TIDAK terlintas di hatinya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang dengan menguar-uarkan berita majlis perkahwinan keduanya dengan tokoh korporat sebuah syarikat telekomunikasi pada Jumaat ini. |
Malah dramatis jelita, Noniswara Baharudin, 39, mengatakan majlis perkahwinannya akan berlangsung secara ringkas dan sederhana untuk meraikan ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
"Buat apa saya nak berkahwin secara senyap-senyap di Thailand dan merahsiakannya dari pengetahuan pihak media?
"Bagi saya, soal mendirikan masjid ini wajib diberitahu kepada orang ramai kerana ia perkara yang baik.
"Majlis ini juga untuk memberitahu saudara-mara, teman rapat dan peminat, saya sudah menamatkan zaman solo (janda) dan kini berkahwin buat kali kedua dan membina keluarga yang baru.
"Apa yang saya harapkan sekarang, peminat juga mendoakan majlis pernikahan dan resepsi kami berjalan lancar seperti direncanakan nanti," katanya.
Majlis pernikahan Noniswara dan pasangannya yang juga Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzwan, 50, akan berlangsung selepas solat Isyak di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, esok.
Manakala majlis resepsi berlangsung keesokan harinya, 1 Ogos pada jam 8 malam di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Terus terang, kata Noniswara, debaran lebih dirasai berbanding perkahwinan pertamanya dulu.
Akuinya, memang agak kelam-kabut sedikit untuk menguruskan majlis perkahwinannya kali ini.
"Saya juga mengambil masa dua minggu untuk menguruskan dokumen berkaitan yang diperlukan untuk majlis pernikahan saya ini.
Mengulas mengenai persiapan majlis perkahwinannya itu, Noniswara yang juga Pengarah Urusan Symphony Advanced Sdn Bhd berkata, setakat ini ia sudah siap 80 peratus membabitkan baju, kad undangan dan jamuan makan.
"Kad undangan sudah diedarkan kepada jemputan yang juga saudara-mara dan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan rakan media.
"Majlis resepsi yang berkonsep moden dan tradisional ini juga tidak ada majlis persandingan.
"Kami hanya mengadakan jamuan makan dan ada acara memotong kek perkahwinan nanti.
"Pada majlis akad nikah, saya bakal menggayakan rekaan dari butik Cosry dan pada majlis resepsi pula rekaan Amir Luqman.
"Selain itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan hiburan daripada rakan artis yang juga teman rapat pada majlis resepsi itu nanti.
"Maaflah, saya tidak boleh beritahu siapa rakan artis yang diundang untuk buat persembahan kerana ingin memberikan kejutan buat tetamu nanti," katanya.
Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan berstatus ibu tunggal ini mempunyai tiga anak dari perkahwinan pertama.
Manakala Rosman berstatus duda dan mempunyai lima anak dari perkahwinan terdahulu.
Sekalipun sibuk membuat persiapan hari bersejarahnya, Noniswara sempat meluangkan masa menjadi tetamu undangan program masakan Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza terbitan Global Station Sdn Bhd.
Rakaman program masakan sebanyak 15 episod ini berlangsung di kediaman Siti di Bukit Antarabangsa, Rabu lalu.
Apa yang menarik, Noniswara turut berkongsi dengan peminat kepakarannya di dapur dengan memasak makanan kegemarannya, ayam percik untuk program yang bakal menemui penonton pada Ramadan nanti.
Mengenai perkembangan kerjaya lakonan pula, Noniswara turut menjadi pelakon undangan dalam drama bersiri Kecuali Cintamu yang dihasilkan Astro untuk program Anak Wayang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: