Wednesday, July 29, 2009

Boleh ganggu keseluruhan cerita


Gayatri menjelaskan bahawa Tayangan Unggul setakat ini tiada masalah besar dengan LPF.

Peranan LPF tidak dipertikai, tetapi setiap keputusan biarlah adil kepada pembuat filem

FILEM yang dipotong babak atau adegannya disebabkan elemen keterlaluan sama ada dari segi keganasan, seksual, provokasi, mahupun menyentuh sensitiviti masyarakat bukan perkara baru dalam industri perfileman tempatan. Saban tahun, ada saja judul yang mendapat perhatian media dan peminat apabila ia mendapat potongan ‘berlebihan’ daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Kini, masyarakat penggiat filem, peminat dan media sekali lagi berbahas mengenai penapisan dan pengharaman filem apabila tiba-tiba isu peraturan tidak membenarkan karya yang memaparkan perlumbaan haram atau samseng jalanan serta watak nak nyah disuarakan kerajaan.

Tahun lalu, Maut mendapat tempat agak ‘istimewa’ di dada akhbar, majalah mahupun portal hiburan apabila ia diarahkan oleh LPF supaya memotong 11 adegan. Filem arahan Bade Hj Azmi, terbitan dan edaran Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) itu ditayangkan pada Januari lalu dan memungut kira-kira RM1.6 juta.

Filem Maut diberikan klasifikasi U atau sesuai untuk tontonan umum selepas menerima potongan yang agak banyak. TUSB akur dengan keputusan LPF, biarpun judulnya juga harus ditukar daripada Malaikat Maut kepada Maut saja.

Penerbit Eksekutifnya, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, apabila sesuatu tindakan seperti suntingan dilakukan LPF, pastinya wujud dua reaksi berbeza sesudah proses itu dilakukan.

"Keperluan kepada LPF memang tidak boleh kita pertikaikan. Ia satu lembaga yang diwujudkan bagi menjaga ketenteraman masyarakat, dengan menapis babak yang dianggap keterlaluan.

"Namun, pada masa yang sama, sudah tentulah ia ‘mengganggu’ sesebuah judul keluaran kita, kerana aktiviti perfileman ialah dunia kreatif. Sebagai penerbit, kami mahu memberikan filem yang ada kelainan dan pembaharuan. Selalunya, suntingan yang diterima tidak mengganggu cerita yang dipersembahkan. Bagaimanapun apabila kita lihat proses itu mencacatkan jalan cerita, kenalah kita berikan sedikit perhatian.

"Ketika itu, kita diberi pilihan untuk membuat rayuan, mencari jawapan mengapa babak terbabit perlukan pemotongan. Namun, sejak akhir-akhir ini LPF turut mengaktifkan sistem klasifikasi. Apabila ada sistem itu, tidak banyak yang mendapat guntingan. Dari satu sudut, klasifikasi membantu sesebuah filem untuk ‘melepasi’ proses pemotongan babak," katanya.

Menurut Gayatri lagi, sebelum filem Maut ditayangkan, TUSB dan LPF sering berbincang demi masa depan filem itu.

"Walaupun sudah ada garis panduan mengenai babak yang boleh dan tidak boleh, namun kadangkala pandangan pembuat filem berbeza dengan mereka. Bagaimana mereka menggambarkan kenakalan, umpamanya, berlainan dengan gambaran kenakalan oleh pengarah.

"Begitupun, kita akur dengan pandangan daripada LPF. Sehingga ke hari ini, Tayangan Unggul belum berdepan masalah besar dengan LPF," katanya sambil menegaskan, apabila bercerita mengenai isi kandungan sesebuah filem, ia turut membabitkan persepsi dan pemahaman penonton, serta keterbukaan minda mereka.

Jika Maut mendapat klasifikasi U dengan sebelas potongan, tetapi satu lagi filem terbitan TUSB arahan Kabir Bhatia, Setem, diberikan klasifikasi PG13 tanpa sebarang guntingan oleh LPF. Filem lakonan Rashidi Ishak, Afdlin Shauki, Que Haidar dan Vanidah Imran itu mula ditayangkan pada 30 Julai.

Bersedia dengan risiko pemotongan babak

MANAKALA nasib pengarah Prof Madya A Razak Mohaideen pula lebih baik apabila daripada kira-kira 30 judul yang pernah diarahkannya, hanya filem Skrip 7707 yang kini sedang ditayangkan mendapatkan guntingan daripada pihak penapisan.

"Potongan itu membabitkan tiga adegan, dua daripadanya babak Fasha Sandha menggugurkan kandungan menggunakan daun nanas, sementara satu lagi babak Jehan Miskin melakukan pembunuhan, yang dilihat LPF terlalu ngeri dan kejam" katanya yang menganggap pemotongan itu tidak mengganggu jalan cerita filem berkenaan.

Katanya, adegan membabitkan Fasha mungkin tampak lebih ngeri apabila ia ditonton dengan muzik Dolby Sound. Jika adegan itu diberikan kepada LPF tanpa muzik, tegasnya, ia pasti kelihatan kurang mengerikan.

"Saya sendiri sering beringat apabila menghasilkan sesebuah filem. Saya cuba membayangkan sesebuah adegan itu dari segi kesinambungannya jika ia mendapat potongan. Iyalah, kita tidak tahu bagaimana pandangan mereka. Jadi, lebih baik kita bersedia," katanya.

Menyentuh penghasilan filem seram, kata Razak, dia banyak mendengar nasihat LPF supaya membentangkan dulu skrip yang hendak dijadikan filem kepada mereka.

"LPF mengalu-alukan penerbit menunjukkan dulu filem yang baru siap dirakam, supaya mereka dapat memberikan pandangan berhubung sesuatu babak yang dirasakan sesuai atau sebaliknya," ujar Razak.

Syamsul risau nasib Evolusi II

PENGARAH muda, Syamsul Yusof, tidak menyembunyikan kerisauan apabila peraturan baru mengharamkan tema lumba haram dikeluarkan. Dia bimbang jika filem Evolusi KL Drift II yang kini dalam proses akhir tidak dapat menemui penonton di pawagam, akibat peraturan yang hangat diperkatakan itu.

"Saya belum menghantar Evolusi II kepada LPF. Dalam dua minggu lagi, saya akan membawa filem ini ke Bangkok untuk proses akhirnya. Hanya selepas itu barulah ia akan diserahkan kepada mereka.

"Sudah tentu saya risau mengenangkan nasib filem ini setelah peraturan baru itu diperkenalkan. Namun saya amat berharap, ia tidak akan dikenakan ke atas filem yang sudah pun dihasilkan. Filem seperti Evolusi II menelan belanja agak besar, justeru saya amat berharap supaya LPF mempertimbangkan faktor kos untuk menghasilkan sesebuah filem itu juga.

"Saya tidak menghalang jika ia dikenakan ke atas filem yang baru saja hendak dihasilkan. Kami sebenarnya merancang untuk menghasilkan filem Bohsia II: Jalan Pulang. Tetapi, apabila peraturan baru itu diperkenalkan, terpaksalah kami batalkan," katanya.

Pada masa yang sama Syamsul menagih keadilan daripada kerajaan. Katanya, jika peraturan dalam industri perfileman diperketatkan, kerajaan juga haruslah memperkuatkan lagi undang-undang cetak rompak yang dikatakan antara sebab utama kemerosotan sambutan terhadap filem tempatan.

"Operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan cetak rompak juga haruslah diperhebatkan, sebagai memberikan keadilan kepada penggiat seni perfileman yang akur dengan peraturan diperkenalkan," katanya yang menjangkakan Evolusi II dapat ditayangkan pada penghujung tahun ini, atau awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: