Monday, January 23, 2017

Konsert Jelajah Pengubat Luka Estranged



Estranged bakal mengadakan persembahan di Kilang Bateri, Johor Bahru pada 3 Februari depan.
PETALING JAYA: Kumpulan Estranged menyifatkan konsert jelajah iaitu Estranged Sepenuhnya Vol. 1 yang bakal diadakan di Kilang Bateri, Johor Bahru pada 3 Februari depan adalah sebagai pengubat luka selepas insiden mereka ditipu pada akhir tahun lalu.
Vokalisnya, Rich atau Richael Lawrence Gimbang, 35, berkata, walaupun masih terkesan dengan kejadian itu namun menganggap konsert di Johor itu nanti dapat memulihkan semangat mereka yang pudar sebelum ini.

"Kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan kepada kami tetapi konsert jelajah ini kami anggap sebagai pengubat luka buat kami semua.

"Konsert ini juga akan memulihkan semangat kami apabila dapat mengadakan persembahan untuk peminat yang hadir nanti," katanya.

Estranged sepatutnya mengadakan persembahan pada sebuah festival di London pada 25 Disember lalu namun terkejut apabila tawaran itu adalah percubaan untuk menipu mereka.

Penipuan wanita itu terbongkar apabila mereka mendapati semua dokumen yang diserahkan adalah palsu.

Ekoran kejadian itu, mereka telah pun memfailkan saman terhadap wanita berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu.

Selain Rich, Estranged turut dianggotai oleh  Solihuddin Hormat atau (Din) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi).

Dalam pada itu, Rich berkata, mereka juga merancang untuk membawa konsert berkenaan menjelajah ke seluruh Malaysia selepas persembahan di Johor selesai.

"Kami akan mempersembahkan lagu-lagu hit merangkumi dari album In Hating Memory sehingga Sepenuhnya Vol. 1 termasuk Aurora, Itu Kamu atau Hancur Aku.

"Besar harapan kami agar konsert ini mencapai sukses dan menjadi pemula yang baik untuk Estranged melakukan lebih banyak persembahan dalam skala besar pada masa akan datang," jelas Estranged mengenai konsert yang menerima tajaan daripada Power Root dan Drum Asia.

Persembahan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Velvet.

Dalam perkembangan lain, Rich berkata, mereka kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharu yang berjudul Sepenuhnya Vol. 2.

Kata Rich lagi, mereka menjangkakan album berkenaan akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

"Sepenuhnya Vol. 2 adalah kesinambungan daripada album sebelum ini dan kami kini sedang dalam proses mencipta dan menulis lirik.

"Jika tiada sebarang halangan album ini dijangka akan berada di pasaran pada April depan.

"Bagaimanapun kami akan melancarkan single terbaharu terlebih dahulu sebelum album dipasarkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: