Friday, July 31, 2009

Intan Azura tolak watak jahat


SEPI tanpa publisiti bukan bermaksud pelakon Intan Azura Sulaiman sudah tidak mendapat tempat di persada seni tanah air.

Malah, pelakon yang sudah menghambakan diri lebih sepuluh tahun dan membintangi lebih 200 drama bersiri dan telefilem ini masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama sampai hari ini termasuk memegang watak utama.

Kata Intan, secara peribadi dia tidak bimbang dengan kemunculan ramai artis baru yang bagaikan cendawan tumbuh sekarang. Malah yakin peminat boleh menilainya menerusi sumbangan pada industri seni setakat ini.

“Cerita peribadi saya juga tidak banyak dipaparkan di akhbar kerana fokus saya pada kerjaya seni. Dari awal pembabitan saya dalam bidang lakonan sampai sekarang, saya sangat mementingkan kualiti dan bukan kuantiti lakonan. Mungkin sebab itu, saya mampu bertahan dalam industri seni sampai sekarang.

“Sebenarnya, bukan saya tidak pernah terfikir untuk mencuba bidang pengiklanan dan perhubungan awam tetapi tawaran berlakon yang datang termasuk tawaran watak utama menghalang saya untuk berbuat demikian,” katanya.

Intan, 30, yang juga pemegang Diploma Pemasaran dan Perhubungan Awam (Stamford College) dan Diploma Penyiaran Akademi TV3 berkata, watak Fatiha lakonannya dalam drama bersiri sebanyak 26 episod, Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin meninggalkan kesan mendalam.

“Saya bawa watak utama, Fatiha dan bergandingan dengan Siti Shahrizah atau Eja (watak Azrin). Cerita ini mengisahkan Fatiha dan Azrin bersahabat baik sejak kecil. Mereka tinggal di kawasan ladang tebu dan tempat mereka bermain pondok-pondok sejak kecil itu dikenali sebagai `wadi'.

“Apa yang mencabar, saya banyak bermain dengan emosi dalam cerita ini seperti menjayakan babak sedih perpisahan Fatiha dan Azrin kerana Fatiha melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Antara babak menarik lain ialah apabila Fatiha berkahwin di luar negara tanpa restu keluarga dan akhirnya terpaksa menerima hakikat suaminya sudah berubah apabila dia mengalami keguguran dan seterusnya bercerai.

“Saya juga memutuskan untuk berehat sementara waktu dari berlakon selepas penggambaran drama ini selesai,” katanya.

Intan berkata, dia dan kru drama itu terpaksa berkampung selama empat bulan di lokasi penggambaran drama Wadi Unung. Penggambaran selesai pada Mac tahun lalu membabitkan lokasi di Alor Star, Kedah dan Perth, Australia. Drama ini juga dijangka menemui penonton pada Ramadan nanti untuk saluran Astro Prima.

Terbaru, Intan menjayakan drama Puteri Aurora Beradu untuk slot Lagenda di TV3. Wataknya hanya pembantu, Rita yang juga pembantu kepada watak jahat (lakonan Norish Karman).


“Sekalipun bukan watak utama, saya tertarik apabila melihat perjalanan cerita dalam Puteri Aurora. Saya sudah mencuba pelbagai watak dalam drama sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Antaranya dalam drama bersiri sebanyak 13 episod untuk saluran RTM, Milik Siapakah Hati ini, saya bawa watak baik dan dikelilingi ramai lelaki,” katanya.

Selepas penggambaran drama Milik Siapakah Hati Ini, Intan terus menyambung penggambaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu. Drama lain Terminal Cinta di mana Intan memegang watak utama bergandingan dengan bintang Akademi Fantasia (AF), Khai yang membawa watak gangster dalam cerita ini.

Sekalipun sudah lama berlakon, Intan tetap mengutamakan keluarga dalam segala hal. Katanya, dia melangkah kaki dalam bidang seni dengan restu keluarga.

“Justeru, sampai hari ini, saya tetap menjaga amanah dan nama baik keluarga sebaik mungkin termasuklah dari segi watak ditawarkan dalam drama.

“Setiap kali mendapat tawaran berlakon, saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dulu. Contohnya, saya pernah ditawarkan watak jalang yang dilakonkan Nabila Huda dalam filem Akhirat tetapi saya terpaksa menolaknya kerana memikirkan perasaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, dalam usia mencecah 31 tahun, Intan Azura mengakui dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Namun, sayangnya kata Intan, dia belum bertemu calon sesuai lagi.

“Memang saya pernah putus cinta, tetapi saya tidak serik untuk bercinta lagi. Pada masa sama, saya juga berkawan dengan ramai orang tetapi soal jodoh, saya serahkan kepada ketentuan tuhan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: