PENONTON akan menyaksikan kelainan yang ditampilkan dalam 'Teater Muzikal Tun Abdul Razak' pada 16 hingga 20 Ogos ini di Istana Budaya berbanding persembahan muzikal itu yang pernah dipentaskan oleh pelajar Akademi Seni, Warisan dan Kebangsaan (Aswara) pada Oktober tahun lalu.
Menurut Rektor Aswara, Datuk Omar Awang ketika majlis sidang media muzikal itu, persembahan yang akan dipentaskan kali ini lebih menyeluruh dengan menampilkan bintang tersohor seperti penyanyi dan pelakon Fauziah Latiff dan pelakon Rashidi Ishak.
Selain itu, tenaga produksi yang akan melicinkan perjalanan muzikal itu juga terdiri daripada tenaga pengajar Aswara berbanding dahulu menggunakan pelajar.
“Pengalaman yang digunakan juga lebih praktikal dengan khalayak yang lebih besar. Kali ini, elemen komersial juga akan diterapkan kerana kita tidak mahu mendedahkan sesuatu yang percuma tanpa ada nilai,” katanya.
Sementara itu, penulis skrip dan pelakon teater, Rosdeen Suboh pula berkata ada beberapa babak yang direka untuk menkreatifkan teater ini.
“Babak yang kita reka itu seperti majlis Hari Jadi bagi menonjolkan peribadi Tun Abdul Razak yang walaupun kuat bekerja tetapi dia masih meluangkan masa untuk meraikan majlis Hari Jadi anaknya, Nazir pada tahun 1984.
“Selain itu, kita akan menampilkan satu watak istimewa untuk mendramatikkan teater ini dengan mewujudkan ‘penglipurlara’ yang akan membuat sambungan dari satu babak ke satu babak.
“Kita juga menyediakan muzik dan tarian boria pada era 1976 dan cerita dari pemerintahan sehingga beliau meninggal dunia di London.
“Setakat sebulan pertama ini, kita sudah menumpukan kepada ‘ensembel’ manakala pada bulan kedua nanti kita akan memperkemaskan dari aspek nyanyian berdialog,” jelas graduan Aswara ini.
Bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-52 tahun, teater bertemakan nasionalisme ini mengisahkan perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang Allahyarham Tun Abdul Razak kepada agama, bangsa dan negara.
Justeru, tiga persoalan utama yang diungkap dalam persembahan teater ini iaitu perjuangan, perpaduan dan kekeluargaan.
Teater muzikal ini bakal menghimpunkan elemen-elemen utama dalam seni persembahan seperti muzik dan nyanyian, gerak dan tari, lakonan, dan senireka pentas.
Teater ini akan mengimbau detik awal perjuangan Allahyarham sehinggalah detik-detik terakhir kepimpinan beliau yang telah meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.
Persembahan berdurasi dua jam itu terbahagi kepada empat segmen iaitu Tun Abdul Razak dan awal kepimpinan, Tun Abdul Razak sebagai perdana menteri, kemuncak pentadbiran Tun Abdul Razak dan hari-hari terakhir Tun Abdul Razak.
Teater arahan pengarah dan pelakon popular Datuk Rahim Razali itu melibatkan 18 orang pelakon, 50 orang ensembel, 20 pemuzik dan lima orang penyanyi vokal.
Bersempena dengan pementasan ini juga akan diadakan pameran dengan kerjasama Jabatan Arkib Negara mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak. Pameran ini akan diadakan bermula pada 9 hingga 20 Ogos ini di ruang legar Istana Budaya. Maklumat ini secara tidak langsung akan memberi informasi berkenaan kepimpinan dan ketokohan Allahyarham.
Saksikan Muzikal Tun Abdul Razak mulai 16 hingga 20 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: