|
|
PERKENALAN enam tahun lalu di antara Meyanaliza Ruslee, 33, atau Maya dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38, ketika menghadiri undangan nyanyian di kediaman jejaka itu menjadi titik tolak bermulanya benih-benih cinta di antara mereka.
Pada peringkat awa dia begitu gusar menerima cinta, apatah lagi pengalaman lalu meninggalkan titik hitam dalam hidupnya apabila cintanya putus di tengah jalan.
Namun keikhlasan Shahreza sepanjang perkenalan akhirnya membuka semula pintu hati penyanyi yang begitu sinonim dengan panggilan Maya Matahari untuk menerima cintanya, dua tahun selepas itu (2005).
Begitulah kronologi cinta Maya dan pasangannya Shahreza. Empat tahun menyulam kasih, selepas sebulan ditunangkan akhirnya mereka memeterai cinta di gerbang perkahwinan.
Lantas, Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, Selangor menjadi medan berlangsungnya akad dan nikah di antara mereka.
Diwakilkan oleh abang penyanyi itu, Harris Faizal Ruslee, 38, pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Pernikahan yang juga imam besar masjid itu, Mohd. Khairi Hussein dengan mas kahwin RM80, tepat pukul 5.40 petang, pada 26 Jun lalu.
Jelita dan segak mengenakan pakaian sedondon berwarna putih susu dan di rias cantik oleh jurusolek Nurul Shukor, pasangan tersebut sah sebagai suami isteri dengan sekali lafaz sahaja.
Berkongsi kegembiraan itu bersama hampir 200 tetamu yang hadir, majlis diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis termasuk Rohana Jalil, Nadia Mustafar, Sharifah Zarina, Ieda Moin, Haiza, Haziq AF5, Jaafar Onn dan Den Wahab.
Selain mendapat khidmat perunding perkahwinan dari Nurul Syukor, makanan yang disediakan untuk majlis pernikahan ditaja oleh Kuzie Catering.
Ditemui selepas majlis tersebut, Maya dan pasangannya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kelancaran pernikahan mereka.
Bagi mereka, tiada apa yang lebih membahagiakan selain berkongsi hidup dengan insan yang dicintai.
Malah, bagi Maya sendiri, akad dan nikahlah yang dinantikan sementelah dia sudah tidak punya waktu untuk bertangguh memandangkan usianya kini sudah menginjak ke angka 33 tahun.
"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar. Inilah yang saya tunggu-tunggu selama ini sebab kami sudah enam tahun berkenalan dan menjalinkan ikatan percintaan selama empat tahun.
"Saya begitu gembira kerana telah sah sebagai suami isteri apalagi kawan-kawan artis yang rapat seperti Nadia Mustafar, Haiza dan Ieda Moin semuanya dah berumah tangga.
"Saya mengimpikan sebuah perkahwinan bahagia dan berkekalan sampai ke akhir hayat. Kalau nak cakap tentang kesempurnaan tentulah tidak boleh tetapi jika ada masalah, kami akan cuba atasi bersama," kata Maya sambil tersenyum manis.
Pada majlis itu juga, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu tujuh dulang daripada Shahreza termasuk cincin pernikahan, senaskhah al-Quran, sirih junjung, kasut serta telekung dan sejadah.
Maya pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk sirih junjung, coklat, kereta kawalan jauh, kasut serta kemeja dan seluar.
Biarpun selamat bergelar isteri namun jauh di sudut hati kecilnya masih tersimpan perasaan gusar. Bukan gusar kerana menempuhi alam perkahwinan tetapi gusar tentang penerimaan masyarakat terhadap dirinya.
"Terus terang saya memang takut. Menjadi salah seorang ahli keluarga kerabat diraja Pahang membuatkan saya risau masyarakat akan membuat andaian bahawa saya ingin mencari jalan pintas untuk hidup senang," akui Maya.
Maya pandai memasak- Shahreza
Sementara itu, kepada Shahreza, diajukan pertanyaan tentang keistimewaan yang ada pada isterinya itu, mengakui tertarik dengan lirikan mata Maya.
"Bukan itu sahaja, malah sesuatu yang sukar untuk dilupakan tentang Maya, dia pandai memasak terutama resepi arwah bonda saya. Itulah yang benar-benar memikat hati saya," kata anak bongsu kepada Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Almarhum Sultan Sir Abu Bakar itu.
Menurut Shahreza, Maya sempat belajar memasak resepi istimewa arwah bondanya sebelum bondanya meninggal dunia pada pertengahan Disember tahun lalu.
Antara masakan yang sempat dipelajari oleh Maya ialah masakan Perak, Taucu Sotong dan masakan Pahang, Ayam Sekor.
Mengulas kerjaya seninya, kata Maya, penggambaran sitkom untuk RTM selama dua minggu di Brunei bermula 5 Julai ini merupakan yang terakhir.
Biarpun masih mahu bergiat dalam seni, Maya selepas ini akan mengehadkan masa bekerja ke luar daerah untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.
Majlis resepsi sebelah keluarga Maya di Batu Pahat, Johor dan sebelah keluarga Shahreza di Kuala Lumpur, kedua-duanya dijadualkan bakal berlangsung pada Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: