MENYEDARI
 hakikat menjaga sahsiah pelajar itu tanggungjawab bersama, tercetusnya idea mewujudkan program Bantu Rakanku atau BARA dari seorang guru anak kelahiran Melaka yang berpengalaman 27 tahun dalam bidang pendidikan.
Lebih membanggakan, program itu mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia apabila diguna pakai di dalam buku Kursus Peningkatan Profesionalisme Warden Sekolah Berasrama Penuh 2009, selain turut menjadi kajian Institut Aminuddin Baki.
Baharudin Husin, 53, merupakan Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Jasin berkata, program BARA dibuat berdasarkan konsep agama Islam iaitu bersama dalam mencegah kemungkaran.
"Sebenarnya satu sahaja matlamat saya iaitu mahu mewujudkan pengurusan disiplin sistematik dan berkualiti.
“Semuanya untuk meningkatkan keberkesanan kehidupan dan kecemerlangan pelajar. Melalui asrama penuh, saya diminta memperkenalkan program ini ke seluruh negara dengan mengadakan ceramah berkenaannya,” katanya.
Menurutnya, menerusi program BARA bukan saja dapat mendedahkan kemungkaran dan salah laku rakan, malah diri sendiri yang akhirnya dapat menyelesaikan masalah sahsiah mereka.
"Kita akan minta pengadu tulis rakannya yang membuat salah laku tetapi penekanannya, kita tak akan ambil tindakan apa-apa tentang pelajar yang dilaporkan walaupun memberi tahu kepada ibu bapa.
“Apa yang saya dapat lihat, setelah dilaksanakan lebih 17 tahun, banyak kes-kes berskala besar berjaya dikesan di sekolah. Contohnya, mencuri, kebencian terhadap guru, liwat, dirogol, buli dan mengabaikan solat.
“Bila kita buat begitu, ramai pelajar berubah menjadi lebih baik setelah dimotivasikan, malah cemerlang sahsiah mahupun akademik,” katanya yang juga pernah menjadi penulis sambilan untuk sebuah akhbar tempatan.
Niat untuk bantu pelajar
Memperlihatkan kes buli di sekolah yang semakin membimbangkan membuatkan Baharudin mengambil inisiatif dengan memberi penerangan mengenai Kanun Keseksaan kepada pelajar.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gagasan Pendidikan Melayu Melaka (Gagasan) negeri berkata, perkara sebegitu penting bagi melahirkan pelajar berintegriti, seterusnya mampu menjadi contoh bila dewasa kelak.
“Sebagai contoh, saya akan terangkan hukuman mencuri. Kebanyakan pelajar fikir kesalahan itu adalah biasa sebab hukuman di sekolah mungkin ringan. Tetapi mereka akan takut kalau kita terangkan mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 379 memperuntukkan penjara boleh sampai tujuh tahun.
" Apa-apa pun niat saya hanyalah memberi yang terbaik untuk pelajar-pelajar saya, sebab ini amanah ALLAH SWT,” katanya.
Beliau yang juga mesra dipanggil Baba berkata, dalam mendidik anak bangsa, integriti adalah yang utama kerana itulah titik permulaan untuk kecemerlangan
.