MARANG - Karnival Memancing Perpaduan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela Pengkalan Berangan dengan kerjasama Sinar Harian pada Jumaat ini, menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM50,000.
Timbalan Pengerusi KRT Pengkalan Berangan, Mazlan Muhamad berkata, hadiah ditawarkan kepada pemenang tempat pertama hingga ke-50, selain 20 hadiah untuk acara cabutan bertuah dan teka biji betik.
Menurutnya yang juga jawatankuasa penganjur karnival itu, juara akan membawa pulang hadiah tunai RM25,000, naib juara (RM5,000), ketiga (RM1,000), keempat (RM500) dan kelima (RM300).
“Penganjur turut menyediakan hadiah RM250 untuk pemenang tempat keenam hingga ke-10 dan hadiah RM200 untuk tempat ke-11 hingga ke-50 agar lebih ramai kaki pancing berpeluang memenangi hadiah wang tunai,” katanya.
Tambah Mazlan, pertandingan itu terbuka kepada semua kaki pancing, namun hanya 1,700 penyertaan awal akan diterima selepas pendaftaran dibuka pada hari pertandingan.
Menurutnya, pendaftaran boleh dibuat di pejabat urus setia pertandingan di Kolam Wahee Ngail dengan bayaran sebanyak RM100 bagi sebatang joran, yang dihad untuk dua mata kail sahaja.
“Kami akan buka kaunter pendaftaran pada Jumaat (20 Januari) bermula jam 11 pagi sehingga pertandingan berlangsung jam 3.30 petang bagi memudahkan proses pendaftaran,” katanya.