BERGELAR selebriti ternama tanah air bukan bermaksud Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak memasak untuk suami di rumah. |
Malah, kata isteri kepada ahli perniagaan Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K ini, dia tetap meluangkan masa memasak untuk suaminya setiap kali ada kelapangan.
"Sebenarnya, saya memasak memang mengikut mood. Tapi, selepas bergelar isteri, saya memang tidak ada masalah memasak untuk suami kerana sudah biasa ke dapur sejak zaman anak dara lagi.
"Sebelum kami berpindah ke Bukit Antarabangsa, saya sering memasak untuk suami. Maklumlah, apabila sudah berkahwin, suami pasti ingin merasai air tangan isterinya sendiri. Secara kebetulan, pembantu rumah kami sebelum ini memang tidak pandai memasak.
"Saya juga beruntung kerana suami tidak cerewet soal makan dan apa saja yang saya masak dia makan tanpa banyak soal," katanya.
Siti, 30, berkata, antara makanan kegemaran Datuk K ialah ialah ikan patin masak tempoyak.
"Sebelum ini, suami tidak pernah makan ikan patin, tetapi sekarang, ikan patin masak tempoyak adalah makanan kegemarannya. Suami juga suka sajian makanan kampung seperti sambal petai dan sambal belacan.
"Selain masakan kampung, saya juga boleh memasak makanan barat seperti spageti dan lasagna.
Setakat ini, makanan yang belum pernah saya cuba untuk membuatnya sendiri ialah kek, pai dan brownies," katanya. Namun, kata Siti, sejak tinggal bersama ibu mentua, urusan memasak diserahkan kepadanya yang memang cekap di dapur.
"Ibu mentua juga mempunyai pembantu rumah berpengalaman yang pandai memasak.
"Pada masa sama, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya urusan rumah tangga pada pembantu rumah semata-mata terutama soal makan dan pakai suami setiap hari," katanya.
Siti ditemui ketika menjayakan rakaman program masakan Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza terbitan Global Station Sdn Bhd (Global Station) di kediamannya di Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.
Mengenai program masakan sebanyak 15 episod itu, Siti berkata, ia juga julung kali menampilkannya sebagai hos program masakan.
"Apabila ditawarkan buat program masakan, saya bertanya pada diri sendiri sama ada saya boleh buat atau sebaliknya? Maklumlah, buat program masakan ini memang tidak sama seperti menyanyi ataupun berlakon.
"Pun begitu, selepas menjayakan beberapa episod rakaman program ini, barulah saya mula berasa seronok pula buat rancangan ini kerana ia memberi pengalaman baru buat saya," katanya.
Siti berkata, program masakan itu juga mempunyai cabaran tersendiri.
"Antara cabaran buat program ini ialah pihak kami (kru) perlu menyediakan bahan-bahan memasak lebih awal seperti ke pasar membeli bahan mentah dan mengisar bahan yang diperlukan mengikut resipi.
"Dalam sehari, pihak kami berjaya menyiapkan sebanyak tiga episod. Satu episod membabitkan tiga resipi iaitu dua makanan dan satu pencuci mulut.
"Program ini membabitkan sebanyak 15 episod. Dua lagi episod terakhir ialah untuk hari raya yang memaparkan saya memasak bersama keluarga.
"Pada hari pertama rakaman, memang saya agak kekok sikit, tetapi masuk hari kedua semuanya bertambah baik.
"Mengikut perancangan asal, memang kami ingin buat penggambaran program ini di dapur basah dalam rumah, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan rakaman program terpaksa dibuat di tengah halaman rumah," katanya.
Siti berkata, apa yang menarik, program itu menampilkan resipi yang juga sajian kegemarannya sejak dulu.
"Selain resipi saya, ia juga memaparkan resipi ahli keluarga terdekat saya dan sajian tradisional Pahang sendiri. Contohnya, resipi sardin masak lemak yang dipaparkan dalam program ini adalah resipi kakak ipar, Rozi Abd Razak.
"Antara resipi yang ditampilkan dalam program ini ialah tempoyak ikan patin ku mahu, sup cendawan purnama merindu, ikan bawal cili padi kau kekasihku dan ayam tiram serai badarsila.
"Resipi ini juga ringkas untuk dicuba untuk semua golongan sama ada dari orang bujang hinggalah yang sudah berkeluarga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: