BERHASRAT menjadikan lakonan kerjaya sepenuh masa, dua peserta Anak Wayang musim pertama, Mohd Hairi Safwan Aznan, 21, dari Kedah dan Hafiz Halim, 21, dari Selangor yang terpilih ke peringkat akhir program realiti itu bakal berentap untuk merebut gelaran juara. |
Pertandingan akhir Anak Wayang malam ini disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Serentak itu drama bersiri 50 episod, Kecuali Cintamu yang dibuat khusus untuk menonjolkan bakat peserta Anak Wayang juga tamat siaran.
Drama itu dibarisi pelakon handalan, Mustapha Kamal, Nanu Baharudin, Haleeda, Sabrina Hassan dan Zain Ruffedge.
Sebelum ini dijangka seorang lagi peserta, Nur Dayana Kamsun Baharin, 18, dari Kuala Lumpur yang akan ke peringkat akhir Anak Wayang namun undian SMS tidak menyebelahinya.
Hairi yang menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan teater berazam melakukan yang terbaik kerana dia bercita-cita menjadi pelakon disegani suatu hari nanti.
"Ketika diumumkan berjaya ke peringkat akhir, saya terkejut, tetapi bersyukur sangat kerana ingatkan Dayana yang terpilih. Betapa siapapun yang terpilih saya doakan yang terbaik untuk mereka.
"Anak Wayang menyediakan pentas cukup baik untuk orang baru macam saya.
"Sebelum belajar di Aswara lagi saya minat berlakon dan dengan segala ilmu yang dipelajari dengan tenaga pengajar Anak Wayang dapat menjadikan saya pelakon yang bagus.
"Mungkin sedikit kelebihan saya berbanding Hafiz kerana saya senang menjiwai watak namun kurang pengalaman beraksi di hadapan kamera.
"Bagaimanapun saya dan Hafiz selalu berbincang dan berkongsi ilmu kerana Hafiz ada pengalaman berlakon. Hafiz juga bertanya saya macam mana hendak mendalami watak.
"Sebenarnya pelakon di Hollywood tidak memberikan sepenuh jiwa mereka seperti mana pelakon di sini dan Indonesia.
"Pelakon di Hollywood hanya menunjukkan kehebatan lakonan mereka dari luaran tetapi dengan teknologi dan kesan khas yang hebat, lakonan mereka kelihatan sangat bagus.
"Pelakon Indonesia memberikan sepenuh perasaan ketika berlakon. Oleh itu saya mahu pelakon Malaysia berikan yang terbaik, berlakon dari hati dan zahirkan pada karakter yang dibawa," katanya.
Selain itu, kata Hairi, dalam Anak Wayang mereka dididik dengan disiplin ketat.
Selepas solat Subuh dan sarapan terus berlatih. Hidup mereka juga tanpa telefon bimbit dan dilarang merokok.
Hafiz pula berkata, dia gementar menghadapi peringkat akhir Anak Wayang dan perlu melalui tiga cabaran sebelum diumumkan juara.
"Ada satu cabaran itu saya kena berlakon dengan Hairi. Biasanya pada setiap minggu untuk segmen itu kami beraksi dengan pelakon jemputan.
"Saya dan Hairi susah hendak serius jadi tak tak tahulah macam mana kami hendak berlakon bersama nanti.
"Waktu belajar dulu saya ada banyak cita-cita. Macam-macam benda saya nak jadi.
"Tetapi yang nyata saya minat berlakon dan suka benar dengan tajuk program ini, Anak Wayang. Terasa satu penghormatan apabila anak seni digelar anak wayang.
"Sebelum ini saya menimba sedikit pengalaman berlakon pak pacak dalam drama Ghost musim kedua. "Kemudian apabila menggunakan khidmat ejen, dapatlah tawaran berlakon watak pembantu dalam drama Gadis Kosmo dan terbaru berlakon dalam drama legenda Puteri Aurora Beradu.
"Tugasan yang diberi untuk peringkat akhir ini lebih mencabar termasuk menghafal skrip monolog yang panjang, menjalani penggambaran video untuk watak psiko dan tugasan ketiga berlakon drama sebabak dengan Hairi. Cabaran saya sukar menjiwai watak.
"Sebab itu apabila mood sudah datang saya akan duduk sendirian tidak mahu diganggu kerana apabila ada gangguan sekelip mata mood itu akan hilang.
"Sepanjang tiga bulan di pentas Anak Wayang saya banyak belajar. Pada setiap minggu kami disuruh menjadi orang lain, jadi gangster, pembunuh dan lelaki lemah lembut," katanya.
Tambah Hafiz, jika diberi peluang dia suka beraksi di pentas teater kerana pementasan dibuat secara langsung.
"Penghayatan berlakon teater tiada gangguan, tetapi jika berlakon drama atau filem sedang asyik beraksi tiba-tiba pengarah jerit 'cut.' Bukan senang untuk menjiwa semula watak," katanya.
Meskipun Hafiz pernah ditipu bayaran, tetapi dia tidak serik meneruskan minatnya dalam bidang lakonan.
"Pengalaman tidak dibayar itu menjadikan saya lebih berhati-hati," katanya.
Juara Anak Wayang akan menerima hadiah kereta Honda Jaaz bernilai RM109,800, berlakon 60 episod drama di Astro, dua tiket penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, satu unit kamera Canon, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun, wang tunai RM10,000 dan trofi.
Naib juara mendapat televisyen KCD, wang tunai RM5,000, satu unit kamera Canon dan trofi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: