Thursday, July 30, 2009

Hujan lancar 'mobile blog' untuk dekati peminat.

Ogos ini, 'Hujan' akan mengeluarkan album terbaru, 'Mencari Konklusi' dan klip video yang telah siap

MINGGU ini atau minggu depan, band indie Hujan bakal melancarkan 'mobile blog' dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendekatkan diri mereka dengan para peminatnya.

Menurut pengurus 'Hujan' Hang Dimas, para peminat yang melanggan perkhidmatan 'mobile blog' itu boleh menerima berita terkini daripada 'Hujan' setiap hari.

Katanya, strategi itu adalah lanjutan daripada laman blog kumpulan itu - iaitu, www.hujan.org yang menjual merchandise (barang dagangan), mempunyai chat room, forum dan sebagainya.

"Ogos ini, 'Hujan' akan mengeluarkan album terbaru, 'Mencari Konklusi' dan klip video yang telah siap. Ia akan berupa 'soft launch' terlebih dahulu sebelum promosi besar-besaran selepas Hari Raya ini, iaitu pada bulan Oktober ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Dimas memberitahu, album terbaru itu memuatkan tujuh buah lagu. Antara lagunya, 'Mencari Konklusi', 'Kau Harus Ada', 'Obsesi', 'Romantik' dan 'Sangkar Besi'.

Katanya, komposer semua lagu ialah vokalis kumpulan itu, Noh.

"Keistimewaan album ini adalah berkonsepkan rock 'n' roll dengan lagu pop beat sikit-sikit," ujar Dimas yang merupakan pemain keyboard band 'Hujan' selain AG (gitar) dan Ambobzeela (dram).

Bagi klip video 'Hujan' pula, Dimas berkata, penggambarannya telah dibuat di Bandung, Indonesia pada 14-15 Julai lalu.

"Klip video tersebut menggandingkan pelakon terkenal dari Indonesia, Fauzi Baadilla dan Scha Al Yahya (atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya) dari Malaysia.

"Dan ia akan disiarkan melalui saluran Channel V dalam AstroRia untuk tatapan para penonton," kata Dimas.

Dalam Anugerah Planet Muzik 2009 (APM) baru-baru ini, band 'Hujan' dicalonkan bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu untuk Duo/Kumpulan Baru Terbaik, Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo! dan Artis Serantau Paling Popular tetapi gagal membawa sebarang anugerah

Selain itu, Dimas berkata, 'Hujan' akan menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan band indie itu.

"Roadshow itu akan dijalankan selepas Hari Raya ini iaitu pada awal Oktober. Siri jelajah itu bermula dari Kuala Lumpur dan dijangka tiba di Singapura, pada 7 Oktober ini.

"Tempat-tempat seterusnya masih belum kami tentukan sekarang. Antara lokasi yang dalam perancangan kami termasuk Ipoh, Melaka dan Penang. Noh akan bawa band lain semasa roadshow tersebut," kata Dimas.

Dalam Anugerah Planet Muzik 2009 (APM) baru-baru ini, band 'Hujan' dicalonkan bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu untuk Duo/Kumpulan Baru Terbaik, Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo! dan Artis Serantau Paling Popular tetapi gagal membawa sebarang anugerah.

Menurut Dimas, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangat kumpulan itu kerana mereka sedar calon-calon band bagi setiap kategori adalah "band-band senior".

"Kami melihat terdapat hikmah di sebalik penyertaan dalam APM tersebut. Misalnya, dalam promosi 'Hujan' di Indonesia pada Mac lalu, kami hanya dapat berbuat demikian di stesen radio.

"Di APM, persembahan lagu "Pagi yang gelap" kami disiarkan secara langsung ke banyak negara serantau. Saya percaya 'Hujan' akan lebih dikenali selepas ini," kata Dimas.

1 comment:

  1. HUJAN the BEST BAND in MALAYSIA!!!!!! gooo HUJAN gooo!!!! RAINGERS always SUPPORTS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    #SANG ENEMY!!!! \m/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: