Wednesday, July 1, 2009

15 maut kereta api meletup


PEMANDANGAN dari udara lokasi kereta api meletup
di Viareggio, Itali kelmarin.


ROM - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila sebuah kereta api barang 14 gerabak meletup di Viareggio, barat Itali, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pegawai tempatan, Antonio Garufi berkata, seorang kanak-kanak merupakan antara yang maut dalam nahas itu yang turut mencederakan lebih 50 orang, 26 daripada mereka parah.

Kebanyakan mangsa cedera kerana melecur.

Ketua Agensi Pertahanan Awam Itali, Guido Bertolaso berkata, dua kanak-kanak pula melecur teruk.

Kereta api itu membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) apabila ia tergelincir dari landasan dan meletup ketika melalui sebuah penempatan penduduk berhampiran sebuah stesen kereta api di bandar pesisir pantai Viareggio.

Letupan berlaku kira-kira pukul 11.45 malam waktu tempatan kelmarin.

Ketika kejadian, empat gerabak tangki LPG itu terbalik.

Kemalangan berlaku ketika kereta api tersebut sedang dalam perjalanan dari bandar La Spezia di utara Itali menuju ke bandar Pisa, tengah negara itu.

Garufi pula memberitahu, stesen berkenaan dan beberapa bangunan berhampiran terbakar dan memaksa pihak berkuasa memindahkan 300 penduduk sekitarnya.

"Saya dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dan bergegas keluar dan mendapati api menjulang manakala beberapa mayat rentung bergelimpangan," kata seorang saksi.

Agensi berita ANSA melaporkan para penyiasat sedang menyiasat sama ada kemalangan itu berpunca daripada satu gandar gerabak itu yang patah menyebabkannya tergelincir dari landasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: