Tinggal beberapa hari sahaja lagi, konsert Jamal Kembara Seniman akan dipersembahkan di Istana Budaya. Konsert yang menampilkan persembahan istimewa dari penyanyi yang bersuara emas, Jamal Abdilah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
Bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya Jamal Kembara Seniman mempunyai cerita dan kisah di sebalik perjuangan Jamal sepanjang 30 tahun sebagai anak seni. Bermula dari lahir, zaman remaja, kenangan menyanyi di Pasar Minggu Teluk Anson (Teluk Intan), penyertaan dan menjuarai pertandingan Bintang RTM (1979), sehinggalah zaman kegemilangannya bergelar penyanyi.
Sepanjang tempoh tiga dekad dalam industri seni, penyanyi, pelakon dan komposer kelahiran Ipoh Perak ini juga tidak terkecuali daripada meniti babak duka dalam kehidupannya. Dengan menganggapnya sebagai pengalaman berharga yang mematangkan lagi dirinya, kata Jamal, episod-episod hitam itu akan turut dikongsi dengan penonton pada persembahannya itu nanti. Turut dipaparkan, konflik bersama Datuk Ahmad Nawab yang sedikit masa dulu pernah menjadi perhatian pihak media dan juga orang ramai.
“Konsert ini bukan sahaja memaparkan kisah kegemilangan saya sebagai penyanyi, tetapi juga turut memuatkan kisah sedih dan konflik yang pernah saya hadapi. Saya nak kongsi dengan penonton bagaimana saya ‘survive’ dan teruskan kehidupan ketika dalam keadaan tertekan. Di mata masyarakat, saya popular dan dipuja setiap masa, tapi hakikat di sebalik diri saya yang sebenar, jiwa saya kosong dan sepi.
“Saya anggap pengalaman hitam itu sebagai satu proses kehidupan yang telah memberikan pengajaran yang bermakna untuk saya teruskan kehidupan. Dan saya fikir, kenapa tidak saya buat kebaikan untuk diri sendiri. Kalau diikutkan, sudah lama saya jutawan, tapi saya tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini. Setelah lama tersungkur, apa yang saya capai sekarang, ‘kesedaran dan kewarasan’ inilah kekayaan saya yang sebenar,” kata Jamal yang ditemui ketika majlis sidang media konsertnya itu di Istana Budaya baru-baru ini.
Ditanya tentang segmen paling istimewa dalam persembahannya itu nanti, Jamal berkata, memori di Pasar Teluk Anson (Teluk Intan) dan juga perjalanannya ketika menyertai dan menjuarai Bintang RTM adalah yang paling indah untuk dikongsi. Beliau yang pada mulanya pemuda biasa yang sering menyanyi di bawah pokok, tidak menyangka akhirnya menjadi pujaan ramai setelah menjuarai Bintang RTM ‘79.
Tanggungjawab bertambah
Mengulas tentang konsertnya yang bakal menjelang pada 5 hingga 9 Ogos itu, Jamal memberitahu, sehingga kini team produksi miliknya, Bintang Chanell dan pihak Istana Budaya masih giat melakukan kerja-kerja akhir untuk memastikan persembahannya selama lima malam itu berjalan dengan lancar. Beliau yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai
pengarah persembahan, setelah penarikan diri pelakon dan pengarah, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, tidak menganggapnya sebagai satu beban untuk menjayakan konsertnya itu.
“Setelah penarikan Ogy, saya membuat keputusan untuk memikul tanggungjawab itu (pengarah persembahan) sendiri kerana hanya saya yang lebih faham tentang diri saya, dan apa yang bakal dipersembahkan itu nanti juga adalah kisah tentang saya. Insya-Allah, setakat ini tak ada masalah. Dengan adanya khidmat dari Zainal Abidin Bujang yang merangkap sebagai pengarah persembahan dan pengarah tari, saya harapkan konsert ini akan berjalan lancar,” kata Jamal yang ada memberitahu penarikan Ogy disebabkan komitmen lain.
Selain Jamal sebagai artis utama, Jamal Kembara Seniman turut menampilkan pemenang Bintang RTM 2009, Nur Ernie, (johan) Jo-Anna Sue (naib johan) dan Nur Fatin (tempat ketiga) sebagai artis undangan. Mengulas tentang pemilihan mereka, kata Jamal, memandangkan dia juga berasal dari Bintang RTM, maka dia berbesar hati untuk bekerjasama dengan RTM, di samping memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi baru itu untuk menonjolkan bakat mereka.
“Kalau boleh saya nak panggil ramai artis, tapi budget kurang. Lagipun orang datang untuk tengok saya," kata Jamal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: