Program Menagih Redha-Mu, menyatukan hati lima pasangan pengantin yang terdiri daripada anak-anak yatim.
SUKAR untuk kita memahami keperitan hidup anak-anak yang hilang tempat bergantung. Bagaimanapun, bagi sesetengah golongan ini, kehilangan ayah atau ibu begitu mendewasakan mereka.
Justeru, sebagai anggota masyarakat, kitalah insan yang diberi tanggungjawab dalam menghulurkan bantuan dan mendekatkan diri kepada mereka.
Menyedari hakikat itu, program Menagih Redha-Mu dianjurkan buat julung kalinya, untuk membela nasib golongan ini.
Bertempat di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini, sebanyak sepuluh buah rumah anak yatim dan pusat kebajikan dari seluruh pelosok negara bergabung tenaga demi menyelesaikan keperluan pendidik dan kebajikan golongan anak yatim dan mualaf.
Antaranya Rumah Siraman Kasih, Rawang, Selangor, Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, Klang, Selangor, Rumah Anak Kesayanganku, Pulau Pinang, Baitul Sakinah, Kota Warisan, Sepang dan Baitul Maghfirah, Muar, Johor.
Sumbangan
Pada majlis tersebut, sebanyak dua buah rumah anak yatim dan golongan kurang berkemampuan iaitu Rumah Sentuhan Budi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan Baitul Hidayah, Puchong, Selangor menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
Sumbangan diperoleh hasil jualan meja makan pada program tersebut berlangsung.
"Memandangkan dua buah rumah ini belum mendapat liputan meluas daripada mana-mana pihak, kami bersepakat agar sumbangan yang dihulurkan dapat disumbangkan kepada para penghuninya.
"Malah, sejak kedua-dua buah rumah yang menempatkan golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, golongan kurang upaya dan mualaf itu ditubuhkan sejak dua tahun lalu, sumbangan yang diperoleh kurang memuaskan.
"Sehubungan itu, besar harapan kami agar ada pihak yang prihatin dan membantu menghulurkan bantuan kepada mereka," kata penyelaras program Menagih Redha-Mu, Raabah Abd Aziz.
Dalam pada itu, pihak penganjur turut mengambil kesempatan meraikan lima pasangan pengantin yang terdiri daripada anak-anak yatim.
"Kebanyakan daripada mereka ialah bekas penghuni rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur dan mereka dibesarkan bersama rakan-rakan yang senasib dengan mereka," ujar Rabaah.
Bagaimanapun katanya, sebagai insan yang bertanggungjawab, kita seharusnya membantu anak-anak yatim dalam meneruskan kehidupan mereka.
"Bagi mengelakkan mereka tidak terjerumus ke kancah maksiat, kami mengambil pendekatan ini dengan menyatukan hati antara dua insan.
"Rata-rata daripada mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Kami dan ahli keluarga yang menemukan pasangan tersebut," jelasnya. Kesemua pasangan pengantin itu baru sahaja membina rumah tangga, dan belum mengadakan kenduri disebabkan kurang berkemampuan.
Beritahunya lagi, memandangkan kos untuk menganjurkan sesuatu majlis perkahwinan amat tinggi, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk menggabungkan majlis meraikan lima pasangan pengantin itu.
Ditanggung
Pada majlis tersebut, pihak keluarga mempelai turut diundang. Majlis persandingan diadakan serba sederhana, dimulakan dengan upacara makan beradab dan bergambar bersama ahli keluarga.
Tambahnya, semua urusan bagi menjayakan majlis perkahwinan tersebut ditanggung oleh pihak penganjur.
Pasangan pengantin yang merupakan bekas penghuni Wisma Anak-anak Yatim Kesayanganku, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, Siti Zulaikha Solehah, 21, memberitahu, program sebegini sememangnya menyatukan pelbagai pihak.
"Bukan sahaja pasangan pengantin malah anak-anak yatim yang lain.
"Saya berasa syukur dengan adanya program sebegini. Ini kerana, kami dapat memotivasikan diri sendiri walaupun tidak mengenali hati pasangan masing-masing.
"Bagi saya, program sebegini bukan sahaja dapat berkongsi ilmu agama tetapi dapat menagih kasih daripada Allah s.w.t," katanya.
Pasangannya, Mohd. Abu Laith Nizamuddin, 22, pula berkata, program meraikan pasangan pengantin anak-anak yatim itu memberi peluang kepadanya mendekatkan diri dengan Allah.
"Jodoh pertemuan Tuhan yang tentukan. Oleh itu, sebagai penghuni di muka bumi ini, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang diberikan-Nya kepada kita," jelasnya.
Sementara itu, bekas penghuni dari Rumah Sentuhan Budi, Siti Raihanah Mohamad, 20, berkata, perkahwinan yang diaturkan oleh umi (Rabaah) dan ahli keluarganya adalah satu jalan terbaik dalam menyatukan dua hati.
"Program sebegini sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati anak-anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa.
"Bagi saya, ia memberi impak yang mendalam kepada golongan anak yatim di mana mereka tidak sesekali berasa disisihkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya sentiasa diberi perhatian," jelas anak jati Gombak, Selangor itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: