Wednesday, January 18, 2017

Anak Liza Abdullah Ceburi Bidang Seni Tanpa Babitkan Namanya



Liza Abdullah bersama anak perempuannya Nurwafiez Syahiddah.
PETALING JAYA: Pelakon Liza Abdullah memberitahu anak keduanya Nurwafiez Syahiddah, 24, kini sudah berjinak-jinak menceburi bidang pengacaraan dan lakonan.

Liza atau nama sebenarnya, Norliza Abdullah, 54, berkata, anak perempuannya itu menceburi industri seni tanpa menggunakan namanya sebagai jalan pintas untuk diterima dengan mudah.

"Anak kedua saya sudah mula berlakon dan mengacara beberapa program televisyen, dia menceburi bidang seni ini sebenarnya tanpa pengetahuan saya.

"Saya dapat tahu selepas sebuah produksi menghubungi saya memaklumkan perkara itu. Dia tahu saya tidak suka dia menggunakan nama saya untuk berada dalam bidang ini," ujarnya.

Liza (kiri) tidak mahu anak guna namanya.

Liza berkata, dia tidak pernah menggalakkan atau menghalang apa juga keputusan mengenai masa depan yang dilakukan oleh anaknya.

Bagaimanapun katanya, jauh di sudut hati berat untuk dia membenarkan anak-anaknya berhadapan dengan cabaran dunia seni.

"Saya tidak galakkan dan tidak juga halang minat dia, tapi biar dia usaha sendiri. Masa mereka kecil lagi saya tidak mahu mendedahkan mereka dengan dunia lakonan.

"Dia pelajar jurusan komunikasi di sebuah universiti tempatan dan peluang untuk dia berada dalam industri memang banyak, kawan-kawan dia juga ramai yang bekerja dengan produksi," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya bergelar ibu tunggal selepas bercerai hampir tiga tahun, Liza berkata dia masih mempunyai hubungan baik dengan bekas suami.

Tambahnya, dia tidak mahu anak-anaknya berasa terkesan dengan perpisahan mereka.

"Hubungan saya dengan suami lebih baik selepas kami berpisah. Setiap tahun kami ada baju raya sedondon.

"Saya tidak mahu anak-anak kami terkesan dengan perpisahan ini, jadi seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka berasa kekurangan kasih sayang ibu dan bapa," ujarnya.

Liza Abdullah bercerai talak satu dengan Zolkifli Abdul Rahman, 61, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 24 Februari 2014.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata termasuk Zulhaffiz Zarriq, 28, Zulsyahmi Naqib, 15, dan Zulsyahmi Afif, 13.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: