SEPANJANG tiga kali penganjuran Pesta Malam Indonesia (PMI), buat pertama kalinya PMI 3 yang membawa lima kumpulan terkenal Indonesia berlangsung dengan suasana aman dan tenteram.
Tiada lagi adegan tumbuk-menumbuk atau pergaduhan berlaku seperti mana tahun-tahun sebelum ini. Malah, penonton juga dilihat lebih terkawal sejak persembahan bermula pada pukul 3 petang di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Selain itu, tiada juga adegan buka baju daripada penyanyi seperti yang dilakukan oleh Ariel daripada kumpulan Peterpan pada PMI 2, tahun lalu.
Bukan itu sahaja, konsert juga berjalan lancar tanpa gangguan sistem bunyi atau kerosakan teknikal dan itu satu perubahan yang menunjukkan penganjur lebih matang selepas melalui pelbagai pengalaman cemas dua tahun sebelum ini.
Meskipun pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur terdapat dua konsert percuma daripada penyanyi tempatan namun ia tidak menghalang PMI 3 meraih perhatian penonton.
|
|
Walaupun tidak mencapai sasaran asal seramai 15,000 penonton tetapi ia masih boleh dikira sebuah konsert yang berjaya apabila 8,000 tiket yang dijual pada yang sama iaitu RM63 berjaya dijual.
Mengenai persembahan pula, semua kumpulan yang membuat persembahan iaitu kumpulan Padi, Andra & The Backbone, Sheila On 7, Gigi dan Dewa masing-masing memberikan persembahan yang cukup bertenaga.
Namun, sebelum persembahan bermula penonton dipanaskan dengan dua kumpulan dari Malaysia iaitu Jinbara dan Aku sebagai persembahan pembukaan.
Konsert yang berlangsung selama tujuh jam itu menyaksikan setiap kumpulan berdiri di pentas selama satu jam dan kumpulan Padi merupakan kumpulan pertama menggegarkan pentas.
Padi yang meluncurkan album terbaru mereka tahun lalu dilihat lebih banyak menyanyikan lagu-lagu klasik yang mempopularkan diri mereka di Malaysia seperti Sang Penghibur, Begitu Indah, Kasih Tak Sampai, Jangan Datang Malam Ini dan Menanti Sebuah Jawaban.
|
|
Selain menghibur, Padi juga sempat menerapkan semangat patriotik di kalangan penonton yang rata-ratanya warga Indonesia dengan mendendangkan lagu berjudul Indonesia Pusaka sambil vokalisnya, Fadly mengibarkan bendera Indonesia.
Pelakuan Fadly itu disambut baik oleh penonton yang turut tidak ketinggalan mengibarkan bendera dan melaung-laungkan nama negara mereka.
Mungkin itu satu cara buat Padi menitip semangat kepada peminatnya yang bekerja di Malaysia, tetapi bagi penonton Malaysia rasanya seperti berada di tapak konsert di negara seberang pula.
Jika Padi banyak berbicara dengan penonton, sebaliknya pula dengan kumpulan di bawah projek solo pemain gitar utama kumpulan Dewa, Andra iaitu Andra & The Backbone.
Mungkin usia kumpulan yang dianggotai oleh Andra Ramadhan, Stevie Morley dan vokalis Dedy Lisan tidak sepanjang empat kumpulan yang lain, Dedy dilihat tidak berapa bijak berinteraksi dengan penonton tetapi persembahan tetap menghiburkan.
Kalau diteliti semula antara semua kumpulan, persembahan mereka paling pendek durasinya mungkin mengejar waktu sebelum konsert dihentikan untuk menghormati waktu Maghrib, namun ternyata penonton puas dengan lagu mereka antaranya Sempurna, Main Hati, Musnah, Tak Ada Yang Bisa, Pujaan Hati dan Kepayang.
|
|
Selepas konsert direhatkan buat seketika, giliran kumpulan Sheila On 7 (SO7) pula mengambil posisi di pentas, dan kali ini terdengar keriuhan bukan sahaja di kalangan penonton Indonesia tetapi juga Malaysia.
Mana tidaknya, S07 antara kumpulan Indonesia terawal yang popular di Malaysia dan pastinya peminat tidak boleh melupakan lagu Dan dan Sephia yang mencairkan hati setiap peminat setia mereka.
Kelincahan vokalisnya Duta ketika mendendangkan lagu cukup memberi tenaga kepada penonton untuk 'bergoyang' dan melompat tatkala lagu berkumandang.
Ternyata SO7 masih mempunyai kuasa terhadap peminat di Malaysia dan mereka yang ditemui sejurus persembahan mereka berakhir meluahkan rasa gembira kerana masih diterima masyarakat Malaysia walaupun senario muzik Indonesia di Malaysia sudah berubah dek kuota 90:10.
"Suasananya sedikit berbeza dan tidak mungkin sama seperti di awal kemunculan SO7, tetapi bagi kami ia tetap sama selagi peminat di sini menerima kehadiran kami.
|
|
"Lagipun, di Malaysia kelab peminat SO7 iaitu Sheila Gank antara yang terbesar dan aktif, jadi itu satu tanda yang kami masih punya peminat. Selagi orang Malaysia panggil kami untuk buat persembahan, itu sudah cukup bagus," kata Duta.
SO7 yang mendendangkan sebanyak 10 lagu termasuk lagu lama dan baru seperti Kita, Seberapa Pantas, Sahabat Sejati Pemuja Rahsia, Yang Terlewatkan, Bila Kau Tak Disampingku, Mudah Saja, Berhenti Berharap, Melompat Lebih Tinggi dan Betapa berharap konsert PMI akan diteruskan pada masa yang akan datang.
"Walaupun namanya Pesta Malam Indonesia, ia bukanlah untuk orang Indonesia sahaja kerana muzik itu seharusnya tidak dijadikan batasan, semua orang boleh menikmatinya tanpa mengira bangsa," ujar Duta lagi.
Selesai persembahan SO7, kumpulan Gigi yang mengusung genre free pop menukar warna pentas dengan barisan lagu yang mempunyai karakter tersendiri.
Mendendangkan sebanyak 12 lagu, kesemua anggota kumpulan Gigi, Armand Maulana (vokalis), Thomas Ramdhan (bass), Dewa Budjana (gitar) dan Gusti Hendy (drum) mempunyai tenaga yang luar biasa selama satu jam meskipun pada hakikatnya mereka semua tidaklah begitu sihat.
Perkara itu diakui sendiri oleh Armand yang menyatakan semangat penonton yang membuat mereka teruja apabila berdiri di pentas meskipun persembahan terhenti seketika kerana Thomas mahu ke tandas.
"Thomas demam, yang lain-lain pun tidak berada sihat kerana keadaan cuaca tetapi demi menghiburkan peminat yang menanti kehadiran Gigi masalah kesihatan ditolak ke tepi," ujar Armand.
|
|
Tambahnya yang turut mendendangkan lagu 11 Januari, Andai dan Jomblo, sepanjang Gigi bersama PMI tahun ini merupakan tahun yang terbaik kerana tiada langsung masalah besar yang melanda persembahan mereka dan penonton.
"Penganjur sudah semakin matang kerana sudah tiga kali PMI dianjurkan, kira masalah yang lepas tidak seharusnya berulang dan ini satu yang memberikan kepuasan bukan sahaja kepada penonton tetapi juga kepada kami.
"Sistem bunyi, pentas dan kawalan penonton semuanya baik, tiada apa yang membuatkan kami tidak senang. Kira ini PMI yang terbaik pernah Gigi sertai," kata Armand yang turut memberitahu Gigi telah melancarkan buku biografi Gigi yang boleh dibeli secara online.
Kumpulan terakhir yang dinantikan sudah pastinya kumpulan Dewa, tetapi sebelum Dewa beraksi penonton terlebih dahulu dihidangkan dua buah lagu, Munajat Cinta dan Bukan Superman dendangan tiga orang anak Ahmad Dhani yang mengelarkan diri mereka Lucky Laki.
Persembahan yang cukup menghiburkan itu diteruskan oleh kumpulan bapa mereka, Dewa dengan lapan buah lagu iaitu Pangeran Cinta, Separuh Nafas, Dewi, Mati Aku Mati, Sedang Ingin Bercinta, Pupus, Perempuan Paling Cantik Di Indonesia dan Arjuna.
|
|
Tidak dapat dinafikan Dewa memang sebuah kumpulan yang cukup hebat dan semasa persembahan berlangsung mereka turut mendapat ramai penyanyi latar yang terdiri daripada penonton tetapi mungkin sudah terlalu kerap menonton persembahan Dewa di Malaysia rasanya tiada apa yang baru buat Dewa di PMI.
Malahan, menonton persembahan mereka seperti melihat ulang tayang konsert mereka yang sebelum ini.
Apa pun semua penonton terhibur di PMI dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur Fat Boys kerana berjaya menganjurkan PMI tanpa sebarang kacau-bilau seperti tahun sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: