Friday, January 27, 2017

Mark Adam Buka Pusat Latihan Vokal Akademi Suara



Impian Mark Adam untuk membuka pusat latihan vokal akhirnya terlaksana. 
PETALING JAYA: Penyanyi Mark Adam memberitahu impiannya untuk mempunyai sebuah pusat latihan vokal akhirnya terlaksana apabila berjaya membuka Akademi Suara yang terletak di Neo Damansara, di sini.
Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 38, berkata, perkara itu dapat direalisasikan selepas lebih 10 tahun mengajar vokal di negara asalnya Filipina dan Malaysia.

"Selepas lebih 10 tahun menjadi guru vokal, akhirnya saya dapat juga membuka sebuah akademi vokal milik saya sendiri.

"Ini memang minat saya dan saya kumpul duit sudah lama untuk merealisasikan hasrat saya ini. Sebelum ini saya hanya mengajar di tempat orang sahaja," ujarnya.

Mark ditemui pada majlis pelancaran pusat latihan vokal dan persembahan pentas Akademi Suara di sini, Khamis.
Mark Adam (dua dari kiri) bersama tenaga pengajar Akademi Suara iaitu Amir Jahari (dari kiri), Adeep Nahar dan Ewal.
Selain itu, antara artis bakal menjadi tenaga pengajar di akademi berkenaan ialah Amir Jahari, Ewal dan Adeep Nahar.
Mark berkata, pemilihan tiga artis tersebut adalah berdasarkan kelayakan mereka daripada pelbagai sudut termasuk pencapaian dalam kerjaya nyanyian.

"Amir Jahari sangat berbakat dan dia mempunyai akademi dalam bidang muzik. Dia mampu untuk mencipta lagu dan menulis lirik.

"Ewal pula banyak memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dan dia juga boleh memberi tunjuk ajar cara membuang rasa gemuruh ketika membuat persembahan.

"Dia juga bukan sahaja pandai menyanyi malah boleh menari dengan baik.

"Adeep Nahar pula seorang komposer dari Singapura dan banyak pengalaman dalam bidang muzik dan tulang belakang kepada beberapa penyanyi yang sudah berjaya," ujarnya.

Dari kiri; Ewal, Mark Adam dan Adeep Nahar.
Dalam pada itu, Mark berkata, setakat ini seramai 12 pelajar termasuk penyanyi Aiman Tino sudah mendaftar untuk menghadiri kelas vokal dengannya.
Tambahnya, dia menyasarkan seramai 60 pelajar bagi menampung berbelanjaan akademi berkenaan.

"Alhamdulillah, sudah ramai yang bertanya-tanya untuk belajar dengan saya, namun 12 orang yang sudah daftar secara rasmi termasuk Aiman Tino.

"Kalau boleh sasaran saya untuk dapat 60 pelajar kerana ingin membayar kos tempat ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: