|
|
BERMULA dengan peringkat uji bakat yang dihadiri lebih 4,000 peminat seni yang ingin mencuba nasib di bidang lakonan, hanya 25 daripada mereka berjaya tersenarai sebagai peserta pertama pentas realiti lakonan, Anak Wayang.
Daripada jumlah tersebut, lima orang daripada mereka layak menempatkan diri sebagai pelakon yang turut membarisi drama bersiri 50 episod Kerana Cintamu.
Drama tersebut mula bersiaran sejak 22 Mei lalu di Astro Prima (saluran 105 Astro) setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 malam dengan barisan pelakon, Mustapha Kamal, Aman Shah, Nanu Baharudin, Haleeda dan Janet Khoo.
Kini, kemuncaknya telah tiba. Hanya dua peserta iaitu Mohd Hairi Safwan Aznan atau lebih dikenali sebagai Hairi, 21, dan Hafiz Halim atau Hafiz, 21, akan mencuba nasib mereka.
Mereka bakal berentap di pentas akhir Anak Wayang yang bakal berlangsung di Dewan B, Putrajaya International Convention Centre (PICC), pada pukul 10 malam ini.
Episod akhir (episod ke 50) siri Kerana Cintamu bakal disiarkan pada pukul 9 malam pada hari yang sama di Astro Prima.
Baik Hairi mahupun Hafiz kedua-duanya mempunyai bakat dan kelebihan tersendiri yang melayakkan mereka bergelar juara.
Namun, satu yang pasti, anda sebagai peminat setia Anak Wayang dipertanggungjawabkan memilih siapakah di antara mereka yang benar-benar layak dinobatkan sebagai juara sulung rancangan realiti itu.
Hadiah-hadiah yang bakal dibawa pulang oleh juara Anak Wayang termasuklah sebuah kereta Honda Jazz bernilai RM109,800, wang tunai RM10,000, tawaran berlakon 60 siri drama di Astro.
Juara turut menerima dua tiket penerbangan ke Los Angeles, kamera Canon model FS21, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun serta trofi.
Manakala naib juara pula bakal menerima wang tunai RM5,000, TV LCD 42 inci, kamera Canon model DC420 serta trofi.
Pertandingan akhir ditentukan 100 peratus undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata: "Setelah sembilan minggu bersiaran, akhirnya pencarian bintang telah sampai ke penghujung dan hanya seorang yang layak bergelar Anak Wayang.
"Di sini saya ingin mengingatkan kepada para peminat setia rancangan ini agar mengundi dengan bijak terhadap peserta yang mempamerkan persembahan yang terbaik dan menghiburkan pada peringkat akhir," katanya.
Selain menampilkan pengkritik undangan, peserta juga bakal menerima kritikan daripada pengkritik tetap iaitu pelakon jelita, Nasha Aziz dan pengarah yang tidak asing lagi, Rashid Sibir.
Pada peringkat akhir itu nanti, kedua-dua peserta bakal menggalas empat tugasan yang akan menguji corak lakonan dan penghayatan mereka.
Tugasan pertama memerlukan mereka melakonkan watak secara monolog.
Untuk tugasan kedua pula, mereka perlu berlakon secara spontan di atas pentas. Menariknya tugasan tersebut ialah segmen Riuh Pagi Di ERA Bersama Aznil dan Din Beramboi yang akan di bawa ke atas pentas terus ke kaca televisyen untuk dilakonkan secara spontan.
Tugasan ketiga pula menuntut kedua-dua finalis berlakon secara spontan di layar hijau. Sementara bagi tugasan akhir, teknik lakonan kedua mereka akan diuji menerusi dua rakaman VT.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: