|
MARILYN sebenarnya dah naik muak dengan kisah artis yang tak berdisiplin dan suka menyusahkan orang lain. Disiplin yang Marilyn maksudkan di sini adalah berkait rapat dengan masa. Biasalah, ada beberapa kerat artis kat Malaysia ni yang tak reti-reti nak ikut jadual yang dah ditetapkan untuk mereka.
Baru-baru ini, teman Marilyn iaitu Fasha Clara bercerita tentang kes seorang artis jelita yang tak tepati waktu untuk menghadiri sesi fotografi. Artis ni memang satu Malaya dah tahu awal-awal perangai buruknya yang tak pandai bahagikan masa. Malah dia juga berdepan dengan masalah lain yang tak larat Marilyn nak cerita kat sini.
Menurut Fasha Clara, artis ni dah diberitahu sejak awal lagi untuk muncul di pejabat Utusan tepat pada masanya sebab Fasha Clara ada tugas lain selepas tu.
Cuma apa yang membuatkan Fasha Clara tersedak, artis ni dengan muka selamba sampai lambat ke sesi fotografi tanpa meminta maaf. Dua jam lewat daripada yang dijanjikan walaupun beberapa kali Fasha Clara cuba menghubungi telefon bimbitnya. Namun dia tetap tak jawab panggilan tu. Tau-tau dia dah muncul di studio.
Bahkan dia boleh cakap tak teringat dengan temu janji bersama pihak media pada tarikh berkenaan. Nasib baik salah seorang ahli keluarganya beritahu tentang perkara tu, barulah dia tersedar dia ada sesi fotografi.
Kalau tak ada sesiapa yang ingatkan dia, maka pastinya kelibatnya tak muncul-muncul pada hari tu. Artis ni baru saja menamatkan kontrak dengan pengurusnya dan kini dia bergerak sendirian sambil dibantu oleh ahli keluarga.
Cuma Marilyn pelik sikit dengan perangai artis ni. Takkan dia tak ingat langsung dengan temu janji yang baru saja diberitahu menerusi SMS oleh Fasha Clara beberapa jam sebelum bermulanya sesi fotografi tu? Atau barangkali dia terlepas pandang SMS kawan Marilyn tu kot.
Marilyn tak nak bising-bising kat sini. Cuma pada pendapat Marilyn artis ni kena ada inisiatif sendiri kalau dah tahu tak ada sesiapa yang nak ingatkan dia tentang jadual kerja dalam hari-hari tertentu. Awak tu dah besar panjang, takkan sampai perkara remeh macam tu pun nak kena orang lain ingatkan?
Jadual kerjaya seni awak sekarang pun dah suam-suam suku. Kalau setakat nak ingat sesi fotografi tu tak jadi hal untuk dia. Orang lain yang betul-betul sibuk boleh je ingat dengan tanggungjawab kerja mereka. Tak faham Marilyn dengan orang yang masih berperangai macam ni.
Kalau benda tu terjadi kat Marilyn sendiri, dah lama Marilyn halau artis tu supaya balik saja dan tak payah datang ke sesi fotografi yang dijanjikan. Orang nak beri publisiti kat dia tapi artis tu boleh pulak bersikap sambil-lewa. Orang lain pula yang kena tanggung perangai hodohnya tu. Kasihan Fasha Clara yang terpaksa menanti penuh sabar si artis tak berpelajaran tu!
Marilyn: Teringat kisah kumpulan The Devine Master yang datang awal sejam ke sesi fotografi bersama Kosmo!, harap kekalkan selepas dah popular nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: