Wednesday, July 29, 2009

Menanti penuh bersemangat


ATILIA dan Noryn (kanan) makin teruja menjelang dua malam persembahan di Dewan Lambang Sari, Istana Budaya.

Atilia dan Noryn tidak sabar untuk beraksi pada Malam Nada Biru di IB

PERSEMBAHAN Malam Nada Biru pada 30 dan 31 Julai ini yang dijayakan dua penyanyi, Atilia dan Noryn Aziz ibarat ruang melepaskan geram terhadap persepsi skeptikal dan prejudis sesetengah pihak menerusi muzik jazz yang menjadi pilihan mereka.

Malah jika selama ini mereka dikehendaki menyanyikan lagu penyanyi lain mengikut permintaan penganjur persembahan, kini tiba masanya untuk mereka menyanyikan lagu sendiri pada persembahan yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) itu.

Sambutan dan maklum balas yang diterima termasuk penjualan tiket berharga RM80 bagi menonton persembahan itu turut laris. Ia menjadi pembakar semangat awal buat gandingan julung kali membabitkan mereka dalam mini konsert yang disifatkan intim dan eksklusif.

Diilhamkan daripada siri persembahan muzik jazz dipanggil Blue Note Nite yang bukan asing lagi di luar negara seperti di New York, peluang bersatu dalam konsert itu sebagai bukti kepada usaha memastikan aliran muzik mereka tidak terus statik, malah pantas berkembang menambat perhatian penggemar muzik.

Menurut Atilia sambil berseloroh kesukaran lagu nyanyian mereka mendapat tempat di sesetengah stesen radio tempatan terubat dengan terlaksananya projek ‘kawan-kawan’ itu.

ATILIA dan Noryn terus memperjuangkan muzik jazz.

Katanya, lagi persembahan dua malam itu akan diiringi dengan pemuzik berbakat yang digelar Mujik Majik seperti Eric Lee, Jamie Wilson, Lewis Pragasam, Steve Thornton dan ramai lagi.

“Hampir semua lagu yang akan dinyanyikan kami adalah lagu sendiri. Selama dua jam set persembahan akan dibahagikan kepada beberapa segmen. Ia akan dimulakan dengan Noryn dan diikuti saya pula. Kami akan menyanyikan tujuh lagu setiap seorang dan dua lagu duet dinyanyikan ketika penghujung persembahan.

“Sebagai permulaan kami memilih dewan Lambang Sari yang tidak sebesar Panggung Sari. Oleh kerana persembahan ini tiada penaja besar dan dibuat secara peribadi, lalu apa juga yang ingin dibuat perlu mengukur kemampuan yang ada. Persembahan ini lebih mesra kerana persekitaran lebih terkawal.

“Mood yang kami ingin bawakan lebih santai. Kami mempunyai nada suara dan cara penyampaian berbeza. Suara saya lebih lembut, tetapi Noryn lebih lantang. Masing-masing ada keistimewaan tersendiri. Ibu saya (Salamiah Hassan) juga teruja dengan persembahan ini,” kata Atilia yang tertarik untuk menjayakan mini konsert itu selepas menonton persembahan kumpulan Butterfingers beberapa bulan lalu di IB.

Persembahan ini turut mendapat sokongan tajaan serta kerjasama Sennheiser, Eclipse, Yamaha dan banyak lagi. Persembahan terbabit turut dirancang untuk dijadikan acara tetap dalam kalendar tahunan mulai 2010. Sedar dengan keterbatasan kapasiti penonton di ruang Lambang Sari itu, pastinya akan ada peminat yang terlepas peluang untuk menonton.

“Bagi penerbitan DVD ini, aspek audio dan visual menjadi peranan penting sebagai kepuasan kepada pembeli kelak. Kami mengharapkan sambutan baik terhadap jualan DVD itu. Malah, kami juga merangka untuk menjual program ini kepada syarikat penyiaran.

“Perancangan untuk menjadikan siri persembahan ini sebagai acara tahunan masih dalam peringkat perbincangan dengan IB,” kata Atilia.

Muzik jazz sesuai untuk semua

NORYN Aziz berpendapat persembahan itu sebagai anjakan paradigma untuk terus menyemarakkan industri seni tempatan. Bekerjasama dengan pihak berpengalaman juga menjadi kekuatan kepadanya dan Atilia untuk memberikan persembahan bermutu. Ia juga sebagai pengenalan untuk memperkenalkan kepelbagaian genre muzik yang ada di dalam negara kita.

“Kami lebih kuat bersatu bersama-sama merealisasikan persembahan ini. Ia sebagai usaha menghebahkan kepada mata umum kita pun ada bakat tempatan yang boleh dibanggakan. Lihat saja seperti di Indonesia dianjurkan Festival Java Jazz yang turut menarik perhatian orang luar. Inilah masa untuk menghargai bakat tempatan dengan menyokong kami.

“Apa yang kami ingin tonjolkan nanti pada persembahan itu nanti ialah genre jazz yang saya boleh labelkan sebagai pop jazz. Saya sedar dulu muzik jazz sukar diterima umum dan sering dikelaskan sebagai muzik orang kaya. Namun kini, seiring dengan peredaran masa terutamanya dua tahun kebelakangan ini minda peminat lebih terbuka. ]

“Sebagai contohnya, lihat saja dengan kebangkitan band indie. Jadi bagi kami yang sudah lama bertapak di persada seni, sudah tiba masanya untuk kami menggandakan usaha bagi memastikan legasi seni aliran muzik kami terus mendapat ruang dan tempat di hati penggemar muzik.

Noryn dan Atilia ditemui Hip pada minggu lalu dalam satu sidang media Malam Nada Biru yang diadakan di Bsync Productions, Jalan Permai, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: