Wednesday, July 29, 2009

Jawablah!: 'Macam terkena sumpahan'


Aizat dan Ayu antara yang cemerlang pada APM 2009.

Amin Hussein perjelas kekecohan sepanjang Anugerah Planet Muzik berlangsung di Jakarta.

LEBIH seminggu berlalu, namun nampaknya acara hiburan tahunan serantau Anugerah Planet Muzik (APM) masih terus diperkatakan. Namun bukan keputusan atau kehebatan penganjurannya yang menjadi buah mulut ramai tetapi kekecohan yang berlaku ketika acara itu berlangsung. Dalam akhbar sisipan B*pop Ahad lalu, khabarnya, ada wakil media Malaysia yang tidak puas hati kerana pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka, tidak melaksanakan tugas itu dengan baik.

Sudahlah terpaksa menggadai nyawa kerana acara itu berlangsung di Jakarta, Indonesia, yang sebelum itu dilanda musibah kerana dua hotel mereka dibom oleh mereka yang didakwa sebagai pengganas. Sampai di sana, mereka pula dibiarkan terkontang kanting serta tenggelam punca tanpa ada sesiapa yang ingin menguruskan mereka sehingga menyukarkan untuk membuat kerja.

Bukannya bertujuan untuk mendapatkan layanan lima bintang namun penganjur harus menyedari media perlu menjalankan tugas mereka. Sudah namanya membuat liputan pastinya perkara asas seperti kemudahan menghantar berita, peluang untuk menemubual artis harus difikirkan lebih awal.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku, Hip mendapatkan kenyataan wakil penganjur, Amin Hussen yang juga Pengarah Urusan Beyond Events Sdn Bhd. Ikuti penjelasan beliau berhubung kontroversi itu.

Hip: Boleh Amin jelaskan kekecohan yang berlaku sewaktu APM baru-baru ini?

Amin Hussein

Amin: Saya tahu ada wakil media yang tak puas hati dengan apa yang berlaku sewaktu di Jakarta minggu lalu. Terus terang, saya sendiri tidak tahu perkara itu sehinggalah saya terbaca di akhbar Ahad lalu. Saya akui memang ada berlaku sedikit kekecohan membabitkan wakil media apabila mereka dikatakan tidak dapat tag untuk masuk ke dalam dewan dan membuat liputan untuk acara raptai. Bukan bertujuan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi sebenarnya mengikut perancangan awal, media akan dijaga sepenuhnya oleh Astro. Akan tetapi apabila Astro membatalkan di saat akhir pemergian mereka ke Jakarta akibat kes pengeboman yang berlaku sehari sebelum itu, secara tidak langsung berlakulah kekecohan seperti ini.

Hip: Mengapa boleh jadi begitu? Apakah tidak ada koordinasi antara pihak Beyond dengan penganjur di Jakarta iaitu Global TV?

Amin:
Apabila mereka mendapat tahu yang pihak Astro membatalkan pemergian, jadi mereka beranggapan bahawa memang tidak ada langsung wakil media dari Malaysia yang akan membuat liputan. Jadi mereka (Global TV) langsung tidak memberikan kami sebarang maklumat yang boleh kami salurkan kepada beberapa orang media yang datang membuat liputan termasuk media rasmi. Bukan saja media tetapi kami sendiri pun sukar mendapatkan tag untuk masuk ke dalam dewan sewaktu acara raptai dijalankan. Mereka juga sesuka hati mengubah jadual tanpa memaklumkan kepada kami sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan. Dan lagi satu, kami akui ketika di sana masalah komunikasi memang sering berlaku. Ada ketika antara kami memang sukar untuk dihubungi menerusi telefon. Masalah telekomunikasi di sana memang teruk.

Hip: Sebagai penganjur, pastinya pihak Beyond sedia maklum bahawa media biasanya memerlukan kemudahan untuk menghantar berita tetapi malangnya perkara itu tidak disediakan.

Amin: Sebenarnya bilik untuk media memang disediakan tetapi seperti yang saya tegaskan tadi, mereka tidak tahu bahawa ada wakil media dari Malaysia hadir membuat liputan. Jadi mereka

pun serahkan bilik itu kepada wakil media mereka yang ramai itu. Kalaupun mereka tak tahu, lobi hotel yang mereka duduk itupun ada disediakan wifi cuma mereka perlu dapatkan kata laluan saja. Dan lagi satu mengenai kononnya media tidak dapat menemubual artis kerana tiada siapa yang menguruskan, ingin saya jelaskan di sini bahawa bukan tugas penganjur mengaturkan perkara itu. Di Indonesia, media mereka terlalu ramai dan artis mereka kalau boleh memang ingin mengelak bertemu mereka. Jadi, kalau ada yang bernasib baik dapat menemubual artis pada majlis itu, itu sudah kira bertuah. Sebab itu kalau ada yang perasan wakil media Indonesia memang tidak dijemput untuk menghadiri acara koktel selepas majlis tamat berbanding wartawan Malaysia.

Hip: Difahamkan penganjur ada menyediakan kakitangan untuk menguruskan hal ehwal media. Malangnya orang itu tidak menjalankan tugasnya seperti yang diharapkan. Komen sikit

Amin:
Oh itu bukan salah dia. Apa yang boleh saya katakan, tugas dia sebenarnya bukan menjaga media tetapi lebih kepada pengurusan artis dan hal ehwal belakang pentas. Kami hanya ada lima orang kakitangan yang bertugas termasuk dia. Seperti yang saya katakan tadi, media sebenarnya diuruskan oleh pihak Astro. Apapun, dalam artikel itu ada menyebut pemilik syarikat rakaman SRC, Tan Su Loke ada membantu media Malaysia untuk memudahkan kerja mereka. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi membantu walaupun itu bukanlah tanggungjawabnya. Kami amat menghargainya.

Hip: Rasanya saban tahun pasti ada saja perkara yang tak kena dengan APM. Tak belajar dari kesilapan kah?

Amin:
Itulah, rasanya macam terkena sumpahan kot (sambil ketawa). Biasalah bukan mudah hendak mengendalikan acara seperti ini. Banyak sangat cabarannya. Terkadang rasa macam serik juga apabila baca komen negatif. Tapi apabila fikir balik, saya anggap kritikan adalah antara cabaran yang perlu diambil dan jadikan panduan untuk penganjuran pada masa akan datang. Insya-allah, kami akan berjumpa sendiri dengan wakil media berkenaan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan meminta maaf seandainya perkara ini mengguris hati mereka. Lagipun mereka ini kawan lama saya dan memang tak sedap kalau kawan kita terluka kerana perbuatan kita. Mungkin kami akan bertemu mereka awal Ogos nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: