Tuesday, July 28, 2009

Johan- Ozlyn harap perkahwinan dapat elak kontroversi

PASANGAN kekasih ini memang tidak lekang dengan pelbagai cerita yang kurang enak. 'Kemesraan' yang sering ditunjukkan oleh Johan Raja Lawak, 25, dan pelakon Ozlyn Wati, 28, di hadapan khalayak adakalanya kurang disenangi oleh banyak pihak.

Namun, baik Johan mahupun Ozlyn, walau dilihat cukup 'mesra', mereka akui masih tahu batas-batasnya. Dan kerana tidak mahu masyarakat terus mengecam, mereka merasakan ikatan perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mengakhiri kata-kata negatif itu.

Akhirnya, dengan sekali lafaz, Johan dan Ozlyn sah bergelar suami isteri pada 25 Julai lalu di Masjid Lembah Jaya, Ampang. Majlis pernikahan tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

"Sebenarnya, kami sudah lama merancang untuk berkahwin...sebelum timbulnya segala kontroversi itu. Tetapi, kesibukan nampaknya membataskan perancangan itu.

"Kami kemudiannya rancang untuk bernikah pada 13 Jun lalu, bersamaan dengan hari lahir Johan dan adakan majlis persandingan pada hari lahir saya pula iaitu 22 September.

"Tetapi sekali lagi, masa nampaknya tidak sesuai. Akhirnya kami nekad memilih tarikh 25 Julai lalu untuk bernikah dan mengadakan resepsi pada 26 September pula.

"Alhamdulilah, majlis pernikahan berjalan lancar. Saya berharap, selepas ini tidak lagi ada kisah kontroversi yang akan singgah pada kami," kata Ozlyn dalam nada ceria.

Pada majlis yang menyaksikan pasangan tersebut mengenakan busana ala-padang pasir itu, Ozlyn menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan, manakala jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Ozlyn juga berkata, dia berharap tidak ada pihak yang berkecil hati kerana tidak diundang ke majlis pernikahan mereka tempoh hari di atas faktor-faktor tertentu.

"Ahli keluarga saya dan Johan cukup besar. Memandangkan kami hanya bernikah secara kecil-kecilan di masjid, jadi kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat saja.

"Malah, ada juga saudara-mara yang tidak sempat kami undang. Begitu juga dengan pihak media. Insya-allah, majlis resepsi yang akan menyusul selepas hari raya nanti, saya akan mengundang rakan-rakan artis, saudara-mara dan media.

"Apa yang menariknya, saya juga akan adakan rumah terbuka sempena raya pada resepsi itu nanti. Ala-ala konsep 2 dalam 1.

"Dan pada majlis itu nanti, saya akan mengundang tetamu 'istimewa'. Tunggulah nanti," kata Ozlyn yang akui tertarik dengan sikap Johan yang tidak hipokrit.

Ditanya tentang kehidupannya sebagai isteri kini, tutur Ozlyn, dia akui tidak ada apa yang berubah kerana masing-masing masih meneruskan karier sendiri. Namun, ujar Ozlyn, dia tidak menafikan wujudnya perasaan kekok apatah lagi baru menjadi isteri selama empat hari.

"Sekarang ini masih kelam-kabut, baru nak cuba serasikan diri sebagai suami isteri. Saya pun masih belum sempat memasak untuk suami kerana selepas bernikah, kami sudah kembali sibuk dengan kerja masing-masing.

"Kalau saya tidak ada 'shooting' pun, saya akan ikut dia ke lokasi. Begitu juga dengan Johan. Sebab itu sehingga sekarang pun kami masih belum fikir destinasi berbulan madu.

"Tengoklah, mungkin selepas raya nanti baru akan kami fikirkan tentang berbulan madu," kata Ozlyn yang pernah dilanda gosip mengatakan dirinya pernah berkahwin sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: