SEBAGAI juara 'Gadis Melayu' musim pertama, Khairul Noormaidah Zali atau Aida dilabel sebagai si cantik manis bertudung, lemah gemalai dan kontemporari.
Tutur katanya beradab, kaya dengan adat resam orang Melayu, berperilaku mulia dan pandai membawa diri selaras dengan identiti Aida - ikon gadis Melayu.
Apabila Aida membawa personaliti yang menyimpang jauh daripada status Gadis Melayu dalam program 'Apa ke hal' terbitan TV9, kritikan pedas dihamburkan kepadanya.
Hancur luluh empunya diri .....siapa yang tahu melainkan Aida sendiri.
"Saya kena menyampuk... bila orang tanya, saya kena jawab. Jadi, sesetengah penonton tidak menerima perilaku saya sebegitu kerana mereka menganggap saya telah melanggar norma-norma kemelayuan.
"Dalam laman web, bertubi-tubi saya dikritik.. ada yang menuduh saya "sempoi" dan macam-macam lagi. Namun, saya menganggapnya sebagai pengalaman baru," kata Aida yang merupakan hos bersama Abang Syamsul Ghau Ghau, Os dan Din Beramboi dalam program 'Apa ke hal' tersebut.
Juara Gadis Melayu musim pertama itu ditemui semasa mengacarakan sesi pengenalan 12 peserta Gadis Melayu musim kedua di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.
Merasai debaran cabaran kritikan demi kritikan penonton pada peringkat awal, Aida mengakui, dia hanya dapat menyeka linangan air mata yang bercucuran.
Bagaimanapun, dia faham itu adalah sebahagian sepak terajang yang perlu dilalui dalam industri hiburan dan dia berusaha untuk memperbaiki dirinya.
Sesetengah penonton mungkin tidak memahami personaliti sebenar Aida. Berkesempatan menemuramahnya, Aida ialah seorang jelitawan yang lemah-lembut dan persis Gadis Melayu sejati.
Apa yang dilakonkan dalam program "Apa ke hal" itu tidak mencerminkan keperibadian mulia Aida. Para penonton nampaknya lebih suka Aida mengacarakan program seperti 'Wanita Hari Ini' dan 'Nyonya' yang lebih menonjolkan sifat femininnya.
"Program "Apa ke hal" jauh berbeza dengan Nasi Lemak Kopi O dan Wanita Hari Ini.... Nyonya... Saya melihatnya sebagai satu permulaan yang baik. Sekurang-kurangnya lakonan saya itu berjaya mengabui mata para penonton.
"Kritikan-kritikan tetap ada dan saya tak boleh nak menutup mulut orang lain. Sebaliknya, saya jadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangat," ujar Aida yang, diam tak diam, telah menghoskan program "Apa ke hal" untuk hampir enam bulan.
Berhenti bercakap sebentar, Aida merenung kembali saat dia menerima cabaran Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzwan untuk memegang watak yang bercanggah dengan status Gadis Melayu.
Dia kemudiannya menggeleng-geleng kepalanya dan tersenyum sipu-sipu kerana menyedari dia telah 'dewasa'. Lebih penting ialah dia tidak menyesal kerana sahutan cabaran itu melebarkan sayap kerjayanya selepas ini.
Misalnya, Mei lalu, Aida yang berkelulusan Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam dari Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Utara Malaysia diberi kepercayaan oleh TV9 untuk mengacarakan dokumentari khas Aidilfitri 'Kembara Gadis Melayu di Afrika Selatan'.
"Sebagai hos, saya sama seperti "Travelogue" yang mengupas tentang bagaimana masyarakat Melayu di seberang menyambut Hari Raya di Afrika Selatan," kata Aida yang menghabiskan masa 10 hari di situ.
Bagi peserta-peserta Gadis Melayu musim kedua, Aida menitipkan sekelumit nasihat kepada mereka untuk dijadikan bekalan mengharungi hari-hari mendatang dalam pertandingan itu.
"Gelaran itu kurang penting, apa yang lebih penting ialah ilmu dan pengalaman yang ditimba. Semua pengalaman itu akan menjadikan diri kita lebih yakin, kuat pegangan agama dan kontemporari.
"Ingatlah, kesempatan ini merupakan satu permulaan kepada usaha yang besar. Mereka harus bersedia dari segi mental dan fizikal," ujar Aida.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: