SHAH ALAM: Perintah mahkamah yang diterima untuk mengosongkan rumah sewa banglo, dua tingkat penyanyi dangdut Amelina di Kota Kemuning, Shah Alam seharusnya bermula dengan lelongan barangan rumah pagi tadi.
Namun, perkara itu tidak terjadi setelah Amelina dan suaminya, Reduan Mahmood tampil menunjukkan surat mahkamah bahawa barang-barang milik mereka tidak boleh dikeluarkan dari rumah itu.
Dan pasangan itu juga telah membuat bayaran sebanyak RM3 800 kepada pemilik rumah, Ravi atau nama sebenarnya K. Madhavankutty sebelum ini.
Insiden menjadi lebih ‘dramatik’ apabila Ravi terlebih dahulu telah meminta beberapa orang mengeluarkan barang-barang kepunyaan pasangan ini tanpa menghiraukan surat yang ditunjukkan oleh mereka.
Beberapa minit selepas itu, Ravi dan pasangan itu bertikam lidah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Ravi.
Sejurus selepas itu, suami Amelina tiba-tiba menggertak Ravi untuk menyaman sesiapa yang mengeluarkan barangan daripada rumahnya.
Bagi meredakan pertengkaran, pihak polis yang hadir bersama Ravi pada pagi tadi terus mengambil dan membaca surat perintah mahkamah yang didakwa melarang Ravi dari mengosongkan rumah itu.
Timbul sedikit kekeliruan apabila Ravi dan Amelina mengeluarkan dua surat perintah mahkamah yang bercanggah.
Ketika ini, peguam Ravi pula, Arnold Andrew tampil menjelaskan surat yang dikeluarkan oleh Amelina dan suaminya, sebenarnya adalah surat rayuan kepada Mahkamah Tinggi agar perintah mengosongkan rumah sewanya hari ini tidak dilaksanakan sementara menunggu perbicaraan.
“Surat rayuan itu tidak sah kerana pemilik rumah ini sudah mendapat perintah untuk pecah masuk rumah dari mahkamah magistret terlebih dahulu sebelum surat rayuan itu dikemukakan oleh Amelina.
“Jadi tindakan ini ‘mengosongkan rumah’ hari ini akan diteruskan mengikut perintah mahkamah,” kata Andrew.
Barang-barang Amelina seperti perabot, almari, kerusi, meja, set hi-fi, set TV, alat kelengkapan golf, set sofa dan semua peralatan rumah, kini berada di luar rumah sewa itu.
Amelina dan suami diberi tempoh sehingga pukul 5 petang ini untuk diangkut. Andainya barangan ini tidak diambil selepas tempoh yang diberikan, Ravi akan memberi kelonggaran masa dan barangan ini akan ditempatkan di bahagian luar kawasan rumah dengan pintu mangga yang bermangga.
Pada 24 Jun lalu, Ravi telah mendapatkan perintah dari Mahkamah Majistret di sini untuk mengusir Amelina setelah Amelina dan suaminya tidak membayar sewa rumah selama dua bulan.
Amelina dan suaminya mula menyewa rumah di Jalan Anggerik Oncidium, Kota Kemuning Shah Alam dengan sewa RM2 700 sebulan pada bulan April tahun ini. Namun pasangan itu gagal melunaskan sewa rumah sebulan selepas itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: