Thursday, July 30, 2009

Norman hantar kad undangan


Kad undangan perkahwinan NORMAN & Shireen


NAMPAKNYA terjawab sudah siapakah wanita bertuah yang berjaya mencuri hati abang sulung trio KRU Norman Abdul Halim.

Wanita yang menjadi pilihannya bukanlah orang jauh sebaliknya pekerja yang sentiasa membantunya selama ini. Wanita itu ialah Shireen Hashim, 44, Ketua Pegawai Eksekutif KRU International.

Norman, 37, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Berhad menegaskan meskipun perkahwinannya dinanti-nanti banyak pihak terutama keluarganya, dia tetap mahu sebuah majlis yang ringkas dan sederhana.

Tiada persandingan, tiada majlis resepsi besar-besaran dengan persembahan deretan artis popular dan tiada juga jemputan yang mencecah angka ribuan tetamu.

"Majlis perkahwinan saya ringkas sahaja, semua majlis dibuat di masjid sahaja. Apa yang penting itu akad nikah, rasanya dengan lakukan secara sederhana lebih afdal.

"Malah, jemputan juga terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak dan media. Itu sahaja, saya tidaklah menjemput ramai sangat orang kerana lokasi majlis pun di masjid," ulasnya ringkas.

Dia yang akan bernikah pada 7 Ogos depan selepas solat Isyak pada pukul 9 malam di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara telah pun menghantarkan kad jemputan yang indah kepada media menerusi wakilnya kelmarin.

Cantik dan elegan. Itulah gambaran yang diberikan saat pertama kali terlihat kad undangan perkahwinan Norman dan Shireen.

Kad undangan dalam kotak berwarna krim yang digubah cantik bertatah mawar merah jambu itu khabarnya dibuat sendiri oleh adik ipar Norman, Milia yang juga isteri kepada Edry.

Bercerita tentang bakal isterinya, Shireen yang tujuh tahun lebih tua daripadanya dan berstatus ibu tunggal beranak satu, Norman memberitahu dia tertarik dengan sifat lemah lembutnya. Akhirnya percintaan dalam diam-diam selama dua tahun membawa hubungan mereka sehingga ke jinjang pelamin.

"Saya tidak kisah dengan status bakal isteri kerana yang paling penting ialah hati budi dan keikhlasannya berkawan dengan saya sebelum ini.

"Shireen cukup bersabar dengan saya dalam setiap hal, malah sanggup berkorban untuk saya dan tidak pernah jemu meningkatkan kemajuan syarikat KRU International," katanya mengagumi komitmen bakal isteri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: