Nurul Wahab lebih selesa menyimpan kisah peribadi, bagaimanapun mengakui sedang berkawan dengan seseorang
BIAR bertubi diasak soalan mengenai lelaki yang menghuni sudut hatinya ketika ini, penyanyi dan pelakon hitam manis, Nurul Wahab hanya memberikan senyuman sebagai jawapan.
Tidak seperti kebiasaan dirinya yang jarang berahsia terutama menyentuh soal peribadi, Nurul yang ditemui pada majlis pelancaran EP solo terbarunya, Tika Cinta mengambil pendekatan berbeza.
Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun ini enggan lagi berbicara telus mengenai soal lelaki. Cukup sekadar mengakui dia sedang berkawan dengan seseorang, selebihnya Nurul selesa menyimpan kisah itu menjadi hak peribadinya.
“Siapa yang tahu, tahulah kerana saya belum bersedia mendedahkan identiti lelaki itu,” jawabnya ringkas, sesekali diselubungi perasaan serba salah untuk menjelaskan kedudukan dirinya.
Menyifatkan hubungan itu masih di peringkat berkawan, Nurul bimbang pendedahan meluas media membentangkan duri kepada percintaannya.
Tegas Nurul lagi, dia banyak belajar daripada kesilapan lalu. Akur peranan media yang hanya menjalankan kerja mereka, namun Nurul berharap kisah percintaannya tidak terlalu digembar-gemburkan.
Malah, wanita yang popular dengan lagu Kerna Terluka itu memohon dirinya diberikan sedikit ruang untuk melalui fasal awal perhubungan mereka dengan aman.
Nurul bagaimanapun menerima hakikat lumrah hidup selebriti apatah lagi dengan status ibu tunggal yang digalasnya sejak tiga tahun lalu, setiap pergerakannya menjadi intaian media.
Tetapi kata Nurul, dia juga berhak menyimpan sedikit daripada bahagian hidupnya sebagai rahsia peribadi yang hanya akan dikongsi apabila tiba masanya nanti.
“Cukup apa yang saya alami dulu. Pendedahan meluas di media memberi kesan kepada perhubungan cinta saya. Terlalu banyak onak yang perlu diharungi apabila kisah percintaan saya menjadi perhatian khalayak.
“Ia memaksa saya menarik diri dan menerima hakikat antara kami memang tiada jodoh. Memang pahit namun saya akur menelan semua kepahitan itu biarpun jauh di sudut hati, saya sangat terluka,” kata Nurul.
Menyambung bicaranya, ibu kepada Ayu Nazirah itu berkata, dia tidak mempunyai ramai kenalan lelaki. Malah akui Nurul, tidak ramai lelaki yang berani mendekatinya.
“Dia antara yang berani melamar untuk mengisi kekosongan hati saya. Kami hanya mencuba kerana sebagai wanita, saya tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup ini,” katanya.
Semakin yakin menyusun langkah bersendirian, Nurul tertawa besar apabila penampilannya dengan pakaian tidak berlengan ditafsir sebagai menterjemah erti kebebasan yang dinikmatinya ketika ini.
Kata Nurul, dia mengamalkan toleransi dalam soal berpakaian. Dalam keterbukaan menerima aliran fesyen terkini dia masih menggariskan batas tertentu supaya penampilannya itu menjadi topik perdebatan.
Bagi Nurul, penampilan seksi seperti itu hanya dipraktikkan untuk sesi fotografi tetapi tidak ketika menjayakan persembahan pentas.
“Setakat pakaian tidak berlengan rasanya tiada masalah kerana saya masih menutup sebahagian bahu dengan rambut yang panjang. Rasanya apa yang saya gayakan ini tidak keterlaluan.
“Setiap apa juga tindakan saya akan berfikir baik buruknya. Saya tidak hidup bersendirian di dunia ini. Sebaliknya saya mempunyai anak yang semakin membesar dan mengerti apa yang diperkatakan umum mengenai ibunya.
“Asalkan penampilan saya tidak mengganggu emosi dan perasaan anak saya, rasanya tiada apa perlu dipertikaikan. Lagipun saya sentiasa berbincang dengan teman sepasukan.
“Sudah tiga tahun kami bersama dan komunikasi yang lancar memudahkan kami untuk menentukan imej bersesuaian untuk diri saya sebagai artis solo,” katanya.
Melerai kerinduan dengan Tika Cinta
PERNAH beberapa kali tertangguh, Nurul kini mampu menarik nafas lega album ketujuh yang mengangkat Tika Cinta sebagai judul akhirnya menemui peminat Julai ini.
Album yang memberi makna besar kepadanya, sekali gus memberikan nafas baru dalam menjenamakan semula dirinya sebagai penyanyi solo selepas memilih arah sendiri apabila perkahwinan sedekad dengan komposer dan penyanyi, Ajai berakhir, tiga tahun lalu.
Kental dengan irama pop sebagai landasan, album terbitan Metadome Sdn Bhd memuatkan enam lagu baru dan empat daripadanya ciptaan Sharon Paul.
Nurul berkata, dia berpuas hati dengan pembikinan album yang turut memuatkan lagu Tangis Syukur sebagai bonus kerana setiap sentuhan mencerminkan jiwa yang tersendiri.
Menariknya kata Nurul, buat pertama kali dia menyerahkan 100 peratus urusan pemilihan lagu kepada syarikat rakamannya kerana percaya mereka tahu apa terbaik untuk dirinya.
“Selama tiga tahun saya bekerja keras untuk menjadikan kelahiran Tika Cinta sebagai realiti dan sangat berharap peminat dapat menerima apa yang dibawakan ini,” katanya.
Nurul berkata, pembikinan mini album itu juga membawanya lari daripada kebiasaan lagu melankolik yang sinonim dengan lirik yang menceritakan lara hati.
Katanya, kekecewaan, kelukaan dan perpisahan adalah antara bahagian kehidupan yang memperkayakan khazanah hidup.
Justeru, Nurul enggan hidupnya terus dibelenggu kesedihan lantas Tika Cinta menterjemahkan keinginannya untuk mengecap sebuah kebahagiaan yang dicari.
“Saya mahu menikmati hidup ini dan menghargai setiap episod itu dengan tenang, tanpa sesal dan kesal,” kata penyanyi yang turut melayari bakat sebagai pelakon ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: