Wednesday, July 29, 2009

Dengarnya...: Wangi, Kamal Adli dalam muzikal Impak Maksima



Kamal dan Wangi bakal bergandingan dalam teater muzikal Impak Maksima.

TEATER muzikal Impak Maksima di Singapura nampaknya bakal disuntik elemen baru apabila Cik Normah diberitahu, penyanyi wanita kumpulan Fabulous Cats, Wangi, bakal beraksi dalam pementasan arahan Ahmad Idham itu.

Turut bergandingan dengannya dalam teater muzikal yang pernah berkampung di Istana Budaya hujung tahun lalu itu ialah Kamal Adli yang cukup dikenali menerusi siri Bio-Nik.

Kononnya, kehadiran Wangi dalam teater berkenaan adalah bagi menggantikan tempat Dynas, manakala Kamal pula memainkan peranan yang pernah dipegang Zul Huzaimi.

Sebelum ini Cik Normah pernah tulis, kononnya, apabila ada penaja yang ingin bekerjasama dengan Idham membawakan teater itu ke Singapura, nama Dynas tidak berapa digemari. Jadi, kenalah cari pelakon pengganti apabila si jelita tinggi lampai itu tidak lagi disenaraikan untuk pementasan terbabit.

Teater muzikal Impak Maksima yang agak hebat juga dikritik ketika pementasannya diadakan di Istana Budaya, bakal menggegarkan Esplanade, pentas persembahan terkemuka antarabangsa di Singapura, pada pertengahan Oktober ini.

Bagi Cik Normah, pemilihan Wangi tentu sekali akan memantapkan lagi bab nyanyian dalam pementasan berkenaan. Selain mempunyai wajah yang cantik, Wangi juga berbakat besar sebagai penyanyi. Jika Dynas menawan pentas dengan lakonan, Wangi pula mungkin mampu melakukan kedua-duanya sekali.

Cik Normah tidak berapa mengenali Kamal, selain menonton lakonannya di TV. Jadi, tidak tahulah pula apakah dia juga mampu menyanyi dengan baik di pentas nanti? Harap-harap, dia mampu memberikan keadilan kepada teater yang mencipta sejarah sebagai teater muzikal permotoran pertama dipersembahkan di Istana Budaya.

Ia diangkat ke pentas teater berdasarkan filem Impak Maksima, juga arahan Ahmad Idham. Ketika ditayangkan Ogos 2007. Versi filemnya dilakonkan Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Zul Huzaimi, Cat Farish, Opie Zami, Dynas dan M Rajoli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: