SELEPAS empat lokasi berjaya ditawan, kini Konsert Di Awan Biru Search bakal menghiburkan penghuni kota apabila dipentaskan di Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur, esok jam 8 malam. |
Tentu saja konsert itu bakal mencipta sejarah baru dalam karier seni Search yang dianggotai Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, Nasir Daud, Yazid Ahmad, Hillary, Kid dan Din kerana sebelum ini lebih senang menjadikan Stadium Merdeka sebagai lokasi untuk beraksi.
Vokalis Search, Amy berkata, dengan keluasan tapak konsert yang mampu menampung kapasiti lebih 20,000 penonton, tentunya konsert itu nanti menjadi sebuah persembahan cukup gemilang.
"Konsert Di Awan Biru Search membabitkan produksi yang sangat besar dan menuntut perancangan cukup teliti. "Berhubung pemilihan Polo Pavillion sebagai lokasi, saya melihat dengan kapasiti yang luas dapat menampung lebih ramai penonton.
"Lebih ramai penonton yang datang ditambah pula penggunaan penata bunyi yang hebat termasuk persembahan Search sendiri, konsert ini tentunya lebih memberi kepuasan bukan saja kepada kami sebagai penghibur, tetapi seluruh peminat," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Dalam kunjungan untuk mengedarkan tiket konsert, Amy turut mendapat kejutan dengan kek sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-51 pada 28 Julai lalu.
Antara yang hadir Pengarang Metro Ahad, Sharifuddin Mohamed; Pengarang Rencana, Roslan Ibrahim; Penolong Pengarang Hiburan, Hartati Hassan Basri dan Pengarang Berita Metro Ahad, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein serta wartawan Harian Metro dan Metro Ahad.
Amy tidak menafikan seawal perbincangan pihaknya memilih untuk melangsungkan konsert di Stadium Merdeka sebagai mengembalikan nostalgia kegemilangan mereka.
Namun, disebabkan stadium sedang mengalami pengubahsuaian akhirnya mereka mencari lokasi lain.
"Kalau boleh, kami memang mahu beraksi di Stadium Merdeka, tetapi hendak buat macam mana stadium itu sedang diubah suai.
"Saya juga ingin memaklumkan tiket berharga RM58 dan RM88 masih lagi dijual dan peminat boleh membelinya di kaunter tiket yang terletak berhampiran pintu masuk konsert. Sementara tiket berharga RM150 sudah habis dijual," katanya.
Konsert dibawakan syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom itu dimulakan dengan lokasi pertama di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 2 Mei, diikuti Johor Bahru, Jengka dan Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, lokasi di Kelantan, Sabah dan Sarawak terpaksa ditunda atas masalah serta sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
"Kami akan merencana semula jadual siri jelajah ini sebaik selesai menjayakan konsert kemuncak Sabtu ini. Mengikut perancangan, kami akan ke Sabah dan Sarawak selepas sambutan Aidilfitri.
"Di atas permintaan ramai, Search memutuskan untuk menambah satu lagi lokasi persembahan iaitu di Batu Pahat dan diharapkan ia mendapat sambutan hebat sebagaimana di Johor Bahru," katanya.
Seperkara yang menarik mengenai persembahan di Polo Pavillion, bekas gitaris Search, Kid turut beraksi buat pertama kalinya sepanjang siri konsert jelajah ini diadakan.
"Istimewa buat peminat Search, kami tampilkan kembali Kid yang akan mengiringi persembahan Search malam itu untuk sekitar enam lagu daripada tempoh dua jam persembahan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: