KEPALA BATAS - Lafaz ikrar bagi menjalankan tugas dengan penuh amanah berdedikasi dan berkat dilafazkan seramai 1,506 guru-guru Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) pada majlis menandatangani kontrak perjanjian Guru-Guru Kafa di negeri ini di Dewan Millenium, Kepala Batas, semalam.
Ketua Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Rosli Othman berkata, majlis menandatangani kontrak secara beramai-ramai ini diadakan sejak 2013 lagi.
“Selaras dengan slogan ke arah pendidikan berkualiti dan berkat, majlis ini diadakan pada setiap awal tahun bermula 2013 lalu dan melibatkan guru-guru Kafa yang baru serta guru Kafa yang sudah pun berkhidmat untuk penyambungan kontrak.
“Majlis ini diadakan untuk memperbaharui sekali gus diibaratkan sebagai satu sumpah setia guru-guru Kafa untuk mengingatkan mereka akan tanggungjawab dan amanah yang dilaksanakan dalam mendidik,” katanya.
Hadir sama merasmikan majlis ini adalah Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Datuk Dusuki.
Menurutnya, setiap guru yang baru dilantik atau yang meneruskan penyambungan perlu diingatkan tentang tanggungjawab dan amanah yang mereka galas.
“Sekali gus ia demi memartabatkan pendidikan secara amnya dan secara khusus untuk memartabatkan serta memastikan kejayaan pendidikan Islam dalam melahirkan insan yang soleh kelak,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pengerusi Ikatan Guru dan Penyelia Kafa Negeri Pulau Pinang, Naim Salleh berkata, guru-guru Kafa mempunyai peranan besar dalam membentuk murid yang cemerlang dalam pelbagai sudut.
“Bergelar guru Kafa bukan hanya bersifat sementara, sebaliknya berperanan besar dalam membentuk murid-murid itu sendiri.
“Komitmen yang amat tinggi perlu diberikan oleh seorang guru Kafa itu. Kafa bukan sebagai kelas transit di mana menjadi tempat ibu bapa menghantar anak-anak mereka, tapi menjadikan masa yang digunakan untuk mengajar itu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengasuh dan mendidik mereka dengan pendidikan Islam,” katanya.
Mengulas mengenai majlis menandatangani kontrak secara beramai-ramai ini katanya, ia merupakan satu majlis yang amat bermanfaat dan memberi kesan positif kepada semua guru-guru Kafa di negeri ini.
“Jika sebelum ini penandatangan kontrak diadakan di peringkat daerah sahaja dan ia dilihat kurang berkesan, namun kaedah beramai-ramai ini akan dapat mengelakkan kesilapan pengisian borang dan dari sudut dokumentasi akan berjalan lebih lancar.
“Secara langsung dengan nasihat dan taklimat yang diberikan akan memberi semangat dan galakan kepada semua guru Kafa akan tanggungjawab serta amanah yang dilaksanakan untuk mendidik murid-murid,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: