DIRINYA pernah mencetuskan kontroversi apabila menyertai pertandingan ratu cantik Miss Universe di Amerika Syarikat pada 23 Julai 2006. |
Dalam pertandingan itu, Nadine Chandrawinata dikatakan memalukan orang Indonesia kerana tergagap-gagap menjawab soalan dalam bahasa Inggeris hingga mengatakan Indonesia sebagai kota indah.
Penyertaan Nadine atas tajaan Yayasan Puteri Indonesia selepas menjuarai Putri Indonesia 2005, bagaimanapun hanya mampu berpuas hati dengan kejayaan di tempat kedua untuk busana Budaya Nasional Terbaik serta gelaran Putri Persahabatan.
Nadine dikatakan takut untuk pulang selepas pertandingan hingga mengambil tempoh selama sebulan setengah.
Gadis kacukan Indonesia di sebelah bapa dan Jerman di pihak ibu ini juga berhadapan bantahan organisasi Mujahidah hingga membuat laporan polis atas alasan melanggar Fasa 281 KUHP mengenai kesusilaan.
Tapi semua itu sudah lama ditinggalkan dan cuba dilupakan insan jelita yang mendapat jolokan gadis seribu wajah ini. Anak pasangan Andy Chandrawinata dan Elfriede kelahiran Hanover, Jerman pada 8 Mei 1984 ini tidak mahu menoleh ke belakang dan kini mengejar impian menjadi artis serba boleh.
Katanya, sebagai orang yang menjadi tumpuan ramai, dia menjadikan Titiek Puspa dan Dorce Gamalama sebagai idolanya kerana mereka menjadi artis serba boleh.
"Saya memang ingin menjadi wanita serba boleh yang punya bakat dalam pelbagai cabang seni. Itulah sebabnya saya tidak mahu melepaskan kesempatan yang datang.
"Apabila ada pihak berminat mengambil saya berlakon, saya cuba. Ternyata bidang ini menarik dan saya serius mempelajari lakonan supaya penampilan saya dihargai," katanya.
Lakonan Nadine sebagai Vanisa dapat disaksikan menerusi sinetron J yang disiarkan di 8TV setiap Ahad, jam 11 malam. Dalam drama itu, Nadine berlakon bersama Samuel Rizal sebagai Junior atau J dan juga Fera Feriska (Vanina).
Akui Nadine, pengalaman menjayakan filem itu banyak meninggalkan kenangan buat dirinya.
Malah, dia tertarik menerima tawaran itu disebabkan banyak faktor.
Selain ceritanya bagus dan konsepnya kuat, Nadine melihatnya berbeza dengan filem yang pernah dijayakannya sebelum ini.
Katanya, dia cuba melakukan sebaik mungkin kerana belum pernah berlakon filem seram.
Dalam filem itu, Nadine menjadi Abel, wanita patah hati sehingga cuba membunuh diri, tetapi dia dapat diselamatkan.
Sejak itu kehidupannya sering diganggu dan satu-satunya cara untuk selamat, hanyalah jika Abel memilih untuk mati sekali lagi.
"Paling penting, saya ingin bekerja dengan pengarahnya, Rizal Mantovani dan ceritanya juga cukup menyeramkan. "Saya banyak bertanya dengan Rizal bagaimana untuk menghidupkan lagi watak.
"Saya juga banyak bertanya dengan kawan-kawan yang pernah mendengar cerita orang mati suri.
"Malah, saya terima cabaran menjayakan watak ini kerana cerita dan konsepnya kuat dan saya ingin terus berkarya dan profesional.
"Apabila berlakon filem ini, saya juga mendapat satu kelebihan apabila menjadi lebih peka. Saya lebih peka dengan suara angin atau goresan pensel.
"Kalau sebelumnya saya tidak kisah semua itu, tetapi sepanjang berlakon, saya diajar lebih peka kepada bunyi tertentu," katanya.
Sepanjang menjalani penggambaran Mati Suri, Nadine mengakui banyak kenangan yang sukar dilupakan. Antaranya kehilangan barang peribadi seperti subang, kasut dan juga pakaian dalam tanpa disedari tepat pada hari ke-13 menjalani penggambaran filem itu.
Ketika itu penggambaran dilakukan di hospital dan wataknya dalam keadaan sakit ketika itu.
Dia tidak menyedari barangnya hilang dan menyangka mungkin kerana terlalu letih menyebabkan dia tidak tahu di mana dia meletakkan barangnya itu.
Walaupun kehadirannya sebagai pelakon kini makin diterima, Nadine tidak menolak jika diberi peluang menceburi bidang nyanyian.
Katanya, semua orang boleh menyanyi dan dirinya juga suka menyanyi.
"Tapi saya tidak akan memaksa kalau belum bersedia. Tapi saya tidak takut untuk mencuba semuanya. Saya juga tidak akan terbatas dengan satu bidang saja seperti lakonan tanpa mencuba cabang seni lainnya.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya memang tidak bercadang untuk memberi tumpuan kepada satu-satu bidang tertentu.
"Saya tiada satu bidang khusus untuk fokus sebaliknya mahu belajar dan terus belajar," katanya.
Walau sibuk dengan lakonan dan model, Nadine mengakui pencinta alam sekitar dan begitu menyenangi aktiviti menyelam sebagai minat terbarunya.
Katanya, dia mengagumi keindahan dasar laut yang disifatkannya penuh ketenangan.
"Aktiviti menyelam juga memberi kesedaran kepada saya untuk mencintai alam sekitar.
"Saya kini lebih fokus kepada laut kerana hobi menyelam memberi peluang kepada saya melihat kerosakan dilakukan manusia hingga mencemarkan alam sekitar.
"Agak memalukan apabila melihat banyak plastik tersangkut di terumbu karang dan plastik itu dimakan penyu yang disangkakan obor-obor.
"Keadaan ini menyebabkan banyak penyu yang mati.
"Saya kini menjadi sukarela yang menjalankan aktiviti memungut plastik yang tersangkut pada terumbu karang. "Sebagai artis, saya juga mempunyai ruang untuk menyedarkan orang ramai supaya menjaga alam sekitar," katanya.
Mengenai pasangan, Nadine mengatakan dia kini menjalin hubungan jarak jauh dengan jejaka bernama Tammy Patrick sejak enam tahun lalu.
Katanya, dia tidak pernah menyesal mempunyai kekasih yang jauh di mata kerana kini tinggal di Amerika Syarikat dan tetap yakin dengan percintaan itu kerana ia adalah pilihannya.
Walau rimas sering ditanya mengenai teman hidup, Nadine mengakui tetap setia menanti sehingga kekasih hati bersedia melamarnya sebagai suri hidupnya.
"Penat juga menanti apalagi kalau selalu ditanya. Siapa yang suka ke mana-mana pergi selalu sendirian. Sebagai wanita, sudah tentu saya ingin kekasih hati selalu menemani. Apa boleh buat, bercinta dengan orang jauh.
"Tapi ini komitmen kami berdua dan kami juga serius untuk membina kehidupan bersama," katanya.
Nadine juga menafikan dirinya ada kaitan dengan anak bekas presiden Indonesia, Tommy Soeharto yang dikatakan sering mengundangnya ke majlis tertentu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: