Friday, July 31, 2009

Peniaga bingung gula kurang


SEORANG peniaga, Rustam Jinis meletakkan tanda 'gula habis' di kedainya setelah bekalan itu terputus di kedainya di Hulu Langat semalam.


HULU LANGAT - Belum pun bulan Ramadan bermula, masalah kekurangan stok gula kembali 'menghantui' para peniaga runcit dan ia dikatakan sudah berlarutan sejak sebulan lalu terutama di Lembah Klang.

Puncanya, pengeluar gula dikatakan mengenakan kuota kepada semua pemborong dan pembekal atas alasan tidak mahu bekalan itu tidak mencukupi semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan sekitar Hulu Langat dan Cheras di sini mendapati ada di antara peniaga runcit hanya mendapat sedikit bekalan gula daripada pembekal sehingga ada yang sudah lima hari kehabisan stok gula.

Akibatnya, orang ramai serta pengusaha kedai makan dan pembuat kuih di kawasan berkenaan terpaksa keluar mencari gula di pasar raya besar untuk kegunaan seharian.

Salah seorang pemilik kedai runcit, Rustam Jinis, 49, berkata bekalan yang diterima daripada pembekal ketika ini tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan.

"Sebelum ini saya dapat satu tan seminggu, kemudian turun kepada setengah tan tapi sekarang tinggal suku tan sahaja. Secara logik mana cukup. Lebih perit, pelanggan tuduh saya simpan gula tapi hakikatnya memang gula tidak ada," katanya ketika ditemui di Taman Seri Nanding di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: