Wednesday, January 18, 2017

Hazami Terpaksa Jaga Makan Selepas Jatuh Sakit



Hazami azam laksanakan rancangan tertangguh.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazami memberitahu dia lebih mengambil berat soal pemakanan selepas berhadapan dengan masalah usus berdarah sejak lebih setahun lalu.

Hazami atau Norkamal Hazami Ahmad, 42,  berkata, dia perlu memastikan makanan yang dimakan perlu dimasak sepenuhnya.

"Sejak jatuh sakit saya perlu jaga pemakanan, yang penting ialah makanan yang seratus peratus masak. Sebab itu saya lebih suka memasak di rumah kerana saya tahu makanan itu sempurna ataupun sebaliknya.

"Selain itu, saya perlu elak mengambil makanan bercili, makanan laut dan daging," ujarnya.

Hazami mahu teruskan rancangan yang tertangguh.
Tambahnya, dia juga perlu menjaga tidur dan masa rehat secukupnya agak penyakit tersebut tidak mudah berulang.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan lain Hazami berkata, dia mempunyai banyak perancangan yang tertangguh disebabkan masalah kesihatannya itu.

Tambahnya, sempena tahun 2017 ini dia merancang untuk kembali meneruskan kerja-kerja tertangguh tersebut.

"Sebenarnya saya banyak perancangan untuk keluar album, penggambaran klip video, showcase dan macam-macam lagi.

"Tapi semua terpaksa dibatalkan selepas saya sakit. Album saya itu seperti sudah terlambat dan saya teragak-agak untuk keluarkan atau tidak.

"Saya berharap sangat tahun 2017 ini menjadi masa untuk saya laksanakan rancangan-rancangan tersebut satu persatu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: