Tuesday, July 28, 2009

Mardiana tidak gemar bersosial


POTENSINYA sebagai pelakon pelapis tanah air tidak boleh dinafikan.

Siapa sangka dalam usia 21 tahun, Mardiana Alwi sudah bersedia menongkah arus untuk mencipta nama. Walaupun digilap di pentas teater, gadis manis ini nyata berbakat dalam lakonan.

Bahkan, kemampuannya teruji apabila dilamar berlakon teater Intan Yang Tercanai karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan.

Membawa watak Ungku Intan Anis, ia dipertontonkan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Kemantapan lakonan Mardiana berjaya mendapat pujian ramai.

Namun, bakat muda kelahiran Johor ini menganggap masih banyak perlu diperbaikinya lagi terutama dari aspek menjiwai watak.

Apapun, dia mengakui berlakon teater lebih memberi kepuasan.

Mardiana berkata, minatnya pada seni dikesan ketika usia sembilan tahun.

Dia sering menyertai pertandingan dan persembahan pentas anjuran Yayasan Warisan Johor, Jabatan Kebudayaan Johor dan Konsert Keroncong Diraja.

"Saya juga pernah menyertai Kumpulan Remaja Ghazal Mersing pada 2005. Apabila melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), saya mula terbabit berlakon untuk teater pula.

"Setakat ini, banyak teater yang sudah dilakonkan antaranya Lawyer Dahlan, Teater Klasik Mac Beth, Bangsawan Raden Galoh, Teater Eksperimen Virtigo dan Muzikal Kesuma. "Saya juga menjayakan teater untuk arus perdana seperti Bukan Dejavu, Syurga Dan Neraka, Bangsawan Menjunjung Duli serta Intan Yang Tercanai.


"Terus-terang saya katakan, berlakon teater cukup memberi kepuasan. Bagaimanapun, ia bukan perkara mudah kerana dibuat secara 'live.' Justeru, saya harus bijak mengawal emosi supaya konti 'mood' tidak lari dan mampu kekal hingga persembahan tamat.

"Sebagai pelakon teater, beraksi di pentas adalah milik sepenuhnya. Jika apa-apa terjadi seperti lupa dialog atau lakonan tidak berkesan, semuanya atas tanggungjawab sendiri. Oleh itu, latihan memainkan peranan penting untuk memahami karakter," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik ini mengakui keluarganya semua meminati seni, tetapi cuma dia seorang saja yang nekad meneruskan minat itu kerana adik-beradik lain memilih bidang kejuruteraan, arkitek dan perbankan.

"Apapun, saya sangat bersyukur kerana mendapat sokongan padu keluarga terutama ibu, Kamariah Sulaiman yang sentiasa menemani saya ke mana saja, sama ada menjalani latihan atau menjayakan fotografi, ibu pasti berada di sisi.

"Walaupun kini remaja, saya tidak pernah berasa diri terkongkong. Ibu pun bukannya mengganggu kerja saya dan kehadirannya sekadar menemani saja.

"Sebagai anak, saya sangat selesa jika ibu bersama kerana dia tahu apa yang saya lakukan.

"Lagipun, mungkin saya sudah terbiasa dengan kasih sayang yang dipupuk dalam keluarga. Jadi, saya rasa selamat dan senang sentiasa bersama ibu. Tidak kisah apa orang hendak cakap saya ini 'anak emak' kerana memang itulah hakikat sebenarnya.

"Bukan itu saja, saya juga tidak gemar bersosial. Bagi saya, masa itu 'emas' dan tidak harus mensia-siakannya begitu saja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: