Ledakan teknologi membolehkan masyarakat mengakses pelbagai informasi dengan hanya menekan papan kekunci komputer peribadi mereka atau menggunakan telefon bimbit. Kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat telah merevolusikan kaedah dan ruang berkomunikasi dengan menjadi pemangkin kepada landasan baru berkreatif. Namun, adakah landasan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh pengguna berkenaan?
Jawapannya terserah kepada pengguna itu sendiri kerana fungsi teknologi yang diperluaskan ini boleh merakam dan mengambil gambar selain untuk berhubung, menerima atau menjawab sistem pesanan ringkas (SMS). Namun, dengan kecanggihan tersebut, fungsi ini disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan menjadikannya sebagai bahan ugutan dan tatapan orang ramai.
Kebelakangan ini, akhbar tempatan mendedahkan isu mengenai penyebaran gambar melibatkan adegan seks bersama pasangan. Seorang suami sanggup menyebarkan enam keping kertas bersaiz A4 mengandungi salinan gambar lucah memaparkan adegan seks isterinya berusia 41 tahun. Apakah yang telah terjadi dalam institusi masyarakat kini? Seolah-olah menolak norma ketimuran yang akhirnya perkara ini memakan diri sendiri.
Dekan Fakulti Perubatan dan Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Mohd Zain berkata, isu sebegini sering kali berlaku apabila individu tersebut melakukannya atas tujuan tertentu di mana mereka inginkan balasan daripada perkara berkenaan apabila wujud masalah antara pasangan.
“Kebiasaannya, sebelum mendedahkan rakaman atau gambar, golongan ini mengugut atau terus melakukannya tanpa pengetahuan. Tetapi kes ini (suami mengedar gambar isteri) jarang sekali dilihat dan kita ingin mengetahui apakah yang difikirkan oleh pihak berkenaan.
“Kalau dia sebarkan kerana ingin memberitahu ini adalah gambar isteri saya kerana dia hebat dan isteri yang cantik dan bagus. Perkara ini difikirkan sebaliknya kerana selalunya apa yang dilakukan mestilah mempunyai objektif,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan kes itu, ianya boleh dikategorikan sebagai kes yang luar biasa kerana dilakukan hanya sekali sahaja. Azhar berkata sekiranya ia tidak normal, salah laku akan mengulanginya berkali-kali untuk mendapatkan kepuasan.
“Sekiranya melakukan sekali, dia mempunyai motif lain. Namun, sekiranya perkara yang dilakukan adalah ‘repetitive behavior’ itu menunjukkan sesuatu yang tidak normal atas pesalah laku itu,” jelasnya.
Selain tindakan undang-undang yang dikenakan, perlu difikirkan dan dikaji punca dan motif pesalah laku berkenaan melakukannya. Jika dikaitkan dengan tekanan kerja, selalunya pesakit epidepsi melakukannya di bawah paras sedar yang normal dan tidak normal.
Walaupun, perkembangan teknologi gajet dan alat peranti tanpa wayar menjadi penyumbang besar kepada kebanjiran rakaman seks pasangan. Kebaikan atau keburukan teknologi bergantung kepada penggunanya sendiri. Asalnya, rakaman dilakukan sekadar suka-suka, sebagai koleksi peribadi yang akhirnya memakan diri. Sekiranya seseorang itu waras, dia tidak akan membenarkan tubuhnya dirakamkan. Pokoknya, berbalik kepada individu itu sendiri agar memikirkan dalam tempoh yang panjang. Imbas kembali antara kes yang melibatkan sebaran adegan seks:
21 Julai 2009 (Kuantan) -Seorang pembekal alat ganti, Abdul Aziz Basri, 57 boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda kerana mengedar dan menyebarkan enam keping kertas bersaiz A4 mengandungi salinan fotostat gambar lucah memaparkan adegan seks isterinya berusia 41 tahun.
15 Julai 2009 (Bahau) - Akibat tidak dapat menerima hakikat cintanya putus di tengah jalan, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dipercayai sanggup bertindak menyiarkan gambar ghairah teman wanitanya di dalam Internet.
16 Februari 2009 (Selangor) - Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar bogelnya dalam Internet dan ia mencetuskan kontroversi yang hebat.
1 Januari 2008 (Johor) - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek membuat pengakuan terbuka bahawa beliau ialah orang terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita dalam salinan cakera padat digital (DVD) yang diedarkan secara meluas di Johor. Beliau menjelaskan kontroversi DVD pemimpin politik Johor yang dikatakan mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah hotel.
24 Julai 2005 (Kuching) - Polis mengesan dua lagi guru yang disyaki terlibat melakukan hubungan seks dan merakamkan gambar bogel seorang pelajar berusia 17 tahun. Menurut sumber polis, dua guru berkenaan dikatakan melakukan hubungan seks dengan pelajar tersebut atas pelawaan salah seorang guru yang kini sedang dalam tahanan reman.
25 Julai 2003 (Kuala Lumpur) - Mohd Rizal Mat Yusof cetuskan kontroversi terbabit dalam cakera padat video (VCD) 'Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau' melibatkan hubungan seks bersama teman-teman wanitanya untuk edaran umum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: