Wednesday, July 1, 2009

Amal jariah Ibrahim


USIA tidak menghalang Ibrahim Bachek mencurahkan ilmunya sebagai guru vokal kepada para penyanyi generasi baru.


PELBAGAI cara boleh dilakukan oleh para karyawan seni di negara ini termasuklah penyanyi bagi menyalurkan amal jariah menerusi pengalaman-pengalaman yang telah mereka lalui sepanjang bergelar anak seni.

Penyanyi veteran, Datuk Ibrahim Bachek misalnya, tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya sebagai guru vokal bagi dimanfaatkan kepada kalangan penyanyi baru dalam persada seni suara tanah air hari ini.

Beliau yang juga seorang komposer akan menganjurkan kelas vokal di Bilik Kuliah A, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya, Selangor, pada 4 Julai ini pukul 10 pagi demi mencurahkan segala pengalamannya sebagai penyanyi sejak tahun 1968.

Menurut Ibrahim, kelas vokal yang terbuka kepada umum dan mengenakan bayaran RM35 itu diharap mampu mempertingkatkan lagi mutu suara dan pengetahuan para peserta yang terbabit dalam program tersebut.

"Saya anggap ini sebagai amal jariah saya sebagai komposer, penyanyi dan guru vokal untuk bidang nyanyian di negara ini. Jumlah bayaran yang saya kenakan ini amat kecil jika dibandingkan dengan bayaran di kelas-kelas vokal yang lain.

"Kelas vokal ini dianjurkan selepas saya mendapati ramai penyanyi muda hari ini yang tidak faham tentang vokal biarpun ada di antara mereka yang telah pun merakamkan album sendiri.

"Diharap kelas vokal ini akan membantu mempertingkatkan mutu vokal para penyanyi kita selain boleh membantu mereka yang akan menyertai pertandingan nyanyian pada masa depan," katanya ketika berkunjung ke pejabat Hits baru-baru ini.

Pencipta lagu Ku Cari Damai Abadi yang liriknya ditulis oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini berkata, penyertaan juga terbuka kepada para penyanyi yang telah merakamkan album sendiri.

Malah, selain penyanyi, guru vokal berusia 70 tahun ini juga menggalakkan individu yang terdiri daripada guru, penyampai radio, pembaca berita televisyen dan pemidato turut sama berkongsi pengetahuan menerusi kelas anjurannya itu.

"Apabila kita bercakap soal vokal, ia tidak semestinya untuk menjadi penyanyi sahaja. Sebaliknya, bidang-bidang lain juga banyak yang memerlukan ilmu bagaimana cara kita hendak melontarkan suara agar lebih sedap dan jelas.

"Dengan adanya pengetahuan dalam bidang ini maka barulah kita akan menjadi lebih yakin untuk berkomunikasi dan seterusnya mampu mempertingkatkan lagi mutu kerjaya kita," ujarnya yang juga merupakan bekas Pemimpin Koir Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas bersara sebagai Penerbit Kanan Muzik di RTM pada 1995, beliau banyak mencurahkan pengalamannya sebagai penyanyi, komposer dan guru vokal dengan dibantu oleh seorang lagi guru vokal veteran, Yahya Mohd. Noh.

Jelas Ibrahim, sesi kelas vokal seterusnya juga akan diadakan di tempat yang sama pada 11, 18 dan 25 Julai ini dengan mengenakan bayaran RM35 bagi setiap sesi kelas itu berlangsung.

Sebagai artis veteran, beliau adakalanya berasa sedih dan malu apabila mendengar ramai penyanyi terutamanya generasi baru yang suaranya sumbang seolah-olah tidak mendapat bimbingan sebelum bergelar penyanyi.

"Saya adakalanya berasa kesian apabila mendengar penyanyi kita menyanyi sumbang. Kalau sudah tahu sumbang, mereka ini sepatutnya mengambil inisiatif dengan memasuki kelas vokal tetapi ada di antara mereka yang buat tidak kisah.

"Kita harus ingat, pendengar sekarang sudah pandai menilai di mana mereka juga tahu suara penyanyi mana yang sumbang atau boleh menyanyi dengan baik.

"Saya harap usaha saya ini boleh mempertingkatkan lagi mutu seni suara di negara kita ini," jelasnya yang merupakan bapa kepada tiga anak dan enam cucu.

Antara teknik pembelajaran yang akan diajar pada kelas dengan durasi dua jam setiap sesi itu ialah teknik mengawal pernafasan, membaca nota dan latihan menyanyi mengikut tempo-tempo serta nada yang betul.

Bekas pelajar Royal School of Music, London, United Kingdom pada tahun 1968 ini yakin usaha awalnya untuk memperkenalkan teknik asas dalam bidang vokal itu mampu menambahkan lagi bilangan penyanyi yang berkualiti pada masa depan.

"Setiap orang ada bakat menyanyi tetapi untuk menjadi penyanyi yang baik mereka harus ada ilmu atau teknik menyanyi dengan betul. Suara sahaja tidak mencukupi. Tanpa ilmu bagaimana lontaran suara kita dapat dihalakan dengan betul?

"Saya bangga kerana selama ini saya pernah membimbing ramai penyanyi termasuklah Jalil Hamid, Jeffrydin dan Gaya Zakri. Mereka mahu pergi jauh kerana tahu bagaimana untuk menyanyi dengan betul," katanya lagi yang pernah merakamkan album berjudul Album Lagu-Lagu Sajak pada 1983.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: