Wednesday, July 29, 2009

Masuk hospital gara-gara babak cemas Gerak Khas


MAIDIN semakin stabil dan sedang berehat di rumah anaknya.

PELAWAK terkenal, Maidin masih mampu bergelak ketawa ketika ditemui Hip Selasa lalu di Pusat Rawatan Kritikal, Institut Jantung Negara (IJN) selepas tiga hari dimasukkan ke wad terbabit gara-gara serangan jantung peringkat biasa.

Datuk kepada 10 orang cucu berusia 70 tahun itu yang semakin stabil kelihatan ceria ketika menceritakan kembali detik cemas serangan jantung pada 25 Julai lalu sebaik saja tamat penggambaran hari kedua drama Gerak Khas untuk tayangan raya nanti.

Adegan kejar mengejar yang dimuatkan dalam drama arahan Majid Salleh itu akhirnya mengundangnya masuk hospital.

Penggambaran itu diadakan di Masjid Sri Gombak membabitkan babak di mana kasut yang dipakai Maidin dikebas pencuri. Lucunya, kerana tiada pilihan lain, Maidin pula terdesak mengambil kasut orang untuk dipakainya. Menurut Maidin, beliau sendiri tidak tahu ada babak yang memerlukannya berlari.

Namun, demi komitmen sebagai anak seni, bapa kepada lima orang anak ini menurut saja arahan biarpun akhirnya musibah terkena pada batang hidungnya sendiri. Sambil berseloroh, beliau berkata, selama hayatnya dia tidak pernah menjejaki hospital untuk sebarang rawatan. Semalam, Maidin dijadualkan melakukan pembedahan pintasan jantung di pusat perubatan itu.

“Malam 25 Julai itu, saya mula berasa sakit di bahagian dada dan dengan bantuan pembantu peribadi, kami ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat rawatan pernafasan. Kemudian sebelah pagi keesokannya, saya ditemani anak keempat, Sulaiman ke Hospital Tawakal sebelum dipindahkan ke IJN.

“Pernafasan saya memang teruk pada mulanya dan alhamdulillah kerana cepat bertindak ia tidak melarat kerana bimbang mampu mendorong serangan jantung yang kronik. Sebenarnya ini serangan kali kedua yang saya alami selepas 1999. Ketika itu, saya menghitung hari untuk menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. Mujur ketika itu ia masih terkawal.

“Saya ini jenis yang selalu menjaga kesihatan dengan mengamalkan tidur awal dan berkebun. Biasalah orang tua macam saya ini, enjin pun sudah tak kuat dan cepat saja meragam. Bab lain saya boleh jaga tapi perihal makan saya tidak pantang. Cuma pantang saja ada di depan mata, saya akan jamah,” katanya yang akan berehat terlebih dulu di rumah anaknya di Setiawangsa sebelum pulang ke Pendang, Kedah.

Ketika Hip bertandang ke wad itu, kelihatan anaknya, Sulaiman dan isteri, Habira Ibrahim setia menemaninya dan sesekali mereka akan menunggu di ruang menunggu.

Kata Maidin, Datuk David Arumugam pun sempat menziarahinya kerana kebetulan melawat saudaranya yang berada di IJN beberapa hari yang lalu.

“Saya minta orang ramai di luar sana itu doakan kesihatan saya supaya beransur pulih. Terima kasih juga kepada staf di sini yang memberikan layanan baik kepada saya,” katanya yang perlu mengurangkan amalan menghisap rokok selepas ini demi menjaga kesihatannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: