Tuesday, January 24, 2017

Bekas Suami Bantah Keputusan Cerai Dibuat Gwen Stefani




Gwen Stefani dan Gavin Rossdale bercerai pada 2015.
SELEPAS hampir dua tahun bercerai, Gavin Rossdale akhirnya membuka mulut tentang perceraiannya dengan penyanyi Gwen Stefani.

Gavin, 51, berkata, dia tidak menyangka rumah tangga yang dibina selama 13 tahun bersama Gwen berakhir dengan perceraian malah memberitahu dia membantah ketika keputusan itu dibuat bekas isterinya.

"Perceraian adalah bukan perkara yang saya mahukan tetapi perkara telah terjadi.

"Selain kematian, perceraian ialah perkara paling menyakitkan untuk seseorang lalui pada pandangan saya," katanya seperti dilaporkan People.

Pasangan itu dilaporkan bercerai selepas Gavin dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan pembantu rumah mereka sehingga menyebabkan Gwen patah hati dan memilih untuk bercerai.

Bagaimanapun, penyanyi kumpulan The Bush itu memberitahu dia perlu belajar menerima hakikat demi meneruskan kehidupannya.

Kata Gavin, dia sentiasa bersyukur Gwen menjadi sebahagian daripada hidupnya tambahan pula tiga anak-anak mereka mengikat hubungan mereka.

"Selama 20 tahun mengenali Gwen dan 13 tahun kami berkahwin, dia adalah seorang wanita yang hebat dan kami mempunyai banyak kenangan manis bersama.

"Walaupun sudah lagi tidak bersama sebagai suami-isteri kami masih mempunyai hubungan yang baik demi anak-anak kami," katanya.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Kingston, 10, Zuma, 8, dan Apollo, 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: