Thursday, July 30, 2009

Cinta duda





Suhaiza Suhaimi atau Memey mengaku belum bersedia jadi isteri Norman Hakim kerana usia terlalu muda

BUKAN masanya untuk berkahwin dengan Norman Hakim. Begitulah pengakuan pelakon yang mencetuskan kontroversi dengan kisah cinta tiga segi, Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Memey mengenai hubungannya dengan aktor kacak yang kini berstatus duda itu.

Di samping usianya yang masih terlalu muda iaitu 21 tahun, usia pembabitannya sebagai anak seni yang belum pun setahun jagung membuatkan gadis kelahiran Johor ini memilih untuk menunggu dan melihat perkembangan hubungan mereka seterusnya.

Bagaimanapun, dia yang ditemui ketika majlis pelancaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu mengisi slot Lagenda setiap Isnin hingga Khamis di TV3 baru-baru ini, tanpa berselindung berharap percintaannya dengan duda tiga cahaya mata itu berakhir dengan ikatan pernikahan.

Namun beritahu gadis manis ini, setakat ini dia dan Norman tidak pernah berbincang serius soal perkahwinan tetapi mengakui sudah beberapa kali mengunjungi keluarga kekasihnya di Kuantan, malah sudah memanggil ibu Norman dengan panggilan mak. Begitu juga dengan Norman yang kerap menziarah keluarganya di Johor. Tetapi kunjungan itu hanyalah kunjungan biasa tanpa membabitkan sebarang perbincangan serius.

“Saya tidak pernah meletakkan sasaran bila masa sesuai untuk menamatkan zaman bujang, semuanya diserahkan pada jodoh. Mungkin bukan dalam masa terdekat ini kerana buat masa ini saya hanya mahu fokus pada kerjaya terlebih dulu kerana usia saya masih muda. Tetapi saya tak berani nak mengulas lanjut kerana bimbang perancangan itu jadi sebaliknya.



“Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan yang terbaik untuk persahabatan kami. Saya berharap supaya persahabatan ini berakhir dengan sebuah perkahwinan satu hari nanti tetapi setakat ini kami masih belum pernah berbincang apa-apa pun mengenai kahwin,” kata Memey yang berharap kes khalwat dengan Norman berakhir dengan baik.

Pasangan itu pernah menimbulkan kontroversi apabila dicekup pihak berkuasa 30 Oktober lalu di pejabat milik Norman atas tuduhan khalwat. Penangkapan mereka menjadi panas kerana ketika itu Norman masih bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi Abby Abadi. Ketika kejadian itu Abby berada dalam pantang selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka Maria Danisah Hakim, pada 17 September tahun yang sama.

Lebih setengah tahun berlalu, Memey dan Norman masih lagi turun naik mahkamah menyelesaikan kes khalwat mereka yang belum lagi selesai. Kes itu akan dibincangkan kembali di mahkamah esok.

Enggan peduli kata nista khalayak

BIARPUN zahirnya kelihatan tenang, Memey yang memegang watak utama sebagai Puteri Aurora tidak menolak kes khalwat itu membebankannya kerana terpaksa menanti lama keputusannya. Bagaimanapun dia reda dan menerima apa pun keputusan yang bakal dibuat mahkamah, namun tetap mengharapkan pengakhiran yang baik.

“Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah ia menjadi satu beban kepada saya. Kalau kes ini selesai, sekurang-kurangnya dapatlah saya menjalani kehidupan dengan tenang. Saya terima apa saja keputusannya nanti tetapi kalau boleh biarlah berakhir dengan baik.

“Sejak dikaitkan dengan kes khalwat, pelbagai cemuhan yang saya terima malah sehingga kini pun orang masih mengata saya. Di internet misalnya, banyak kata nista dilemparkan tetapi saya tidak

ambil pusing. Saya tidak mahu penghinaan mereka mempengaruhi saya, jadi saya anggap tiada apa pun yang berlaku tetapi sedikit sebanyak ia sebenarnya menjadikan saya kuat,” katanya lagi.

Mengimbas kembali episod hitam itu, pelbagai kemungkinan buruk bermain di fikirannya. Pertama, namanya mungkin tidak lagi menjadi pilihan produser dan yang kedua dia tidak lagi dapat menyara keluarga.

Bagaimanapun, Memey yang baru setahun lebih menceburi dunia lakonan mampu menarik nafas lega dan bersyukur produser tempatan tidak mendiskriminasi dirinya. Sebaliknya dia dihujani pelbagai tawaran selepas JS Pictures milik pelakon Sheila Rusly membuka pintu untuknya.

Walaupun tidak dipinggirkan, Memey tidak mahu mengambil kesempatan ke atas peluang diberikan. Dia mahu lebih berhati-hati supaya kesilapan tidak berulang kembali. Mungkin nasibnya baik kerana diberi peluang sekali lagi tetapi dia menyedari peluang sebegini tidak datang selalu.

“Saya bersyukur masih diterima. Pada mulanya memang saya amat bimbang kerana periuk nasi saya datang dari sumber lakonan. Tetapi tidak berapa lama selepas kes itu berlalu, sedikit sebanyak peluang saya semakin cerah. Apa yang berlaku memang banyak mengajar saya.

“Saya tidak akan mengambil kesempatan dengan peluang diberikan. Saya mahu lebih berhati-hati lagi selepas ini. Mungkin waktu ini saya bertuah, esok lusa belum tahu lagi. Sejak peristiwa itu, saya menjadi lebih matang. Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang tetapi mahu memandang terus ke depan.

“Alhamdulillah rezeki saya murah tetapi saya tak mahu tamak menerima semua tawaran. Saya tidak mahu salah gunakan kesempatan yang diberikan kepada saya. Bagi saya disiplin, kualiti kerja perlu diambil kira apabila menerima tawaran berlakon,” katanya.

Luah cinta melalui mimpi

PUTERI Aurora Beradu arahan Fairuz Loy menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang turut dibintangi Iqram Dinzly, Eizlan Yusof, Rozita Che Wan, Norish Karman, Aida Aris, Enot dan Rashidah Jaafar direalisasikan dari lagenda Inggeris, Sleeping Beauty.

Tidak lari dari kisah asal puteri cantik dan anak raja yang gagah, kisah ini bagaimanapun diterjemahkan mengikut cita rasa yang bersesuaian dengan masyarakat. Drama bersiri sebanyak 20 episod ini, mengisahkan Memey yang memegang watak Puteri Aurora hidup dalam persembunyian. Dia dijaga oleh tiga penjaganya Che Nora, Che Arn dan Imah.

Menurut Memey, sepanjang dalam drama bersiri ini, dia hanya terlantar dalam keadaan koma bagaimanapun kisahnya diterjemahkan melalui mimpi sepanjang dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kisah cinta saya dan Hakimi (Iqram) diluahkan menerusi mimpi kerana kekuatan cinta itu ia menyedarkan saya dari koma. Di dalam siri ini saya terlantar koma dari episod satu hingga 20 tetapi dalam koma itu ada jalan ceritanya,” kata Memey.

Pengarah drama bersiri ini berkata, dia tidak menghadapi masalah besar mengarahkan sebuah kisah dongeng kecuali berdepan dengan masalah jadual pelakon kerana sebanyak 20 pelakon digunakan. Apabila berkerja dengan pelakon yang mempunyai nama, ia menyukarkan sedikit apabila membabitkan jadual.

“Setiap babak perlu ada pelakon yang ada, jadi kita berdepan masalah dengan jadual mereka. Selain itu, saya juga perlu menerangkan kepada pelakon dengan lebih terperinci jalan cerita drama ini kerana ia lebih kepada imbas kembali. Bagaimanapun, bekerja dengan pelakon yang mempunyai pengalaman sangat membantu dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada kami,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran drama bersiri itu baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: