PADA tanggal 23 Mac lalu Noorkhiriah dan suami berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah. Berada di sana selama 10 hari, pelakon genit ini mengakui cukup menginsafkan dirinya. |
Menurutnya, pemergian itu untuk beribadah dan sudah sampai seru ke sana.
Kata Noorkhiriah lagi, kalau melawat ke negara lain dia boleh saja pergi, mengapa bila ada rezeki lebih sikit tidak berkunjung ke tempat bermakna seperti Madinah dan Makkah.
"Pertama kali menjejak kaki di Madinah dan melihat Masjid Nabawi, hati saya sungguh sayu.
"Rasa macam tidak percaya saya dan suami akhirnya diundang Tuhan juga ke destinasi paling indah di dunia ini. Banyak negara sudah kami lawati, tetapi sama.
"Di Madinah dan Makkah sangat tenang. Bahkan, sebaik saya melihat Kaabah dalam Masjidil Haram, saya terus menangis sepanjang tujuh kali melakukan tawaf.
"Saya berasakan betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan dan patut taat kepada-Nya.
"Rasa insaf benar-benar terbit dalam hati kerana melihat semuanya di depan mata. Jika sebelum ini, sering mendengar cerita rakan yang menyeronokkan dan memang itulah hakikatnya.
"Tempat yang cantik dan sangat tenang untuk beribadah," katanya.
Menurut Noorkhiriah lagi, dia juga berasa insaf apabila mendengar kisah nabi yang diceritakan mutawif yang membantu jemaah umrah di sana
"Dalam hati, rasa mahu juga jadi macam Siti Khadijah yang menjadi isteri terbaik untuk suaminya. Sebagai wanita, seharusnya menjadi penyokong kuat untuk suami.
"Oleh itu, kasih sayang dibina dapat dipertahankan dan Insya-Allah berkekalan hingga akhir hayat," katanya.
Sepanjang berada di Madinah, antara tempat diziarahi Noor ialah makam Nabi Muhammad dan sahabat, bersolat di Raudhah, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid 7 dan Jabal Uhud.
Manakala, di Makkah pula ialah Bukit Thaur, Bukit Rahmah, Mudzalifah, Minna dan ladang unta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: