Friday, July 31, 2009

Giliran Sarimah jelajah Asia


DARI kiri, David Prosser, Sarimah Ibrahim dan Riaz Mehta pada pelancaran The Biggest Loser Asia
di Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEPANJANG 13 tahun menjadi pengacara pelbagai rancangan televisyen (TV), 2009 merupakan tahun yang paling penting buat Sarimah Ibrahim dalam bidang pengacaraan.

Ini kerana personaliti berusia 31 tahun itu dipilih sebagai pengacara rancangan The Biggest Loser Asia yang akan disiarkan menerusi saluran Hallmark (saluran 701, Astro) tidak lama lagi.

Menurut Sarimah, rancangan yang menampilkan para pesertanya dalam usaha menurunkan berat badan itu bukan setakat ditayangkan di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia.

"Saya baru tahu keputusan pemilihan itu minggu lalu. Saya antara ratusan atau mungkin ribuan pengacara dari Asia yang dicalonkan untuk mengacarakan rancangan tersebut.

"Seperti pengacara lain, saya juga terpaksa melalui temuduga dan uji bakat yang turut dihadiri oleh pengacara dari Thailand, Indonesia dan negara-negara Arab.

"Saya bukan sahaja mewakili pengacara dari Malaysia tetapi juga dari Asia bagi menghidupkan The Biggest Loser Asia," katanya pada sidang media di Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

The Biggest Loser Asia mengambil konsep serupa dari rancangan yang diterbitkan di Amerika Syarikat bertujuan menurunkan berat badan dengan menawarkan hadiah RM350,000 untuk juaranya.

Jelas Sarimah, pengalamannya sebagai pengacara TV dan pelakon banyak membantunya mengacarakan rancangan bertaraf antarabangsa yang bakal ditonton ratusan juta penonton itu.

Katanya, The Biggest Loser Asia yang akan menampilkan 30 peserta berusia antara 18 hingga 55 tahun dari negara-negara Asia secara tidak langsung menguji bakatnya dalam bidang itu.

"Selain mengacara, saya juga harus mempunyai pengetahuan tentang pemakanan dan diet. Mujurlah sebelum ini saya pernah belajar tentang bio-psikologi iaitu tentang pemakanan.

"Semua itu banyak membantu saya mengendalikan rancangan ini. Apatah lagi, sewaktu kecil saya juga pernah berbadan besar dan saya faham dengan masalah berat badan.

"Sebagai hos rancangan bertaraf antarabangsa, saya tidak boleh syok sendiri. Segala apa juga gaya yang saya sampaikan itu haruslah mewakili para penonton di Asia," ujarnya.

The Biggest Loser Asia yang memerlukan para pesertanya fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris itu kata Sarimah, akan memulakan uji bakat mulai minggu ini.

Para peserta yang ingin menyertai uji bakat, kata Sarimah, boleh menghantar penyertaan mereka menerusi laman sesawang www.biggestloserasia.com

Mereka yang ingin menyertai rancangan ini juga bolehlah hadir pada sesi uji bakat di Fitness First, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 1 Ogos ini mulai pukul 10 pagi.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Penerbit Eksekutif The Biggest Loser Asia, Riaz Mehta dan Ketua Pegawai Kewangan Fitness First Asia, David Prosser.

Riaz Mehta menjelaskan, pemilihan Sarimah sebagai pengacara rancangan itu berdasarkan pengalamannya sebagai pengacara yang versatil selama 13 tahun dalam bidang tersebut.

"Pemilihan Sarimah amat bertepatan sekali. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam penjagaan kesihatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: