KUALA PING - Biarpun pelbagai tanda tanya timbul dalam kalangan komuniti berikutan ‘limpahan’ cacing di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Ping, di sini, namun ia menjadi ‘rezeki terpijak’ buat kaki-kaki pancing mendapatkan umpan bagi melempiaskan hobi.
Malah, selain dapat menjimatkan duit membeli umpan ada dalam kalangan mereka juga berkongsi ‘rezeki’ itu kepada rakan-rakan pemancing lain selain turut menarik minat beberapa individu mengutip haiwan berkenaan untuk dijual.
Berkongsi cerita, seorang penduduk Jafar Mamat, 66, berkata, sebagai pemancing tegar pastinya dia tidak melepaskan peluang mendapatkan umpan memancing yang ‘terhidang’ apatah lagi lokasi padang sekolah terletak di hadapan rumahnya.
“Biasanya cacing banyak keluar pada waktu awal pagi dan lewat petang. Sepanjang kejadian luar biasa ini berlaku, sudah lima kali saya kutip cacing-cacing itu sebelum diletakkan ke dalam bekas yang boleh mencecah isian berat sehinga 500 gram.
“Saya hanya kutip bagi dijadikan umpan untuk kegunaan diri sahaja. Namun, ramai juga kawan–kawan menelefon dan berminat mendapatkan umpan cacing hasil kejadian dianggap pelik ini kerana ia tidak pernah berlaku meskipun bah melanda saban tahun.
“Aktiviti memancing sudah menjadi dunia saya sejak 1970-an. Limpahan cacing ini dianggap rezeki terpijak bagi kaki pancing seperti saya kerana tidak perlu bersusah payah mendapatkan umpan untuk memancing.
“Namun, kebelakangan ini jumlahnya berkurangan berbanding peringkat awal. Walaupun kelihatan seperti cacing gelang tetapi bagi saya ia bukan spesis tersebut kerana tiada gegelung di bahagian tengah selain saiznya begitu panjang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambah datuk enam cucu ini, ada beberapa individu turut merebut peluang ‘membuat duit’ dengan mengutip cacing-cacing berkenaan untuk dijual sehingga ke Kuantan, Pahang pada harga mencecah RM60 sekilogram.
“Ada orang yang sanggup datang daripada Chendering, Kuala Terengganu dan Bukit Besi, Dungun semata-mata untuk kutip cacing ini. Mereka menjual kepada pembeli, selain secara kilogram ada juga jual RM5 bagi 10 hingga 12 ekor cacing,” ujarnya.
Akhbar ini semalam menyiarkan laporan berhubung misteri `kehadiran’ lebih ratusan ribu cacing di SK Kuala Ping dan fenomena itu pertama kali berlaku sejak sekolah mula beroperasi sekitar 1960-an lalu.
Kedatangan tetamu tidak diundang itu mula disedari sekitar pertengahan Disember lalu apabila ia memenuhi pekarangan hadapan sekolah namun cacing-cacing tersebut mati begitu sahaja ekoran cuaca panas sebelum dimakan burung.
Namun, kejadian pelik itu terus menyelubungi SK Kuala Ping selepas banjir surut baru-baru ini apabila haiwan itu didapati semakin banyak berhampiran kawasan padang bola terutamanya di dalam longkang
.