Wednesday, July 1, 2009

Rayuan RTM kepada TV swasta

SUKAR untuk menafikan bahawa Bintang RTM merupakan suatu pertandingan berprestij dalam melahirkan ramai penyanyi pelapis yang berwibawa dan mampu bertahan lama dalam persada seni suara tanah air sejak 35 tahun lalu.

Tidak perlu juga untuk mempertikaikan kewibawaan bekas-bekas juara pertandingan nyanyian itu seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Juliza Adzlizan, Ramlah Ram dan ramai lagi yang mana nama mereka masih menjadi sebutan para peminat sehingga kini.

Sayangnya, sejak kebelakangan ini para peminat mula meletakkan stigma dengan menganggap para peserta Bintang RTM kurang glamor, malah kurang berdaya saing kerana mereka terlalu menyamakannya dengan pertandingan- pertandingan nyanyian anjuran stesen-stesen TV swasta.

Paling menyedihkan apabila juara-juara yang dilahirkan menerusi pertandingan itu sejak 10 tahun kebelakangan ini juga seakan-akan dipandang 'sebelah mata' kemampuan bakat mereka berbanding para peserta program-program TV realiti yang lain.

Justeru, Ketua Juri Bintang RTM 2009, Datuk Mokhzani Ismail berharap, bekas-bekas juara dan para peserta pertandingan nyanyian anjuran stesen penyiaran milik kerajaan itu juga seharusnya diberi layanan sama rata oleh stesen-stesen TV swasta pada masa depan.

"Apabila melangkah ke dalam industri ini (bidang nyanyian), itu adalah antara ketidakadilan yang berlaku kepada juara-juara dan para finalis Bintang RTM sejak kebelakangan ini. Bagi saya, mereka ini bagus dan berbakat walaupun kurang mendapat publisiti daripada media-media lain.

"Ketidakadilan itu sering dilakukan terutamanya oleh stesen-stesen TV swasta. Saya ada kawan di stesen-stesen TV swasta di mana saya pernah meminta supaya mereka membantu para finalis Bintang RTM.

"Contohnya, bekas juara Bintang RTM 2007 iaitu Ray yang juga menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer-komposer terkenal seperti M. Nasir, tetapi dia masih juga tidak mendapat tempat di stesen-stesen TV swasta. Mungkin kerana dia (Ray) bekas juara Bintang RTM.

"Saya harap, bekas-bekas juara Bintang RTM yang lain juga diberi ruang yang sama untuk mereka 'bertapak' seperti penyanyi-penyanyi lain," komennya pada sidang media selepas Malam Seribu Bintang, Bintang RTM 2009 melabuhkan tirainya di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Mokhzani selaku Ketua Juri, Bintang RTM 2009 juga dibarisi oleh panel juri profesional yang terdiri daripada Datuk Johari Salleh, Datuk Wah Idris, Prof. Madya Khairil Johari Johar dan penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim.

Terbukti, Bintang RTM 2009 menangkis tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan para pesertanya kurang berbakat atau persembahan pada pertandingan akhir itu gagal menarik ramai penonton.

Sebaliknya, pertandingan akhir pada malam itu bukan sahaja tidak meleret-leret masa perjalanannya, malah lintas-lintas langsung yang diadakan di tempat-tempat asal setiap pesertanya juga mendapat sokongan padu para penyokong masing-masing.

Contohnya, lintas langsung wakil RTM di Kota Kinabalu iaitu tempat asal Anna mendapat sokongan hangat hampir 200 peminatnya yang datang memberi sokongan di mana senario sama turut ditunjukkan oleh para penyokong peserta Bintang RTM 2009 yang lain.

Tanggungjawab sosial

Sebagai agensi kerajaan yang mengambil tanggungjawab sosial melahirkan penyanyi pelapis dalam bidang nyanyian tempatan, RTM tidak mengambil kesempatan atau 'mengikat' bintang-bintang yang mereka ketengahkan.

Menurut Mokhzani, sejak dari dulu secara tradisinya bekas-bekas juara dan finalis Bintang RTM bebas membawa haluan masing-masing selepas berakhirnya pertandingan tersebut.

"Kami di RTM hanya mahu tambah bilangan penyanyi yang berkualiti. Itu memang harapan kami. RTM memang tidak pernah mengikat kontrak dengan mana-mana peserta pertandingan ini.

"Biasanya sejak dulu, selepas habis pertandingan ini mereka akan 'ditangkap' oleh syarikat-syarikat rakaman yang berminat dengan mereka. Itu rezeki mereka. Mereka boleh memulakan kerjaya mereka dalam bidang nyanyian dengan lebih jauh lagi," katanya yang juga merupakan Pengarah Muzik di RTM.

Pada pertandingan akhir Bintang RTM 2009 yang diacarakan oleh Izwan Pilus, Alisya dan Muaz itu, pertandingan tersebut jelas mengutamakan kualiti vokal dan persembahan apabila para pemenangnya ditentukan 100 peratus oleh juri profesional terbabit.

Bagaimanapun, demi mengikuti trend arus teknologi semasa, Bintang RTM 2009 turut menyediakan pemilihan para penonton di rumah bagi menentukan pemenang kategori Bintang Paling Popular menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Anna yang mengungguli kategori itu memperolehi undian SMS 35.45 peratus memang sudah dijangka kerana dari peringkat awal lagi dia sudah mendahuluinya dan bersaing rapat dengan Nizam serta Ikbal sebagai antara peserta yang paling popular dalam pertandingan tersebut.

Ketika mengulas penguasaan para peserta wanita dalam pertandingan kali ini, Mokhzani tidak menafikan senario itu walaupun tiga peserta lelaki yang terbabit iaitu Ikbal, Adli dan Nizam masing-masing mempersembahkan bakat yang tidak kurang hebatnya.

"Para peserta lelaki Bintang RTM 2009 bukannya tidak bagus tetapi juri lebih arif menilai bakat dan kemampuan mereka. Banyak aspek yang diambil kira iaitu daripada segi kawalan suara, penghayatan dan sebagainya diambil kira.

"Mutu vokal Ernie misalnya, boleh dikatakan konsisten daripada mula dia menyanyi hingga tamat persembahannya. Itu kekuatan Ernie, malah kekuatan suaranya juga kami dapati hampir sama dengan Anna," komennya.

Malah, secara keseluruhannya, beliau turut berpuas hati dengan mutu vokal dan persembahan kesemua peserta Bintang RTM 2009 termasuklah tiga peserta lelaki terbabit.

"Tahun ini saya puas hati dengan bakat dan prestasi para peserta Bintang RTM 2009. Ini kerana, saya terbabit dari peringkat awal pemilihan para peserta yang terpilih. Selepas itu saya tinggalkan mereka (para peserta) kepada orang-orang dalam industri ini (hiburan) untuk menentukannya.

"Apa pun, vokal dan bakat paling diutamakan di mana 50 peratus jumlah pemarkahan diambil kira daripada sudut vokal peserta dalam pertandingan ini," ujarnya lagi.

Selain para peserta, pertandingan akhir Bintang RTM 2009 turut dimeriahkan oleh persembahan artis-artis undangan seperti Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Dia Fadilla, Asmidar dan Farawahida.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: