Friday, July 31, 2009

Konsert semangat 1Malaysia


ROSMAH sedang bertanya sesuatu kepada M. Ganeson, bekas anggota tentera yang mengalami ketidakupayaan pada kakinya.


WALAUPUN sekadar mengadakan latihan penuh dalam tempoh tidak sampai sehari, namun konsert Patriotik Seri Pahlawan 1Malaysia yang disiarkan di TV1 bermula pukul 8.30 malam Isnin lalu tetap berlangsung dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah.

Konsert tersebut diadakan sempena memperingati Hari Pahlawan 2009 pada 27 Julai lalu anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Persatuan Penyanyi-Penyanyi Tanah Air (Papita).

Menurut Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, dia cukup bersyukur apabila konsert yang dikendalikan untuk kali pertama ini berjalan dengan baik.

"Disebabkan malam sebelumnya ada program lain di Auditorium RTM Angkasapuri maka kami tidak dapat melaksanakan raptai penuh untuk konsert ini.

"Saya cuma ada masa sehari untuk memastikan acara ini berjalan dengan baik. Kami mengadakan latihan sekitar pukul 10 pagi dan hanya berakhir sekitar 7 malam.

"Para penyanyi dan tenaga produksi konsert ini terpaksa bekerja keras untuk memastikan kami tidak membuat sebarang kesilapan semasa acara ini sedang bersiaran langsung di kaca televisyen.

"Biarpun sedikit kelam-kabut pada awalnya, saya akui berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan konsert ini. Walaupun ada sedikit kecacatan di sana sini namun saya tetap berbangga dengan acara ini.

"Alhamdulillah, setiap pihak yang menjayakan konsert Patriotik Seri Pahlawan 1Malaysia memperlihatkan kerjasama seratus-peratus," katanya ketika ditemui sejurus berakhirnya konsert berkenaan.

Turut hadir pada konsert itu ialah isteri kepada Perdana Menteri merangkap penaung kempen Hari Pahlawan, Datuk Paduka Seri Rosmah Mansor dan beberapa tetamu kehormat lain.

Dalam majlis sama, Rosmah menerima tiga cek daripada organisasi berbeza dan beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada anggota-anggota bekas tentera dan balu-balu.

Sambung M. Daud lagi, dia mengambil masa selama dua bulan bagi mendapatkan idea untuk mengadakan majlis tersebut.

"Waktu itu saya masih buntu memikirkan tentang konsep yang bertepatan untuk ditampilkan dalam konsert ini.

"Apabila diberikan tugas untuk mengepalai konsert ini, saya mula mencari bahan terutama lagu-lagu yang bersesuaian untuk diperdengarkan kepada hadirin termasuk tetamu kenamaan.

"Saya mula mendapat CD yang menyenaraikan lagu-lagu berjiwa patriotik dan mendengar berkali-kali di dalam kereta.

"Setelah mendapati satu-satu lagu ini sesuai dan menyelitkan elemen-elemen puisi kemerdekaan dan semangat perjuangan dalam seni kata lalu saya terus membuat pilihan.

"Setiap lagu yang didendangkan oleh artis-artis pada malam ini memang ada signifikan tersendiri yang mampu membuatkan penonton terbuai dengan alunan irama dan liriknya.

"Contohnya lagu Bapak, Warisan, Di Mana Ku Cari Ganti, Baju Hijau, Bahtera Merdeka, Lagenda dan lain-lainnya punya pengertian tersirat dan tersurat masing-masing.

"Sebanyak lapan buah lagu dipilih secara keseluruhan untuk konsert ini. Dalam fikiran saya juga sudah ada beberapa senarai artis yang akan menyanyikan lagu-lagu yang dipilih ini.

"Lantaran itu, Azharina, Roy, Datuk Ahmad Jais, Faizal Tahir, Datuk Sheila Majid dan beberapa nama lagi menjadi senarai artis yang membuat persembahan pada konsert ini," jelasnya yang turut dibantu oleh koreografer Badan Kesenian Tentera Udara, Kapten Abdul Aziz Ismail.


AZHARINA


Dalam pada itu, M. Daud turut merencana idea untuk memuatkan konsert ini dalam bentuk VCD dalam waktu terdekat ini.

"Saya merancang untuk membuat VCD bagi sesiapa yang tidak berkesempatan menyaksikan konsert Patriotik Seri Pahlawan 1Malaysia.

"Harapan saya agar pihak tentera dan orang awam dapat memiliki VCD ini sambil membantu menghulurkan derma kepada insan-insan memerlukan yang terdiri daripada bekas perajurit dan balu-balu mereka.

"Saya juga akan menyelitkan cerita tentang perjuangan lima bekas Perdana Menteri Malaysia yang sebelum ini membangunkan negara ke tahap lebih tinggi.

"Elemen kemerdekaan sudah pastilah tidak dilupakan termasuk menonjolkan kisah tentang Tentera Laut dan Tentera Darat yang selama ini tanpa lelah menjaga keamanan negara daripada ancaman anasir luar.

"Semoga impian untuk menghasilkan VCD untuk konsert ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada khalayak.

"Jika semua perancangan berjalan dengan baik dan semuanya dipersetujui maka saya akan memohon Perdana Menteri kita melancarkan VCD ini kelak," ungkap M. Daud lagi.

Berhibur sambil menderma

Menguak tirai adalah persembahan koir Warisan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil diiringi oleh 12 orang pemuzik yang menyampaikan lagu Pahlawanku dan Sekapur Sireh.

Kemudian persembahan diteruskan dengan nyanyian daripada Kenny Lee yang mendendangkan lagu Bapak yang merupakan nyanyian daripada daripada penghibur terkenal, Datuk Sudirman Arshad.

R. Subra juga menonjolkan persembahan yang memukau ramai dengan pentomin tugu negara sambil menyanyikan lagu Bunga Negara.

Lagu Baju Hijau yang cukup sinonim dengan penyanyi bernama Jay Jay juga dilontarkan dengan baik sekali sehingga membuatkan peminat yang berada di dalam dewan mula menyanyi mengikut alunan irama.

Penyanyi veteran, Datuk Ahmad Jais yang muncul dengan baju Melayu dan bersampin turut menghanyutkan perasaan audiens dengan lagu Bahtera Merdeka.

Karya Ilham Pujangga turut diluahkan oleh penyanyi Roy di samping penyanyi bersuara serak-serak basah, Azharina membacakan puisi yang melaungkan semangat kemerdekaan sebelum menyampaikan lagu Warisan dengan sepenuh penghayatan.

Kemunculan Sheila Majid dengan baju kurung bergaya sederhana juga mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang teruja melihatnya membuat persembahan dengan menyanyikan lagu Lagenda dan Di Mana Ku Cari Ganti.

Persembahan diteruskan oleh Faizal Tahir yang mendendangkan lagu Mentera Semerah Padi sebelum pentas diambil alih semula oleh koir Warisan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan lagu Perajurit Tanah Air.

Konsert Patriotik Seri Pahlawan 1Malaysia diakhiri dengan lagu 1Malaysia yang dilihat bersesuaian dengan konsep yang dicanangkan oleh Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.


PERSEMBAHAN daripada penyanyi veteran tersohor, Ahmad Jais.


Dalam acara tersebut, simbol bunga raya berwarna merah diedarkan kepada setiap orang yang ingin menyumbang ke dalam tabung derma Hari Pahlawan.

Paling pasti, penonton dapat berhibur sambil menderma sekali gus mengenang kembali momen-momen sama ada pahit dan manis tentang perajurit yang pernah berbakti kepada negara sebelum ini.

Ingatlah bahawa semangat juang mereka tidak harus dilupakan begitu saja dan lenyap ditelan peralihan zaman. Tidak dinafikan, tanpa individu-individu yang berhasil memerdekakan negara maka seluruh rakyat Malaysia tidak mampu mengecapi kemakmuran dan keamanan seperti hari ini.

Lantaran itu, marilah kita seluruh rakyat Malaysia untuk mengembeling tenaga demi mengekalkan kesejahteraan yang ada sekali gus hidup bersatu-padu sambil menjunjung konsep 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: