|
|
PENGSAN kerana tidak sempat bersarapan, tukar baju selang seminit, berlari-lari keluar masuk dari satu dewan ke dewan yang lain dan terpaksa menukar lagu pada saat-saat akhir merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupa oleh dua penyanyi popular, Siti Sarah Raisuddin dan Yusrizan Usop atau Bob.
Kekalutan itu semua berlaku selama sembilan hari ketika mereka berdua mewakili Malaysia dalam pertandingan World Championships of Performing Arts (WCPA) ke-13 yang berlangsung di Los Angeles selama sembilan hari bermula 11 sehingga 19 Julai lalu.
Menurut Bob, terlalu banyak pengalaman 'emas' yang digalinya sepanjang bertanding dalam pertandingan yang disertai oleh 27 buah negara itu.
"Kami bukan setakat bertanding sahaja, sebaliknya pihak penganjur turut memberikan seminar tentang pelbagai perkara yang berkaitan dengan seni seperti pementasan, vokal, modelling, dan sebagainya.
"Apa yang menariknya, seminar yang berlangsung selama satu jam itu rasa seperti tidak cukup kerana semua ilmu itu diberikan oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing," ujarnya.
Tambahnya, dia terlalu teruja kerana bukan sahaja membawa pulang sebanyak enam pingat emas, bahkan pemergiannya jauh sehingga ke Los Angeles memberikan satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan begitu sahaja.
"Bayangkan saya terpaksa tukar baju selang satu minit dan berlari-lari masuk dari satu dewan ke dewan yang lain. Sudahlah penat dan tidak cukup rehat, lepas itu saya harus menyanyi selama satu minit sahaja.
"Dalam keadaan itu, saya pun tidak tahu macam mana saya dapat harunginya dan membawa pulang pingat kerana kami bertanding dengan beratus-ratus peserta bagi kategori yang sama," katanya lagi.
Selain itu ujar Bob, orang-orang di sana cukup tertarik dengan lagu-lagu Melayu yang dibawakannya sepanjang pertandingan itu berlangsung.
Walaupun dia turut menyanyi lagu-lagu Inggeris, seperti My Baby You, The Prayer, I Know Where I've Been, Bob juga tidak meninggalkan lagu Melayu apabila menyanyikan lagu, Zapin Beradat dan Cinta Terhalang.
"Orang di sana cukup tertarik apabila saya menyanyikan lagu Melayu, mereka tidak menyangka Malaysia mempunyai muzik yang cukup unik dan berdiri sama tinggi dengan muzik mereka," tuturnya.
Terangnya, pada masa akan datang dia semahunya ingin membantu pasukan Malaysia untuk merangkul lebih banyak pingat emas.
"Saya telah berada di sana dan tahu apa yang dinginkan oleh pihak juri dan lagu macam mana yang memikat mereka. Mungkin dengan pengalaman yang ada, saya tidak ragu-ragu membantu penyanyi dan pasukan Malaysia yang terpilih untuk ke WCPA pada tahun hadapan.
"Pasukan Malaysia menunjukkan peningkatan, rasanya dengan lebih banyak persediaan dan bantuan, tiada halangan untuk pasukan Malaysia menyerlah di WCPA tahun depan," ulasnya.
WCPA macam Olimpik
Bagi penyanyi genit, Siti Sarah pula memberitahu pengalaman menjadi salah satu satu peserta daripada 22 orang peserta yang mewakili Malaysia menjadikan dia lebih kuat dan tabah.
Katanya, WCPA boleh diibaratkan seperti sukan Olimpik, cuma yang bezanya pertandingannya berlangsung di pentas dan Olimpik di padang.
"Pertandingan WCPA boleh dikira macam Olimpik untuk orang seni kerana yang masuk bertanding merupakan orang-orang terpilih oleh negara masing-masing.
"Selain Malaysia ada 26 lagi negara dan sepatutnya ada 61 negara. Tetapi disebabkan selsema babi, ada negara yang tidak dibenarkan masuk ke Amerika seperti pasukan China dan Mexico.
"Saya dan pasukan Malaysia juga amat berhati-hati sepanjang berada di sana dan syukur kami pulang dalam keadaan yang sihat cuma letih sedikit," ucapnya.
Walaupun dalam keadaan kurang sihat, Sarah berjaya merangkul dua pingat emas bagi kategori World Music dan R&B/ Jazz dan dua lagi pingat emas bagi Grand Final Gold Award iaitu untuk kategori vokal terbuka dan duet bersama Bob.
|
|
"Hari pertama pertandingan, saya telah pengsan kerana tidak sempat bersarapan dan menyebabkan keadaan kecoh seketika. Pihak penganjur yang turut risau dengan keadaan saya meminta saya berehat.
"Tetapi setelah sedar, saya tetap teruskan juga perjuangan saya di atas pentas kerana bagi saya datang jauh-jauh tidak sertai pertandingan memang tiada gunanya.
"Jadi, apabila dapat pingat emas, memang saya tidak sangka langsung kerana ramai lagi penyanyi yang bagus terutama peserta dari Afrika. Mungkin juri melihat semangat saya yang kuat untuk bertanding walaupun pernah pengsan," kata Sarah sambil ketawa kecil.
Dalam pada itu, terpalit juga rasa kecewa di dalam dirinya apabila gagal membawa pulang sebarang pingat untuk kategori broadway dan pop.
Jelasnya, berlaku sesuatu yang di luar jangkaannya apabila cakera padat yang dibawanya dari Malaysia telah mengalami kerosakan.
"Sepatutnya saya membawakan lagu dalam bahasa Inggeris tetapi pada saat-saat akhir lagu terpaksa ditukar dan keadaan yang kelam kabut telah membuatkan saya hilang fokus," katanya.
Walaupun begitu, suara Sarah tetap menjadi perhatian apabila dia telah mendapat tiga tawaran dari beberapa agen yang mewakili beberapa syarikat rakaman di sana.
"Terkejut juga pada mulanya, tetapi setelah diterangkan cara kerja penyanyi di sana berbeza dengan kita di Malaysia baru saya faham.
"Macam kita di Malaysia setiap penyanyi ada pengurus tetapi di sana mereka ada pengurus dan ejen sekali. Ejen, itulah yang akan menawarkan kontrak rakaman kepada penyanyi. Setakat ini, belum ada apa-apa lagi, kalau ada peluang memang saya teringin untuk meluaskan kerjaya seni di sana," kata Sarah.
Sarah dan Bob yang ditemui di Istana Budaya baru-baru ini, juga mengucapkan syukur kerana pasukan Malaysia berjaya meraih 59 pingat secara keseluruhannya iaitu 38 pingat emas, 16 pingat perak dan lima pingat gangsa.
Selain mereka berdua, pasukan Malaysia juga berbangga apabila kumpulan tarian Artistana berjaya merangkul anugerah tertinggi iaitu Grand Champion of The World bagi kategori tarian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: