TEMERLOH – Pelbagai kaedah digunakan oleh pekebun kecil untuk mendapatkan hasil yang banyak ketika harga getah beku naik melebihi RM4 sekilogram minggu ini, malah ada antaranya sanggup kerja lebih masa, menoreh pada waktu malam dan tidak kurang juga menoreh pokok getah tua.
Penoreh di Batu 5, Jalan Maran, Zulkifli Mat Zain, 54, berkata, dia bernasib baik kali ini apabila harga getah beku melebihi RM4 dan harga terbaharu semalam ialah RM4.50.
Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pokok getah sendiri tetapi kira-kira sebulan lalu dia telah memajak kebun getah berkeluasan 2.5 hektar daripada penduduk kampung berhampiran.
“Saya pajak kebun getah tua sebab biasanya memang tak ada orang menoreh kebun macam ini. Saya guna galah panjang dan pakai benang untuk dapatkan susu daripada pokok getah tua ini.
“Dalam keluasan macam ini saya mampu jual getah beku sekitar 70 kilogram sehari dan dalam sebulan dapatlah 15 hari menoreh. Dengan harga getah sekarang memang legalah sikit," katanya.
Menurut Zulkifli, memandangkan harga getah mahal ketika ini, kebiasaannya kebun-kebun getah milik orang kampung akan ditoreh dan sangat sukar untuk mencari pokok getah tidak bertoreh.
Katanya, dia mengambil keputusan memajak kebuh getah tua memandangkan tiada orang mahukan pokok getah tua kerana susu getah telah berkurangan dan tidak mampu mengeluarkan hasil yang banyak.
"Saya toreh pagi dan petang. Tengah hari balik mandi dan selepas rehat sekejap, saya sambung menoreh. Saya guna galah panjang dan benang. Kaedah ini sesuai untuk toreh pokok getah tua. Walaupun sudah tua tapi masih mampu dapat RM300 sehari," katanya.
Sementara itu, pembeli getah dari Kampung Paya Pulai, di sini, Abdul Razak Harun, 51, berkata, sejak harga getah melambung semakin ramai penoreh menjual getah kepadanya.
"Lebih 100 penoreh getah hantar hasil kepada saya setiap hari dengan purata jumlah getah beku dibeli sebanyak lima tan sehari.
"Sebelum ini jumlah kutipan getah di kedai saya hanya sekitar tiga tan sehari. Sekarang semakin meningkat. Semalam (kelmarin) harga getah adalah RM4.70 dan hari ini (semalam) turun sedikit, iaitu RM4.50. Tapi dengan harga RM4 ke atas, ia masih dianggap tinggi," katanya
.