Friday, July 31, 2009

Noor tidak lupa diri


SELEPAS 10 tahun berusaha keras menggilap bakat lakonannya, kini dia puas.

Tidak hanya terikat dengan watak air mata, berilah apa saja watak, pasti Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak mengecewakan.

Semuanya, gara-gara minat yang mendalam pada lakonan.

Sanggup angkat kaki meninggalkan kampung halamannya di Raub, Pahang demi satu cita-cita, Noorkhiriah yang mesra dipanggil Noor mengakui bukan senang bergelar anak seni. Pelbagai onak duri terpaksa ditempuhi sebelum namanya dikenali ramai.

Mengimbau secebis kenangan lalu, pelakon berusia 33 tahun ini ternyata tidak berselindung apatah lagi berasa malu untuk bercerita.

Katanya, sebelum mula berlakon, dia pernah menjadi artis budaya di Istana Budaya (IB) selama tiga tahun bermula 1997.

"Memandangkan di IB ketika itu lebih mengutamakan tarian, jadi saya nekad berhenti kerja.

"Saya mahu cuba berlakon kerana sangat minat pada teater. Namun, sudah rezeki agaknya saya dilamar pelakon dan pengarah, Ahmad Tarmimi Siregar.

"Barangkali, beliau percaya saya boleh berlakon selepas menilai uji bakat ketika menyertai IB dulu. Saya diberi peluang membintangi drama An-Nur arahannya. "Kemudian, saya dilamar pula Bright Network Sdn Bhd berlakon dalam Neraca Kasih.

"Bergandingan di sisi Zulkifli Azahari (Ijoi), tidak sangka ia menjadi. Maklum sajalah ketika itu masih budak baru belajar.

"Malah, banyak benda di set penggambaran yang saya tahu termasuk mengenai pergerakan kamera. Mujur, Ijoi sudi membantu."Sejak itu saya mula menerima tawaran berlakon walaupun watak tambahan dan pembantu. Bahkan, saya juga tidak berkira soal bayaran.


"Berapa yang diberikan, itulah yang saya terima dengan seikhlas hati. Apa yang penting, ada kerja," katanya.

Menurut Noor, ketika di zaman kesusahannya dulu, dia banyak belajar mengenai disiplin diri.

Akui wanita yang kini mengandung lima bulan itu, hakikatnya disiplin bukan sekadar dipraktik di sekolah, tetapi sangat penting dalam perjalanan karier diceburi.

"Ditambah pula, sebagai anak seni. Tuntutan masa di lokasi penggambaran bukan saja lama, namun amat mengutamakan waktu.

"Umpamanya, jika pengarah kata penggambaran dibuat jam 8 pagi maka seawal jam 5 pagi kena ada di lokasi.

"Teringat masa tiada kereta dulu, bila ada penggambaran pagi saja, jam 4 pagi lagi saya sudah siap menunggu van produksi datang jemput di rumah.

"Masa itu, cukup atau tidak waktu tidur jangan diambil kira. Apa yang utama di kepala, kerja," katanya.

Noor juga berkata, dia perlu berusaha gigih untuk merealisasikan minatnya dalam lakonan kerana mendapat kata dua daripada ibunya, Noraini Sadan, 52.

Ketika itu, katanya, dia pernah diragut sebanyak dua kali dan ia menyebabkan ibunya risau.

"Saya pun pernah bertekad, jika diragut sekali lagi mahu terus balik ke kampung. Namun, sudah rezeki agaknya tawaran berlakon semakin bertambah.

"Jadi, nampaknya usaha saya tidak sia-sia dan Alhamdulillah sampai sekarang berlakon lagi.

"Malah, paling saya tidak sangka bila berpeluang memenangi Anugerah Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), April lalu.

"Dalam hati ini, saya tidak pernah terfikir akan menang kerana saingan yang sengit.

"Lagipun, saya mengagak Kenchana Dewi yang menang. Tetapi, ternyata rezeki buat saya sudah sampai. Terima kasih kepada peminat yang menyokong selama ini. Bagaimanapun, ilmu saya dalam lakonan masih sedikit dan perlu ditimba lagi," katanya.

Kata wanita yang juga meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2007 ini, walaupun ramai mengatakan lakonannya bagus dan berkesan, tetapi tidak bagi suami, Azfaizul Ahtan, 32, yang dianggap pengkritik tetap.

"Selepas menonton drama dilakonkan, saya mesti tanya pada suami. Katanya bolehlah, namun belum mampu menyentuh hati.

"Melihatkan reaksinya itu, saya tidak tahu hendak berlakon macam mana lagi untuk pastikan dapat sentuh hatinya.

"Bagi saya, sudah melakukan yang terbaik. Namun, saya tahu suami kagum dengan mutu lakonan ditampilkan. Cuma, mungkin dia enggan memuji di hadapan saya. Takut nanti, isterinya ini jadi lupa diri, berlagak dan sombong kerana sudah glamor.

"Apapun, Alhamdulillah hingga ke hari ini saya masih Noorkhiriah yang dulu. Di hati dan kepala saya sentiasa ingat pesan suami supaya tidak lupa diri. Maklumlah, hidup ini ibarat roda yang mana tidak selamanya berada di atas. Sampai masa di bawah juga," katanya.

Melihat lakonan mantap Noor sebagai Suria dalam drama Matahari di samping Lisdawati, jelas menunjukkan bakatnya semakin matang.

Tidak lagi hanya terikat dengan watak baik atau 'ratu' air mata, Noor sudah berani menjadi antagonis.

Watak hitamnya dalam Matahari nyata menyerlahkan lagi kehebatan lakonan wanita genit ini.

Kalau dulu, namanya hanya 'cebisan kecil' di persada seni tanah air, kini siapa tidak mengenali pelakon bertubuh kecil yang bernama Noorkhiriah.

Kata Noor, dia seronok dapat mencuba pelbagai watak. Jika drama Keranamu Saerah, dia memegang watak gadis cacat bernama Nomi, dalam telefilem Kepompong arahan Rashid Sibir pula, Noor menjadi pelacur.

Menurutnya, dia wajar mempelbagaikan watak.

"Takkan mahu peminat mengenali diri dari aspek baik saja, manakala jahat dilupakan. Hakikat sebenarnya, manusia memang ada yang baik dan jahat.

"Justeru, sebagai pelakon seharusnya saya perlu berani menyahut cabaran mencuba apa saja watak.

"Nampaknya, langkah yang saya betul kerana peminat sekarang memang sudah pandai menilai. Mereka sentiasa ingin melihat kemampuan sebenar pelakon diminati. Ditambah lagi, saingan industri hari ini sangat sengit, jadi saya perlu bertindak awal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: