Thursday, July 30, 2009

Kid muncul semula


SEARCH


SEPANJANG 28 tahun kumpulan legenda Search berdiri megah dalam persada seni tempatan, tiada apa yang lebih manis apabila mereka kembali dengan Konsert Penghargaan Search di Awan Biru.

Meskipun pelbagai dugaan terpaksa ditempoh termasuklah pembatalan konsert di beberapa lokasi dan khabar angin kononnya ada pihak menyeleweng wang yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan konsert, Search tidak pernah melatah.

Malah, kumpulan yang dianggotai oleh Amy (vokalis), Yazit (dram), Din (gitaris), Nasir (bassis) dan Hillary (gitaris) ini tetap mara dan terus memandang kehadapan walaupun konsert yang sepatutnya dijadual bakal berakhir pada Ogos depan terpaksa ditunda sehingga selepas lebaran nanti.

"Kecewa juga bila tidak dapat sempurnakan seperti apa yang dijadualkan sebelum ini tetapi saya tidak boleh kata ada penyelewengan wang dalam produksi konsert ini kerana konsert tidak habis lagi dan akaun pun belum ditutup lagi.

"Apa yang saya boleh kata setiap produksi besar pasti mempunyai masalah. Ada masalah yang kami boleh elakkan dan ada yang tidak.

"Tentang konsert yang dibatalkan, setakat ini kami cuma tidak dapat pergi ke Kelantan tetapi untuk Sabah dan Sarawak, mungkin kami akan pergi selepas raya nanti," ujar Amy.

Ketepikan segala masalah, kini mereka sedang giat berlatih mempersiapkan diri untuk konsert yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur di Bukit Kiara Equestrian Club, pada Sabtu ini.

Tambah Amy, dia semahunya ingin melakukan konsert di Stadium Merdeka kerana baginya senang untuk mengumpulkan peminat berdasarkan lokasinya di tengah-tengah kota.

Selain itu, Stadium Merdeka juga banyak meninggalkan memori manis bagi dirinya dan anggota Search yang lain.

Meskipun begitu, Amy tetap bersyukur apabila Search diberi ruang dan peluang untuk melaksanakan konsert di Bukit Kiara.


SEMANGAT masih sama seperti mereka diusia muda.


"Kalau sebut tentang lokasi memang Stadium Merdeka yang menjadi pilihan tetapi buat di Bukit Kiara pun okey juga. Boleh kumpul ramai orang kerana lokasinya yang terbuka dan luas," terangnya.

Kata Amy yang sedang menanti kelahiran anak ketiganya bersama isterinya Norish, selepas mengadakan konsert jelajah di Seberang Jaya, Pulau Pinang; Jengka, Pahang; Johor Bharu dan Kuala Terengganu, Search akan tampil berbeza di Kuala Lumpur.

Bukan sahaja pemilihan lagu, jumlah krew produksi bahkan barisan anggota Search yang akan memanaskan pentas juga berbeza dari konsert sebelum ini.

"Produksi untuk konsert di Kuala Lumpur lebih besar, pilihan lagu juga diubah sedikit, selain itu kami juga mengundang kembali bekas pemain gitar utama Search iaitu Kid untuk bersama kami.

"Pastinya ia akan mengundang nostalgia bukan sahaja pada kami tetapi juga pengikut setia Search kerana Kid hanya bermain untuk konsert di Kuala Lumpur sahaja," jelasnya.

Satu penghargaan - Kid

Kid atau nama sebenarnya Hamzah Taib, 42, menyertai Search sekitar tahun 1989 menerusi album Fenomena, namun secara rasmi keluar daripada Search pada Februari 2006.

Meskipun tempatnya telah digantikan oleh Hillary, namun demi perjuangan lebih 20 tahun bersama Search dan peminat, Kid tidak menolak pelawaan rakan-rakannya untuk bersatu kembali biarpun untuk jangka masa yang pendek.

"Saya berterima kasih kepada Search kerana sudi mengundang saya untuk konsert di Kuala Lumpur. Walaupun kemunculan saya untuk lima ke enam lagu sahaja tetapi ia sudah memadai kerana mereka memberi ruang kepada saya untuk memilih lagu yang saya inginkan," luahnya.

Terangnya lagi, pelawaan yang datang kira-kira sebulan yang lalu dan kini dalam tempoh seminggu, dia bersama Search sedang sibuk berlatih.

"Saya sempat berlatih bersama Search dalam beberapa hari sahaja, tetapi saya akan berikan yang terbaik kepada peminat Search," ujarnya yang pernah 'dibuang' secara tiba-tiba daripada kumpulan magis berkenaan.


Kid


Bagaimanapun atas dasar persahabatan, sengketa lama sudah dilupakan dan kerendahan hati Kid membuatkan peminat kumpulan Search bakal menyaksikan detik membahagiakan di pentas konsert Sabtu ini.

Hillary yang ditemui juga memberitahu, konsert di Kuala Lumpur melakar sejarah apabila ia merupakan kali pertama Search bergabung kembali dengan Kid.

Apa yang menariknya kata Hillary, peminat setia Search dapat menyaksikan pemain gitar utama Search yang dulu dan sekarang secara serentak.

"Memang menarik tetapi dengan adanya tiga gitaris, saya, Kid dan abangnya, Din, di atas satu pentas dan memainkan lagu-lagu Search. Sudah pasti ia saat yang tidak akan dilupakan.

"Tetapi dengan adanya tiga gitaris, kami harus berhati-hati dan kena bahagikan bahagian masing-masing. Kalau semua main secara serentak, nanti akan nampak dan kedengaran serabut," tuturnya.

Itu kisah pemain gitar, Yazid yang duduk di posisi drum dilihat lebih banyak kerja dan tenaga yang harus dikerahkan berbanding posisi yang lain.

Dalam usia yang mencecah separuh abad dan rambut putih semakin banyak, ia bukannya satu halangan untuk Yazid dan anggota Search yang lain terus memukau pandangan peminat di pentas.

Bicaranya, meskipun usia mereka semua sudah lanjut tetapi penjagaan stamina dan skil bermain alat muzik merupakan aset utama.

"Kalau saya main drum untuk diri sendiri sudah tentu akan penat tetapi kalau main drum untuk Search dan konsert jelajah, saya akan gunakan skil menerusi pengalaman yang ada supaya tidak mudah letih.

"Memang saya akui pemain drum paling teruk kerana kena gerakan semua anggota badan dan siap kena kira matematik untuk mendapatkan tempo yang tepat.

"Drum walaupun duduk di posisi yang paling belakang tetapi dengan satu kesalahan yang kecil, orang tetap akan perasan kalau drum salah habis bercelaru semua orang," ungkapnya dalam tawa.

Bagi menjaga aset dirinya sebagai pemain drum, Yazid jarang turun padang sukan yang lasak kerana bimbang akan mencederakan tangan dan kakinya.

"Kalau cedera tangan dan kaki, susahlah saya nak cari makan. Sebab itu saya jarang bersukan seperti bola sepak atau futsal kerana kalau main dengan kawan-kawan mereka semua main seperti mewakili Malaysia, yang teruknya saya.

"Saya lebih suka permainan yang santai seperti snuker kerana tidak perlu berebut-berebut dan tidak akan mendapat kecederaan yang serius," luahnya lagi.

Search yang ditemui Kosmo! ketika sesi latihan baru-baru ini menjelaskan faktor usia bukannya menjadi halangan buat Search untuk terus berkarya kerana semuanya terletak pada hati.

Apabila ditanya pada mereka, adakah ini konsert Search yang terakhir, tiada jawapan yang keluar daripada mulut mereka.

Apapun, Search bukan sahaja kumpulan rock paling lama bertahan, bahkan kumpulan yang boleh dianggap sebagai kumpulan legenda.

Tambah vokalisnya Amy yang akan mendendangkan lebih kurang 22 buah lagu pada konsert Sabtu ini dan telah genap 51 tahun usianya pada 28 Julai lalu berharap, peminat Search akan sama-sama turun padang menyokong perjuangan Search di Bukit Kiara Equestrian Club, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: