|
|
JUARA pertandingan Bintang RTM 2009 (BRTM 2009), Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie mencatat sejarah tersendiri dalam pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 1974.
Ini kerana Ernie, 17, merupakan peserta termuda mengungguli pertandingan itu yang 100 peratus ditentukan juaranya oleh para juri profesional yang diketuai oleh Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Sebagai juara Bintang RTM termuda, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Methodist, Kuala Lumpur, ini menganggapnya sebagai cabaran dalam menerokai bidang seni suara pada usianya yang masih muda.
"Apabila diumumkan pemenang Bintang RTM 2009, saya memang terperanjat. Saya bersyukur kerana impian saya untuk memenangi pertandingan ini menjadi kenyataan selepas hampir empat minggu membuat persediaan.
"Kemenangan ini menjadi satu cabaran dan permulaan bagi saya untuk mengharungi bidang nyanyian pada masa depan," katanya kepada Hits selepas berakhirnya pertandingan itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Kemenangan itu membolehkan Ernie membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM20,000, trofi, sijil penyertaan, televisyen LCD 40 inci dan kamera digital Samsung yang disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Meskipun masih baru dalam persada seni suara, anak bongsu daripada dua beradik ini sudah bersedia untuk membabitkan diri secara serius sebagai penyanyi pada masa depan.
Ernie yang ditemani ibunya, Rafiah Mohd., 43, pada sidang media selepas pertandingan itu berlangsung turut bersedia menempuh cabaran sebagai pendatang baru dalam dunia hiburan yang penuh dengan suka dan duka.
"Saya sudah bersedia mengharungi apa juga cabaran dalam bidang ini. Dengan bakat menyanyi yang saya ada, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk bergelar penyanyi pada masa depan. Saya harap semua pihak akan menyokong saya.
Beri sokongan
Namun, pada masa sama beliau turut mengakui perjalanan seninya masih jauh di mana bidang pelajaran akan tetap diutamakan sebagai bekalan demi masa depannya.
Malah, Ernie juga optimis bidang nyanyian yang akan diceburinya kelak tidak akan mengganggu pelajarannya kerana dia sudah mula menyertai pertandingan nyanyian sejak berusia lima tahun.
Justeru, dengan wang tunai hasil kemenangannya itu, beliau akan memanfaatkannya bagi membiayai pembelajarannya dalam bidang vokal selepas tamat sekolah menengah kelak.
"Saya akan gunakan duit kemenangan ini bagi membiayai pengajian saya pada masa depan. Saya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang vokal di UiTM (Universiti Teknologi Mara) atau di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) kelak.
"Semoga kejayaan ini akan menjadi batu loncatan buat saya untuk lebih maju sebagai penyanyi dan cita-cita saya mahu menjadi guru vokal pada masa akan datang. Terima kasih kepada Cikgu Dia Fadila (guru vokal Bintang RTM 2009) yang banyak membantu saya selama ini," katanya.
Anna dilamar
Biarpun sekadar memenangi tempat kedua Bintang RTM 2009, tetapi Jo-Anna Sue Henley Rampas atau Anna boleh dianggap sebagai finalis pertandingan itu yang menerima hadiah wang tunai paling lumayan.
Peserta dari Kota Kinabalu, Sabah ini misalnya, menerima hadiah wang tunai RM15,000 kerana menjadi naib juara pertandingan itu selain menggondol kategori Persembahan Terbaik dengan mendapat RM5,000.
Anna juga membolot kategori Bintang Paling Popular yang ditentukan oleh undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton dan membawa pulang RM5,000 serta hadiah-hadiah sampingan yang lain.
Menurut bekas Ratu Tadau Keamatan Sabah 2007 ini, dia tidak menyangka merangkul ketiga-tiga kategori itu yang secara keseluruhannya membolehkannya mengaut hadiah wang tunai RM25,000.
"Saya berasa puas walaupun sekadar mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Bagi saya ini adalah rezeki. Saya sudah melakukan yang terbaik dan inilah hasilnya. Saya akui kehebatan suara Ernie kerana daripada awal lagi kita boleh nampak kelebihannya itu.
"Saya sedar kelemahan saya ketika beraksi pada peringkat akhir Bintang RTM 2009 ini terutama semasa menyanyikan lagu kedua berjudul Because of You. Sebab itu saya sudah bersedia untuk kalah," jelasnya.
Ketika ditanya tentang wang tunai hasil kemenangannya itu, Anna yang ditemani ibu bapanya, Kapten Dr. John Sheraton Henley, Sulah Rampas dan adik perempuannya, Crystal Sue Henley, berkata beliau belum mempunyai sebarang perancangan.
Sebaliknya, naib juara kacukan British dan Dusun ini akan mengutamakan bidang pelajaran dan menggunakan wang itu dengan sebaik-baiknya demi masa depannya.
"Tentang hadiah wang tunai itu saya belum fikirkan lagi. Mungkin saya akan gunakannya untuk rakaman album single atau sambung pengajian saya di kolej," ujarnya yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta di ibu negara.
Selain membolot hadiah wang tunai terbanyak, Anna juga merupakan antara finalis Bintang RTM 2009 yang paling mendapat perhatian ramai termasuklah wakil-wakil syarikat rakaman.
Hakikat itu dapat dilihat apabila biarpun pertandingan itu belum berakhir, tetapi khabarnya gadis berusia 20 tahun ini sudahpun dilamar oleh beberapa syarikat rakaman yang berminat untuk menjadikannya artis mereka.
"Memang betul saya ada menerima tawaran tetapi saya akan tengok dan teliti dulu tawaran-tawaran itu. Ini kerana, buat masa ini saya masih belajar dan ada lagi dua tahun setengah untuk menghabiskan pengajian saya.
"Saya belum berani untuk terikat dengan mana-mana syarikat tetapi kalau ada fleksibiliti dengan masa saya sebagai pelajar mungkin saya akan terima," katanya lagi.
Tersingkir uji bakat AF7
Pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2009, Nur Fatin Nabila Noor Sazley atau Fatin menganggap pertandingan nyanyian yang diiktiraf oleh kerajaan itu seakan-akan membuka ruang yang lebih luas kepadanya dalam bidang nyanyian.
Biarpun tidak bergelar juara tetapi dia tetap berasa puas kerana terpilih bertanding hingga ke peringkat akhir pertandingan tersebut.
Anak kelahiran Kluang, Johor, ini turut bersyukur kerana Bintang RTM 2009 sedikit sebanyak mengubat rasa kecewanya selepas pernah tersingkir dalam sesi uji bakat program TV realiti Akademi Fantasia 7 (AF7) terbitan Astro awal tahun ini.
"Saya tidak menyangka berjaya melayakkan diri hingga ke final Bintang RTM 2009. Ini adalah pencapaian terbaik saya dalam pertandingan nyanyian yang pernah saya sertai setakat ini. Sebelum ini iaitu pada Februari lalu saya pernah menyertai sesi uji bakat AF7.
"Sayangnya, pada uji bakat yang diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru itu, saya hanya berjaya sampai tahap saringan peringkat tiga sahaja. Saya gagal dalam uji bakat itu," imbasnya sambil ketawa ketika ditanya tentang pengalamannya itu.
Bagaimanapun, Fatin menganggap kejayaannya merangkul tempat ketiga seperti berjalan seiringan apabila dia terpilih dalam sesi temuduga sebagai pramugari syarikat penerbangan AirAsia yang disertainya baru-baru ini.
Namun, gadis yang baru tamat persekolahan ini terpaksa menolak tawaran bekerja sebagai pramugari di syarikat tambang murah itu bagi memberi tumpuan terhadap pelajarannya.
"Saya terpaksa tolak tawaran AirAsia kerana permohonan saya untuk melanjutkan pengajian di Kolej Help dalam bidang Multimedia berjaya. Ini adalah masa depan saya.
"Bidang nyanyian tetap akan saya teruskan di mana saya harap ia dapat berjalan seiringan dengan pengajian saya nanti," ujarnya yang akan memulakan pengajian pada Julai ini di Kolej Help, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam pada itu, Fatin sempat meluahkan pandangannya berhubung pencapaiannya sebagai pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2009.
Dia tidak menafikan kemantapan serta keunikan vokal yang dimiliki oleh Ernie, tetapi vokalis kumpulan The Triplets ini menganggap Aina salah seorang finalis pertandingan itu sebagai pesaing terdekatnya.
"Walaupun Aina tewas tetapi saya menganggap dia sebagai pesaing terdekat saya kerana saya dapati vokal unik yang dimilikinya. Saya memang rapat dengannya. Bagi saya, kalau dia (Aina) dapat tempat kedua atau ketiga pun okay," komennya.
Dengan kemenangan Fatin itu, dia membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, sijil penyertaan, TV LCD 32 inci dan pemain DVD mudah alih.
Sementara itu, lima lagi finalis Bintang RTM 2009, Zilla, Aina, Nizam, Adli, Ikbal pula masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: