan media untuk mengadili iaitu Ketua Biro Bernama, Azeman Ariffin, Penolong Ketua Biro Kosmo!, Mohd. Zaki Mohd. Salleh dan wartawan Harian Metro, Rudy Syareme Sheriffudin.

Berdasarkan pemarkahan juri, bas dengan nombor pendaftaran PJJ5213 muncul johan kumpulan Jabatan Komunikasi Kreatif dan Sumber Manusia.

Pelita buluh yang disusun cantik bersama tampi padi, tikar mengkuang mengalas kuih-muih, kad raya, ketupat dan kain tirai berwarna hijau kuning hasil perkongsian idea kumpulan itu menyerlahkan mood raya.

Berbeza sedikit mata sahaja, bas yang dihias kumpulan Jabatan Operasi yang berkonsepkan beraya dalam suasana kampung berjaya meraih tempat kedua manakala tempat ketiga pula milik kumpulan Jabatan Pentadbiran Korporat.

Bukan sekadar hiasan, kesemua bas yang telah dihias itu akan beroperasi seperti biasa mengikut laluannya.


KETUA pengadil pertandingan hiasan dalaman bas RapidPenang, Sheikh Azman Sheikh Ariffin (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang.


Ujar Azhar, hiasan tersebut akan kekal untuk tempoh sebulan bagi memberikan suasana Syawal kepada semua penumpang.

“Sebagai pengangkutan awam pilihan ramai di Pulau Pinang, inisiatif ini bertujuan menampilkan kelainan terutama kepada para pelancong agar dapat mendekati budaya dan perayaan yang terdapat di negara ini.

“Idea ini mungkin akan digunakan untuk meraikan lain-lain sambutan atau perayaan seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya sesuai dengan konsep 1Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: